Sunday, February 3, 2013

Cerita Hospital #5: Paediatric

Bismillah.

1. Tengahari ini tenang. Ditemani angin yang berpuput dari celahan kipas. Diiringi irama nyanyian kopratasa. Kadangkala bersendiri itu ubat penenang di kala rutin harianmu dikelilingi dengan ribuan manusia, yang pelbagai ragam. 

2. Minggu 5 berada di perinatology, paediatric department bagi saya sangat indah. Kerana setiap hari saya melihat wajah-wajah syurga tanpa dosa. Indahnya melihat wajah mereka. Tapi keadaan di perinatology berbeza. Kerana kebanyakan bayi-bayi di sana yang menderita kesakitan. Sedih saya melihat tubuh-tubuh mereka dicucuk jarum infus yang amat payah tembus ke pembuluh darah mereka. Sedih melihat bayi yang mengalami respiratory distress syndrome yang sesak nafas. Anak-anakku sayang, tabah ya... :(

3. Comelnya bayi. Kenapa mereka comel sangat ni. Aih... Geramnya. Sampai rasa nak belasah. Sebab terlampau comel. 

4. Seorang ayah di luar kamar, melihat bayinya dari jauh di dalam inkubator dengan wajah penuh syahdu. (sebab family tak boleh masuk, kecuali ibu sahaja untuk tujuan menyusukan anak, menunggu anaknya kadang sampai berbulan. tak dapat menyentuh cahaya matanya, hanya mampu melihat dari jauh). Ah. Sendunya perasaan itu. Siapa-siapa yang melihat bayi, pasti hati jadi lembut kan?

5. Di paediatric ini, betapa aku belajar tentang kasih sayang seorang ayah yang menjaga anaknya yang sakit, cinta seorang ibu yang kadang sampai menahan kantuk menjaga anaknya yang selalu esak tangis mengganggu di waktu tengah malam. Penuh risau. Tapi mereka tetap tabah. Tetap bersabar dengan karenah anaknya yang kadang tak masuk akal. Ya Allah, aku rindu pada ibu dan ayahku. Tabahnya mereka.

6. Seorang ayah yang sudah tak mampu membendung sebak esak tangisnya beberapa minit setelah bayi kecilnya pergi menghembuskan nafas terakhir disebabkan bronchopneumonia. Akhirnya dia teresak-esak di sebelahku. Ya Allah, mendengar tangisan seorang lelaki itu sangat 'sesuatu' ya? Sangat jujur. Egonya seorang lelaki yang menahan sedih dan tangisnya. Tapi akhirnya jatuh juga melihat orang yang tercinta pergi.... (dan waktu itu saya terus keluar dari ruang ICU kerana tak mampu menahan air mata berjatuhan kerana mendengar tangisan sang ayah itu).

7. Haih. Hati rapuh macam saya ni, kena belajar untuk tahan air mata. Buat malu saja. Saya yang emosi kadang-kadang. Seharusnya saya yang memujuk keluarganya untuk bersabar. Tapi tak dapat. Sebab saya yang join menangis nanti. Tak tabah langsung. Haha. 

8. Di sini kena latih untuk banyak bersabar terutamanya apabila berurusan dengan keluarga pesakit. Kadang-kadang keluarga pesakit terlampau risau, dan panik sampai marah-marah. Aih. Di pediatric ni paling banyak kena marah, kene bebel oleh keluarga pesakit. Direndah-rendahkan pun memang... aih, telan sajalah. Dalam hati bisik "Ya Allah rasa macam nak marah balik. Tabahkanlah aku." Terpaksa buat bodoh tahan marah. Kadang orang luar tak tahu, dimarah oleh keluarga pesakit lebih buat kami down berbanding dimarah oleh doktor-doktor/specialist sejawat. Mereka wajar marah sebenarnya. Cuma saya yang tak tahan dimarah. -.-

9. Kadang saya cemburu dengan kawan-kawan indonesia yang tinggal dengan family di sini (orang medan). Tiap-tiap hari bawa bekal makanan ke hospital (macam budak sekolah kan?) haha. Serius. Perempuan lelaki bawa bekal. Ibu mereka masakkan. Kan best kalau tinggal dekat dengan family. Bawa bekal ke hospital, kalau penat, boleh suruh jemput ambil. (hello, kenapa macam budak kecik ni. kau dah besar ok). Padahal, dari saya sekolah rendah, saya tak pernah bawa bekal pun ke sekolah. Hehe.

10. Malam ni oncall ke 24 di paediatric. 6 kali lagi tersisa. Moga Allah redha. Sahabat, tolong ingat aku dalam doamu.

11. Keheningan masih mengitari. Irama kopratasa tertegun. Sepi itu indah. Masih.




sewaktu menggendong bayi itu terasa... indah yang luar biasa.

Wallahu a'lam.

-wardatulshaukah-