Monday, April 1, 2013

Terlalu mengejar kesempurnaan

Bismillah.

Yang namanya manusia, tak pernah ada yang sempurna. Di setiap keburukan seseorang yang kamu jumpa, cubalah cari kebaikan sedalam-dalam sampai kamu ketemu dalam dirinya. Berlaku adillah. Kamu manusia, dia manusia, kita semua manusia. Jangan bila kita berbuat salah, dan orang menyebut-nyebut kesalahan kita, kita mengatakan "aku tak sempurna" lalu kamu berkecil hati kerana orang lain tak mampu menerima kamu seadanya. Dan apabila orang lain berbuat yang sama, kamu seakan-akan tak mampu menerimanya. Bila kamu menyukai seseorang kerana kebaikannya, satu kesalahan darinya, terus kamu kecewa kerana tak manyangka yang dia punya kelemahan. Kamu kira dia sempurna dan sebaik-baik manusia, kamu telah meletakkan "expectation" dalam dirinya, lalu sampai dia menonjolkan dirinya sebenar, sampai terbongkar kelemahan-kelemahan dalam dirinya, kamu kecewa. Kamu tak mampu terima dirinya sebenar.

Jujurlah, sahabat. Kamu akui bahawa manusia itu tak sempurna. Lalu mengapa kita tetap mengharapkan kesempurnaan dari orang lain? Pada tahap kelemahan orang lain yang kita cinta, sayang; sedarlah bahawa mereka sedang menjadi diri sendiri. Itulah diri mereka. Dan kita semua berbeza. Ada yang jenis kuat marah, tetapi hatinya penuh cinta. Ada yang selalu diam seribu bahasa, namun hatinya penuh bersangka-sangka. Ada yang sering bercakap main lepas sahaja, tetapi hatinya tak selari dengan apa yang dikatakannya. Ada yang berkata penuh lembut dan cinta, tapi hatinya berkata sebaliknya. Ada juga yang sering menunjukkan dirinya ceria seolah-olah tanpa masalah, tetapi hatinya penuh hiba. 

Maka, jangan terlalu menilai seseorang itu hanya kerana kita berbeza dengannya. Jangan meletakkan harapan yang tinggi pada orang yang kamu cinta, dan yang kamu rasakan dia sebaik-baik manusia. Kerana harapan yang tinggi itu akan memusnahkan. Kamu akan sentiasa kecewa kerana harapan itu tak tercapai, kerana percayalah, manusia itu lemah. Fitrah manusia itu lemah dan tak sempurna. Lalu mengapa mengharap manusia itu tak akan mengecewakan kita? Pasti, dengan ketidaksempurnaan seorang manusia, akan ada titik kelemahannya yang membuat kita kecewa terhadapnya, terhiris dengan sikapnya, tersinggung dengan kata-katanya. Dan sudah tentu, jika kita sentiasa sedar akan kelemahan yang ada dalam diri kita sebagai manusia, kita akan selalu muhasabah diri sendiri, bahawa kita juga pasti sering membuatkan orang lain kecewa terhadap sikap kita, pasti kita pernah berkata sesuatu tanpa sengaja yang membuatkan orang lain terhiris, pasti ada sikap kita yang membuatkan orang lain tersinggung. Iya kan? Masakan kita mengaku diri sempurna yang tak pernah melakukan kesalahan tanpa sengaja?

Yang namanya manusia, pastilah tak akan pernah sempurna, kawan. Jadi, sepertimana kamu ingin diri kamu diterima seadanya, maka kamu juga harus menerima orang lain seadanya. Adil bukan? Cintalah pada sahabatmu dan orang-orang yang layak kau cinta, tapi dengan satu syarat; jangan mengharapkan kesempurnaan darinya. Cinta itu bererti menerima seadanya. Inshaallah kamu tak kecewa bila mencintai sesiapapun. Kerana mencintai itu sahaja adalah keindahan bukan? 

Salah satu penyebab paling indah yang membuatkan aku akur tentang sifat manusia yang sering mengecewakan kerana ketidaksempurnaannya - adalah mengingatkan kita betapa kesempurnaan itu adalah hak milik mutlak Sang Maha Sempurna - Allah. Hanya Dia sahaja yang bersifat sempurna. Kita adalah makhluk yang banyak cacat cela - kerana ketidaksempurnaan kita itulah, Allah ciptakan kita berbeza, untuk saling memahami dengan cara paling sempurna. 

Allahu rabbi, sentiasalah melihat positif dari setiap negatif. Jika berhadapan dengan orang yang membuatmu panas hati, lihatlah 'cinta' dalam kemarahannya. Pasti ada. Lihatlah 'cinta' di sebalik kebencian dan apa sahaja. Optimislah.

"If there is one recipe for unhappiness it is that; Expectations" - Yasmin Mogahed

Penuhi hati kamu dengan cinta. Jika kamu ingin cinta, terimalah seadanya.

Belajarlah untuk menerima. 

Menerima. 

Accept.

-wardatulshaukah-