Friday, July 12, 2013

Ramadan dan pemergian orang yang aku cinta

Bismillah.

Syukur ya Allah, atas nikmat-Nya, aku masih sempat untuk bertemu dengan ramadan. Allahu Allah. Indahnya Ramadan.

Saat sahur sebelum subuh 2 Ramadan semalam, aku menerima sms dari sang ayah, mengatakan nenek ku sebelah mak telah meninggal dunia. Aku terkedu. Terkedu. Kerana beliau pergi dalam bulan yang mulia ini. Ianya peristiwa yang terlalu persis dengan pemergian nenekku sebelah bapa pada 1 ramadan tahun lalu, juga pemergian datukku pada 1 ramadan, 2 tahun yang lalu. Mereka telah pergi pada awal bulan ramadan, selama 3 tahun berturut-turut.

Sudah lama nenekku berada dalam kesakitan, apa lagi beliau menghidapi paru-paru berair. Rasanya sebulan sebelum puasa lagi beliau sudah dirawat ke dalam wad hospital. Keadaannya juga semakin teruk kerana nafasnya semakin sesak. Pernafasannya harus dibantu menggunakan oksigen.

Nenek aku seorang yang sangat mulia. Aku jamin, sekali kau bertemu dengannya, kau pasti akan senang. Pasti akan terkekeh melihat gelagatnya yang selalu melatah, selalu salah pronounce, dan cakap yang sangat direct to the point itu. Kau pasti akan merasa geram dengan telatahnya yang sangat comel itu. :')

Beliau seorang yang rapat dengan semua anak-anaknya yang berjumlah 11 orang itu. Datuk aku (suami beliau) sudah lama meninggal dunia, sejak aku kira-kira berumur 1 tahun. Sejak dari itu hidupnya bersendiri, ditemani semua anak-anak dan cucu-cucu yang menggembirakan beliau.

Beliau sangat rajin bersedekah. Hampir boleh dikatakan berapa saja duit yang beliau ada, beliau akan berikan kepada cucu-cucunya, atau kepada orang yang meminta-minta. Padahal duitnya pun tak ada. Tapi sentiasa dimurahkan rezeki, ramai orang memberi padanya. Dan yang ada padanya diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan. 

Solatnya sentiasa di awal waktu, tak pernah melambatkan solat. Solat sunnahnya banyak sekali, meskipun kulihat beliau agak sedikit berat untuk berdiri kerana faktor ketuaannya. Kalau waktu bulan ramadan, setiap hari ke masjid sebelum maghrib lagi, sedangkan kami pergi ke masjid pada waktu isyak. Tarawihnya sentiasa penuh, 23 rakaat. Ramai makcik-makcik yang berusia lebih kurang 30-40an di masjid itu yang menegur beliau untuk jangan terlalu paksa jika beliau tak mampu. Tapi, itulah, kerana semangatnya yang sangat kuat, istiqamahnya yang mengerikan semua orang, beliau tetap melakukannya sehabis daya. Jika tak mampu berdiri, beliau akan selang seli duduk dalam solat. Itu katanya.

Aku masih ingat, saat aku belajar di matrikulasi dulu, tiap kali balik, nenek aku minta ajar padaku untuk mengaji al-Quran. Dan aku tak semena-mena menjadi guru mengajinya untuk beberapa waktu. Memang, nenek aku tidak pandai mengaji. Dari kecil, katanya hidup masih jahil. Tiada guru untuk berguru dalam mengaji al-Quran. Dan saat beliau tua, barulah beliau merasa sangat rugi sebab tidak belajar mengaji. Semangatnya itu terlalu mencabar jiwa mudaku saat itu. 

Sewaktu beliau sudah mula diserang dengan penyakit kira-kira setahun belakang ini, aku selalu update bagaimana kondisinya melalui adikku. Apa lagi, sejak beliau di masukkan ke hospital kerana sesak nafas tempoh hari. Aku bertanyakan juga kabarnya pada mak. Mak aku sempat bercerita, waktu ditahan di hospital, ramai orang-orang kampung yang mengunjungi beliau. Dalam keadaan beliau yang sangat sesak nafas itu, beliau tetap gagah juga mahu bercakap, walaupun semput. Beliau malah menolak apa-apa pertolongan dari keluarga, jururawat bahkan dari doktor sekalipun, kerana katanya beliau hanya menyusahkan ramai orang sejak beliau sakit. Apa lagi saat beliau melihat doktor mahupun jururawat yang sering kali datang di tengah malam berkali-kali untuk follow up keadaan beliau saat ditahan di hospital, beliau berkata kepada emakku, bahawa beliau sangat mengasihani mereka para jururawat dan doktor yang sampai tak tidur kerana follow up beliau, kasihan kerana menyusahkan mereka.

Saat aku mendengar cerita itu, spontan air mata aku bergenang di kelopak mata. Luluh. Sebak. Namun aku tetap menahan agar tak terdengar oleh mak suaraku yang sedang menangis. Dalam hati aku berkata "nenda... betapa mulianya hati engkau..... ya Allah"

Jika aku ceritakan pada teman-temanku pelajar perubatan yang lain, mereka berkata:

"baiknya nenek kau tini. kalau semua patient kita macam tu, mesti oncall kita indah. dapat tidur malam-malam."

Ya, memang keadaan pesakit yang sesak nafas memang membuatkan doktor dan jururawat tak senang duduk, aku pernah ada pengalaman ini. Kadang tak tidur kerana follow up keadaan pesakit tersebut, sampailah jalan terakhir adalah beliau akan meninggal dunia. 

Saat itu, aku mula membayangkan pesakit-pesakit yang pernah aku jumpa dalam keadaan emergency, mindaku langsung membayangkan nenek aku berada dalam situasi itu. Tak sanggup rasanya membayangkan. Sebab sesak nafas itu memang sangat sakit. Sakitnya adalah kesukaran bila bernafas. Memang, saat itu hati akan terdetik, betapa kita harus bersyukur dengan oksigen yang jumlahnya memang telah ditetapkan oleh Allah untuk melancarkan proses pernafasan kita. Dan kerana aku terlalu derita melihat pesakit-pesakit yang menderita sesak nafas di mana-mana pun di dalam hospital itu. Maka, aku tak mahu membayangkan nenek aku yang akan berada dalam situasi itu.

Aku terlalu rindu padanya, terakhir aku melihat wajahnya, dalam 5 bulan yang lalu. Kulihat beliau sudah semakin kurus, kerana waktu itu beliau sudah sering sakit-sakit kerana faktor ketuaannya. Aku ingin menatap wajahnya yang sangat tenang itu. 

Ketiga-tiga nenda-nendaku yang telah pergi selama 3 tahun ini, tak pernah sekalipun aku pulang untuk bertemu mereka. Tak dapat untuk pulang. Hanya mampu berdoa sebagai perantau di negara jiran. Nasib perantau yang jauh. 

Saat mendapat sms dari sang ayah ketika sahur semalam, spontan dari mulutku mengucapkan penuh sendu;

"tempatmu di syurga nenda.... tempatmu di syurga......."

3 Ramadan,
dhuha.



No comments: