Tuesday, August 17, 2010

Tablet Ramadhan #1

..ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ

Abdullah ibnu Umar r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda:

"Barangsiapa mengucapkan SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, LAAILAA HAILLALLAH, ALLAHU AKBAR maka dituliskan baginya 10 ganjaran berbanding tiap-tiap hurufnya. Dan barangsiapa yang memihak kepada yang bersalah di dalam perkelahian atau pergaduhan maka ia dimurkai Tuhan selagi ia tidak bertaubat. Dan barangsiapa yang meminta supaya hukuman Allah tidak dikenakan ke atas yang bersalah (yakni yang menghalangi perintah-perintah Allah) maka ia membantahi Allah. Dan barangsiapa yang melemparkan tuduhan (yang tidak berasas) kepada seseorang mukmin lelaki atau perempuan maka dia akan dipenjarakan pada hari kiamat di dalam Radghatul khabal sehingga ia menarik balik tuduhan itu bagaimana ia boleh menarik balik tuduhan itu."

(Hadis riwayat Thabrani dan Abu Daud)

Keterangan
:

Memihak kepada yang bersalah telah menjadi perkara yang lumrah dewasa ini. Mengenai sesuatu perkara yang kita tahu akan kesalahannya tetapi disebabkan masalah keluarga, partai dan lain-lainnya ianya menghalangi kita daripada memihak atau menyokong kepada yang benar. Dengan memihak kepada yang salah kita tidak akan menghiraukan sama sekali akan kemarahan dan kemurkaan Tuhan, kita tidak berani menegur orang yang membuat salah malahan kita menyokongnya dan menentang bermati-matian kepada pihak lawannya.


Jika seseorang rakan kita terlibat dalam mencuri, merompak, perbuatan yang keji seperti perzinaan dan sebagainya maka kita memberi sokong dan galakan kepadanya. Yang itukah kehendak iman kita, yang itukah kehendak ajaran agama kita dan dengan sikap kita itukah kita membangga-banggakan keIslaman kita, tidakkah kita memburuk-burukkan nama baik Islam pada pandangan bangsa-bangsa asing dan kita menghina diri kita sendiri pada pandangan Ilahi?


Di dalam sebuah hadis ada disebutkan;


"Bahwa barang siapa mengumpulkan manusia kepada ta'azub atau membantu pihak zalim kerana ta'azub maka ia bukan dari golongan kami."


Di dalam hadis yang lain ada disebutkan bahawa erti ta'asub di sini ialah membantu kaum kerabat yang melakukan kezaliman.


Radghatul khabal ialah danau yang lumpurnya ialah darah dan nanah dari ahli-ahli neraka jahanam. Alangkah kotor dan dipenuhi dengan kesengsaraan di tempat itu di mana orang-orang yang melempari tuduhan yang tidak berasas kepada seseorang itu akan dipenjarakan.


Menuduh seseorang dengan sekehendak hati kita, kita menganggapnya sebagai perkara lumrah dewasa ini. Akan tetapi pada besok hari (hari kiamat) semestinyalah kita kena buktikan segala sesuatu yang diucapkan oleh lidah kita dan bukti yang diterima di sana hanyalah bukti-bukti yang sah dari segi syara'. Bukanlah seperti di dunia ini di mana kita biasa membisukan seseorang dengan kelancaran lidah kita tetapi di sanalah akan ternyata nanti bahawa percakapan itu benar atau salah.


Baginda SAW pernah berkata;


"Seseorang yang berbicara akan sesuatu tanpa menghiraukannya sedikit pun walhal dengan kerananyalah ia akan dilemparkan ke dalam neraka jahanam."

Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa setengah-setengah orang akan bercakap sesuatu supaya orang lain gelak ketawa tetapi ia tidak sedar bahawa kerananyalah ia akan dilemparkan ke dalam neraka jahanam dan jauhnya seperti mana jauhnya langit dan bumi. Selanjutnya baginda Rasulullah SAW bersabda bahawa kegelinciran lidah adalah lebih berat daripada kegelincirian kaki. Di dalam sebuah hadis yang lain pula telah dinyatakan bahawa barang siapa yang memalukan seseorang kerana sesuatu maksiat maka dia sendiri akan terlibat di dalam maksiat itu sebelum dia mati. Dalam mensyarahkan hadis ini Imam Ahmad Ibnu Hanbal r.a berkata bahawa erti maksiat di sini ialah maksiat yang telah ditaubat oleh pelakunya.

Abu Bakar as-Siddiq r.a sering memegang lidahnya dan menarik sambil berkata;


"Kerana kaulah yang biasanya kita binasa."


Ibnu Mukandir r.a seorang ulama hadis yang termasyhur di kalangan para tabi'in ketika meninggal dunia beliau menangis teresak-esak.


Seorang bertanya kepadanya;


"Mengapa tuan menangis?"


Jawab beliau;


"Aku tidak tahu bahawa adanya sesuatu dosa yang telah aku lakukan tetapi aku menangis kerana mungkin aku telah melakukan sesuatu yang dianggap sebagai perbuatan yang lemah tetapi ia dikira berat di sisi Allah."


-7 Ramadhan 1431, teratak mawar-

Sumber:
#Kitab Hadis Ta'alim oleh Raisul Muhadditsin Allama, Mohammad Zakariyya D.B, Syeikhul Hadits, Mazahir Ulum, Saharan Pur; Fadhilat Zikir; 297-300

Wednesday, August 11, 2010

Hari pertama ramadhan yang terlalu emosi.

Baru beberapa hari saya berbicara tentang datuk saya, dan hari ini saya terima sms dari kakak saya mengatakan bahawa datuk saya telah pergi. Pergi dari dunia ini buat selama-lamanya. Bagai halilintar yang menggoncang perasaan saya, tiba-tiba air mata saya jatuh. Sebak.

Sekarang baru saya tahu mengapa setelah berbulan-bulan datuk saya dalam keadaan tenat dan separa nazak pada kali terakhir saya menatapnya. Kondisi datuk saya memang sudah terlampau hampir dengan ajalnya. Sehingga kami sesama keluarga tertanya-tanya, mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk nazak. Namun, mungkin Allah belum mengizinkan kerana belum sampai waktunya dan pada hari ini, Allah beri izin untuk nyawanya dicabut dari jasad. Kerna ajal beliau yang telah tertulis di lauh mahfuz adalah pada hari ini, hari pertama ramadhan. Subhanallah. Betapa indahnya pemergian beliau. Tapi, saya terlalu jauh untuk melihat wajah beliau sekarang ini. Mudah-mudahan keadaannya tenang sepertimana kali terakhir saya menatapinya.

Daripada Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali.

Kita semua pasti merasainya juga. Bakal menyusul sesudah mereka yang telah pergi. Namun, andai pada saat ini saya ditanyakan, apakah saya telah bersedia untuk mati? Tanpa ragu-ragu saya akan menjawabnya; BELUM.

Saya belum bersedia untuk itu lagi. Masih terlalu banyak. Banyak sekali yang perlu saya lakukan di dunia ini. Bekal yang ingin saya persembahkan di hadapan Tuhan masih belum cukup. Namun, atas semua yang bakal berlaku ke atas saya selepas ini, kepada Allah saya berserah.

Argh. Saya terlalu emosi sekarang ini. Kepala seakan berat sebaik saja mendapat khabar itu tadi. Mungkin kerana ini adalah kali pertama saya kehilangan seseorang yang mempunyai darah daging terdekat saya sendiri. Dan mungkin kerana saya belum pernah merasai kehilangan orang yang saya sayangi.

Maaf. Mungkin ianya agak emosi dan tidak menyenangkan maka saya harus berhenti di sini.

Notakaki: Semoga datuk saya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Amin. Mohon disedekahkan al-fatihah buat arwah datuk saya. Jazakumullah khairan kathira..

Ramadhan 1431




bertemu sudah kita, duhai kekasih.
meski pertemuan ini cukup singkat
kerna kita dipertemukan
hanya untuk 30 hari berturut dalam setahun.
temanilah aku dalam setiap detikku,
gembirakanlah aku di waktu sahurku,
ceriakanlah aku di waktu tarawikhku,
tenangkanlah aku di waktu malamku,

waktu yang singkat untuk kita bersama,
ajarilah aku lebih banyak tentang cinta...

selamat datang, sang kekasihku ramadhan...

~WS, 1 ramadhan 1431 H, Medan.

Sunday, August 8, 2010

Diari yang berciciran.

Bismillah.

Waktu sore untuk hari yang kelapan di Medan sudah saya jalani sebaiknya sekembalinya saya dari tanah air. Waktu ini langit sangat mendung, bunyi guruh kadang kala memecah keheningan di sekitar perumahan saya. Sebentar lagi, pasti akan hujan. Mungkin.

Maha suci Allah, yang masih setia untuk menyayangi hamba-hamba-Nya dan tak pernah lengah dari kondisi-kondisi hamba-Nya. Cuma, manusia saja sering lupa akan hakikat itu sungguhpun tiada siapa yang mampu menyangkal kebenaran itu. Mari ucapkan syukur kepada-Nya untuk sekalian nikmat yang tidak pernah luput untuk kita merasainya sehingga hari ini!

Sudah masuk ke semester lima di dunia perubatan. Bermakna sudah berada di tahun ketiga. Dan entah untuk kesekian kali, saya yang tidak pernah bosan berulang kali menyebut akan kecepatan waktu yang berjalan. Kalian mungkin sudah bosan sekiranya dalam banyak-banyak entri saya, sering saya mengatakan "Cepat sungguh waktu berlalu", namun saya tidak pernah bosan untuk mengulanginya lagi.

Allahumma, sungguh gila waktu ini, kan? Semakin laju menggila seperti ribut taufan yang tidak mengendahkan makhluk-makhluk lainnya. Waktu saya ke kampung, makcik-makcik saya bertanya, sudah tahun berapa sekarang? Saya jawab bakal memasuki tahun ketiga. Mereka kata, "Aik. Sekejapnya. Macam baru saja kamu pergi ke Medan hari tu."

Tahu takpe. Cuti saya hari itu, sempat saya menukilkan pengalaman saya berada di hospital dan perjalanan saya ke Labuan. Cuti yang bolehlah dikira sebagai cuti yang bermanfaat. Saya sempat membantu teman saya untuk menganjurkan usrah di sekolah lama saya, SMK Sanzac. Betapa saya bangga dengan kemajuan sekolah lama saya itu. Kerana waktu dulu, tidak ada langsung usrah dan dakwah semua itu di sana. Waktu berada di Sabah, bolehlah saya bantu-bantu teman saya menjadi naqibah yang juga mengambil jurusan perubatan di UMS. Sekarang saya sudah di Medan, mungkin terpaksalah beliau seorang yang handle usrah bersama adik-adik di sekolah itu. Kasihan saya dengan dia. Dia juga sibuk dengan praktikalnya di hospital. Dan paling penting, kasihan dengan adik-adik itu.

Kawan-kawan yang balik Sabah waktu cuti, kalau ada kesempatan, bantulah kami untuk handle usrah bersama. Nanti beritahulah saya, saya akan sampaikan dengan sahabat saya. Kerja-kerja agama sedang memanggil-manggil kita. Percayalah. Dan saya menanti penyertaan anda...

***

Saya dan keluarga selalu pergi ke kampung waktu cuti yang lepas, melawat datuk saya yang tenat dan terakhir saya menatapnya, beliau dalam keadaan separa nazak. Makan, minum, bangun semua sudah tidak mampu lagi. Datuk saya menghadapi Colorectal cancer, yang sudahpun bermetastasis di hatinya beberapa inci, disertai dengan Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) dan Urinary Tract Infection. Usia datuk saya yang sudahpun mencecah 88 tahun itu lambat didiagnosa sebagai penderita Colorectal cancer, sehingga menyebabkan beliau sudahpun berada di Stage IV. Astaghfirullah.

Walaupun datuk saya terlalu tua untuk menderita penyakit-penyakit kronik seperti itu, namun saya melihat kondisinya sangat tenang. Kecuali kalau ingin buang air kecil dan buang air besar. Datuk saya terpaksa mengerang kesakitan kerana tidak dapat melakukannya. Kasihan datuk saya. Minggu terakhir sebelum pulang ke Medan, saya berada di Kota Kinabalu. Bapa saya sering ulang-alik ke kampung untuk menjaga datuk saya, dengan adik-beradiknya yang lain. Dua hari sebelum pulang ke Medan, saya menerima sms dari bapa saya sewaktu dia berada di kampung.

"Atuk mahu jumpa Tini sebelum balik Medan."

Terkesima. Saya rasa saya dan sekeluarga jarang pulang ke kampung sebelum ini. Datuk saya masih mengenali saya dan ingatannya masih kuat. Dan paling penting, keinginannya untuk bertemu saya sungguh mengharukan. Padahal saya tidak rasa saya seorang cucu yang baik dan rapat dengannya. Walau bagaimanapun, saya tidak sempat untuk menjenguknya. Entahlah. Jika kedatangan saya pada waktu itu mungkin adalah pertemuan terakhir antara saya dengan datuk saya di dunia ini, hanya kepada Allah saya berserah. Mungkin juga saya tidak menyesal. Kerana kali terakhir kami ke kampung, saya sempat duduk di sebelahnya untuk menjaganya, saya sempat untuk meminumkan air kepadanya, melapkan badannya, mengurut seluruh tubuhnya. Sayu melihat kondisi seseorang seperti itu. Semoga datuk saya sekarang baik-baik saja.

***

Tinggal beberapa hari lagi kita berada di bulan Ramadhan. Ramadhan tiba lagi. Apa target kamu di bulan Ramadhan nanti? Semoga saya, kamu dan kita semua sudah siap sedia menghadapi bulan keberkatan ini. Semoga target yang tak terlaksana pada bulan Ramadhan yang lepas, berjaya dilakukan pada kali ini. Berusahalah!


Saya rindu dengan budak kecik ini. Ini gambar lama. Sekarang dia makin berisi sikit. Malas nak ambil gambar terbaru.

Nota 1: Saya dah ada scooter baru. Share dengan roomate saya. Nama dia Puteh. Sebab warna putih. Tapi tak ada gambar. Malas nak ambil gambar. Haha. Harap dengan kehadiran scooter ini memudahkan lagi gerak kerja dakwahku.

Nota 2: Template baru blog saya sangat mententeramkan bukan? Simple dan cool.. :D (perasan. ahah)

Nota 3: Selamat berusaha dengan lebih gigih di bulan Ramadhan. :)