Tuesday, September 18, 2012

Tiada kata, jiwa, cinta, sosok seindah dia: Muhammad SAW.

Umat Islam hari ini agresif. Defensif. Tapi tak serupa bikin. Kalau diejek mudah melenting. Tapi tak kena cara. Tak berhikmah. Rentetan Rasulullah SAW dihina dan dikeji oleh orang kafir akhir ini. Memang kita patut marah. Tapi biarlah marah kita itu berbunyi tegas dan mengesankan. Bukan kebudak-budakan. Bukan membalas dengan caci dan maki. Kalau begitulah kemarahan kita, ertinya kita tak ada beza seperti mereka.

Sebegitu hancurnya hati saya apabila melihat video Innocence of Muslim itu di youtube atas penghinaan terhadap Rasulullah SAW tercinta, lebih hancur hati saya melihat telatah orang Muslim yang menentangnya dengan cara yang kasar, memaki dan berkata-kata kesat.

Bukan itu caranya tanda kita cintakan Rasulullah SAW.

Tanda kita marah kepada para penghina Nabi tercinta kita adalah dengan mengamalkan sunnah baginda, dengan mengikuti jejak langkah baginda, dengan meneladani budi pekerti baginda, dengan berselawat sebanyak-banyaknya ke atas baginda.

Jika kita benar-benar marah Rasulullah SAW kita dihina, kita gandakan sebanyak-banyaknya selawat terhadapnya dan mengamalkan sunnahnya, bukan dengan berkata-kata kesat, omong kosong tapi tak membantu apa-apa dalam amalan.

Begitulah umat Islam hari ini. Agresif tak bertempat. Kalau marah memaki-maki. Rasulullah SAW yang kita sendiri pertahankan itu tak pernah mengajar kita untuk memaki-maki orang yang menghinanya.

Banggakah kamu sebegitu? Berdemonstrasi tapi apakah kita orangnya yang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW? Atau hanya emosi tak tentu arah, tetapi sendiri tak mengerti untuk apa menjadi emosional.

Atas kejadian sebegini yang semakin hari semakin bertambahnya fitnah ke atas Rasulullah SAW dan ke atas Islam, tidak lain dan tidak bukan, adalah sebuah teguran dari Allah, sudah sebanyak mana kita benar-benar mengimani Rasulullah SAW?

Sudah sebesar mana kita mengimani Islam? Fitnah ini semakin menjadi-jadi, kerana sikap umat Islam juga semakin menjadi-jadi. Sunnah Rasulullah SAW semakin dilupakan, selawat ke atasnya juga semakin ditinggalkan. Lalu, di dalam selitan caci dan hina ke atas baginda di dada media, kita yang datangnya entah dari mana tiba-tiba muncul. Muncul dengan mempertahankan apa yang selama ini kita semakin terlupakan.

Islamnya kita, bererti Islam lah cara hidup kita. Islam bermaksud kata kerja. Bukan kata nama. Bila ia adalah kata kerja, bermaksud kita harus mengerjakan Islam itu dalam diri. Bukan hanya menggunakan 'nama Islam' untuk dikenali sebagai orang Islam semata.

Sebegitu jugalah apakala kita mengimani Rasulullah SAW sebagai kekasih mulia kita, kita harus mengerjakan sunnahnya, apalagi sunnah terbesar baginda adalah dakwah.

Kerana rosaknya umat Islam hari ini, kerana beraninya orang kafir menghina Islam sehingga hari ini, adalah kerana 'amal makruf dan nahi mungkar' ditolak tepi.




Marahlah sepertimana dalam manifestasi dari video ini. Responlah seperti orang yang membuat video ini. Marahnya penuh lapang dada, jawapan terhadap penghinaan Rasulullah SAW berasas, berhikmah. Tidak membuta tuli. Mengesankan jiwa. Mengeluarkan air mata. Menghidupkan kerinduan kepada baginda. Malah, mengingatkan siapa sebenarnya Nabi Muhammad SAW dan budi pekertinya yang mulia.

Bukan kita tak perlu untuk marah. Cuma aku mengajak kalian untuk berfikir, untuk apa kita marah jika kemarahan kita tak serupa bikin? Marilah sama-sama kita muhasabah diri sahabatku. Jika Rasulullah SAW dihina, tempatnya sudah tersedia di syurga. Tempatnya sudah mulia. Yang perlu dirisaukan adalah diri kita ini. Umat baginda.

Kehinaan terhadap Rasulullah SAW, nama Rasulullah SAW sentiasa gah di mata dunia. Namanya kian disebut-sebut. Baginda sentiasa dipertahankan oleh para pencintanya. Sedangkan baginda sudah tiada. Tapi apa pula yang terjadi kepada orang-orang yang memusuhi Rasulullah SAW dari zaman dulu lagi? Mereka tidak pernah dikenali dan diingati. Kalau nama mereka disebut di dalam buku sejarah pun, mereka dikenali kerana kejahatan mereka. Sedangkan Rasulullah SAW sentiasa kekal dalam kemuliaan. Sollu 'ala Muhammad.

Masih ingatkah cerita Saidina Hamzah yang menentang Abu Jahal yang sering menghina Rasulullah SAW sedangkan beliau belum masuk Islam lagi? Lantas semakin banyak penghinaan terhadap Rasulullah SAW, semakin berbondong-bondong orang yang memeluk Islam. Jika hidayah pada Saidina Hamzah berawal dari penghinaan Abu Jahal terhadap Rasulullah SAW, maka sebegitulah kita memohon sepenuhnya. Agar fitnah-fitnah ini menjadikan lebih ramai yang menyedari kemuliaan Rasulullah SAW, justeru lebih ramai yang menerima Islam.

Mari ucap selawat sebanyak-banyaknya tanda kita marah kepada para penghina kekasih kita. Mari selawat, selawat dan selawat....

Ya Rasulullah, aku benar-benar merinduimu, kekasih. Sungguh..... :'(

-wardatulshaukah-
teratak kauthar.


Saturday, September 8, 2012

Saat aku sudah tidak merasa lagi




saat aku sudah tidak merasa lagi
sentuhan tangan cahaya mentari
tika menembusi pilar-pilar atmaku seakan rentan
yang kulihat - busa-busa berkocak kesakitan.

saat aku sudah tidak merasa lagi
semilir angin tuk membasuh peluh ini
tika renik hujan membasahi darahku seakan keruh
yang kudengar - batinku membentak pada rapuh.

saat aku sudah tidak merasa lagi
hingga aku membentangkan segala
kerinduan ini agar bisa terlantar lesi
hingga menerobos ke dulang lazuardi sana.

~kamar sepi, 12;32 pm, meja belajar.
16 november 2009.