Monday, July 29, 2013

Fahamilah mengapa kita berada di jalan ini..

Sahabat yang kucinta atas nama syahadah,

Dakwah ini tak akan pernah hilang, meskipun engkau menghilangkan diri darinya.
Dakwah ini tak akan pernah berhenti, meskipun engkau berhenti bersamanya.
Dakwah ini tak akan pernah mati, meskipun engkau mati darinya.
Dakwah ini tetap tumbuh segar, hidup dan subur, meskipun tanpa dirimu.

Fahamilah mengapa kau berada di jalan dakwah ini.

Sudah berapa banyak peluhmu kerana kepenatan dalam bekerja di jalan ini? Pernahkah kau merasa menaiki motosikal di bawah panas terik hanya ingin bertemu dengan mad'u mu yang perjalanannya mengambil masa 1-2 jam? Pernahkah kau merasa untuk mengorbankan waktu rehatmu hanya ingin bertemu dengan mad'u mu sedangkan jadual rutinmu sibuk? Pernahkah kau hampir kemalangan di jalan raya kerana ingin bertemu dengan mad'u mu? Pernahkah kau mengeluarkan harta tanpa berkira semata-mata ingin menggembirakan mad'u mu?

Itu hanya pertanyaan-pertanyaan berkaitan dengan tenaga, waktu dan harta yang kau korbankan.

Belum kutanyakan, pernah tidak merasa dakwahmu ditolak? Bukan sahaja ditolak, tapi diherdik, dicaci, dimaki bahkan difitnah. Difitnah dengan pelbagai kata. Difitnah sebagai pembawa ajaran sesat, difitnah sebagai pembawa jemaah underground, difitnah sebagai seorang naqib/naqibah yang membawa kepada kesesatan?

Jika pernah, ini masih kecil.

Ingatkah kamu apa bentuk fitnah yang dilontarkan kepada Rasulullah (saw) saat melakukan kerja ini?

Baginda dikata gila, penyair, tidak siuman. Baginda bahkan dipukul, digertak, dibaling dengan najis, diletakkan duri pada jalan yang biasa dilewatinya, dan sebagainya.

Allah.

Pantaskah kita mengeluh? Pantaskah kita berputus asa di jalan ini? Hanya kerana segala kerja kita ditolak mentah-mentah sebegitu rupa?

Perlunya kefahaman berada di jalan dakwah ini. Kerana kefahaman itu yang akan membimbingmu. Kefahaman itu bukanlah semangat yang kau dapat usai usrah, usai daurah, usai mukhayyam dan usai menyertai program tarbiyah yang menjadikan semangatmu berkobar-kobar ingin bekerja dalam dakwah ini. Kerana semangat yang dapat kau kutip dari program tarbiyah ini, satu masa nanti, semangat ini akan hilang. Lalu, kau juga hilang sekelip mata. Hilang dari jalan ini. Batang hidung sudah tak nampak lagi, akibat futur yang merajai nafsumu. Dirimu ditenggelamkan dengan kefuturan yang terlalu lama, akibat ketidakfahaman kamu berada di jalan dakwah ini.

Yang menentukan kau tetap tinggal walau semangatmu hilang, adalah kefahaman.

Lalu, diam-diam, jahiliyah yang biasa kau lakukan sewaktu zaman jahiliyahmu dulu, menjadi suatu yang kau rindu. Lalu, kau buka perlahan-lahan kotak jahiliyahmu itu. Akibat kefuturan terlalu lama, dan kau kembali kepada jahiliyahmu. Di mana janjimu suatu ketika dulu? Janjimu pada-Nya bahawa kau akan berubah, kau akan menjadi pembawa islam, janjimu ingin menyelamatkan ummah?

Memang, jalan ini tidak mudah. Memenatkan. Menyusahkan.

Maka, di sini perlu kau faham kenapa kau berada di jalan dakwah ini. Mengapa kau perlu menyusahkan diri sendiri, mengapa kau perlu mengorbankan harta, waktu dan tenagamu di jalan ini.

Perlunya kau benar-benar memahami, dengan segala pengorbananmu di jalan ini, bukan penghargaan yang diintai, bukan penerimaan yang dimahukan, bukan kenikmatan yang ingin dicapai, dan bukan pangkat yang digiurkan.

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan SYURGA untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam taurat, injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."
 (At-Taubah:111)

Jika aku salah, betulkanlah.
kerana aku ingin kita thabat bersama di jalan ini;
jalan yang mustahil dicapai untuk mereka yang tidak sabar.
kerana aku ingin kita berpimpin tangan bersama di jalan ini;
untuk tembus ke syurga yang jauh lebih menggiurkan,
dari segala apa yang dimahukan oleh -
orang-orang yang dihatinya cuma ada dunia.

-Wardatul Shaukah-

nota 1: moga Allah selamatkan egypt. mohon doakan.
nota 2: selamat memburu malam laylatul qadr dan selamat beri'tikaf sahabat perjuangan.
nota 3: ramai yang minta judul lagu dalam blog ni. alhamdulillah, saya dah tulis semua judul lagu tu kesemuanya :)

2 comments:

Anonymous said...

Ketahanan kita di jalan da'wah ini bukanlah kerana hamasah (semangat), bukan juga atas dasar himmah (keinginan). Namun, ketahanan atas dasar faham kita atas landasan perjuangan da'wah yang dibawa oleh Rasul.

Kefahaman yang kita dapat bukanlah sehari dua berusrah, namun ianya kita perolehi daripada usaha-usaha yang memerlukan pengorbanan, kesusahan, air mata, keringat yang banyak tumpah ke bumi.

Gabungkanlah (al intima') diri bersama jalan da'wah ini sehingga ia mencair di dalam tubuh kita.

Gabungkanlah fikrah, aqidah, jasad, hati kepada jalan da'wah sehingga ia melebur dengan sesungguhnya di dalam diri.

Kefahaman (al-fahmu') untuk berada di jalan da'wah inilah merupakan immune diri kita daripada jahiliyyah dan kefuturan yang selalu menghinggapi hati.

-rijal ad-da'wah-

naz said...

ASsalamualaikum. Wahh... Ada blog rupanye =.="