Saturday, May 22, 2010

Magic Words

Pernah saya menulis sebuah entri tentang 'magic words' kira-kira pada tahun yang lalu. Tentang dua perkataan ajaib yang saya sangat menyukainya;

Terima kasih.

Minta maaf / mohon maaf.

Saya tidak tahu mengapa, sepanjang bermukim di Medan, Indonesia sini, saya sedar bahawa orang-orang Indonesia sangat tidak kedekut untuk mengucapkan 'magic words' ini. Semalam saya dalam keadaan buru-buru singgah ke kedai runcit *oh, sangat janggal menggunakan perkataan runcit* kedai kecil sekitar Medan. Saya bertanya tentang barang yang ingin saya beli. Penjualnya mengatakan barang yang saya inginkan itu tidak ada. Lalu, saya dengan buru-buru terus pergi ke kedai yang lain.

Entah mengapa saya terdengar seorang lelaki yang ada di kedai itu berkata, "terima kasih..". Langkah saya hampir terhenti, namun kerana ingin mengejar masa, saya terus melangkah kaki dengan cepat sambil perkataan itu bermain-main di benak saya.

Sedar. Saya lupa mengucapkan 'terima kasih'. Barangkali lelaki itu sedang menyindir saya, kerana tidak mengucapkan 'terima kasih' setelah bertanya. Di sini, kalau ke mana-mana, atau kalau mahu bertanya pada sesiapa, saya sudah terbiasa dengan mengucapkan 'terima kasih' di hujung perbualan atau pertanyaan saya. Maka, saya dengan sendirinya telah menyesuaikan diri dengan keadaan itu dan merasakan tanpa ucapan 'terima kasih' ianya adalah suatu perkara yang kurang sopan.

Betapa hebat penangan orang-orang Indonesia yang saya kenali di sini.

Hanya dengan perkataan 'terima kasih' dan sering mengucapkan 'minta maaf', ianya bukan hanya budaya. Namun perlihatkan diri sebenar kita.

Dan saya belajar sesuatu apabila membaca tentang ini di sini;

“Mereka yang tak bisa menghargai yang kecil, takkan mampu menghormati yang besar. Dan mereka yang tak bisa berterimakasih pada manusia, takkan mampu mensyukuri Allah.”

Entah mengapa. Saya perasan orang-orang yang murah dengan menyebut 'magic words' ini adalah di kalangan orang-orang yang sering berada 'di bawah'. Berbanding dengan orang-orang di atas - yang megah dengan diri sendiri sehingga tidak pantas mengucapkan 'terima kasih' dan 'minta maaf'.

Saya tidak tahu mengapa. Saya cepat tersentuh jika orang sering mengucapkan perkataan 'terima kasih' dan 'minta maaf'. Orang yang tidak cantik akan menjadi cantik kerana ucapan yang diucapkan oleh bibirnya.

Bukan thank you dan sorry walaupun maksudnya sama. Bahkan saya tidak pernah terkesan sesiapa pun mengucapkan thank you dan sorry dan kadang saya merasakan ianya tidak ada makna tetapi, terima kasih dan maaf.

Ya, TERIMA KASIH dan MAAF.

Betapa, Bahasa Melayu itu indah.

Nota 1: Mungkin entri ini adalah picisan. Tapi, kalau kamu mengertinya, ada sesuatu yang saya cuba ingin sampaikan.

Nota 2: 26 Mei ini bermulanya final exam saya untuk semester keempat pada tahun dua di dunia perubatan. Doakan saya ya. 19 Jun saya akan pulang ke Malaysia. Insya Allah.

Nota 3: Bermula dari sekarang, saya membuka sebarang pesan dari teman-teman yang mahu pesan barang-barang Medan seperti buku, kain batik, telekung, bika ambon dan apa-apa saja. Heh. Sila pesan. Tapi jangan banyak-banyak. Nanti luggage saya berat. Heh. Sila email.

Thursday, May 13, 2010

Jika dakwah adalah kecintaan, maka ikhlaskan kami merasakannya. (2)

Dakwah yang tenang, namun lebih gemuruh
Dari tiupan topan yang menderu..

Dakwah yang rendah hati, namun lebih perkasa

Dari keangkuhan gunung yang menjulang..

Dakwah yang dekat, namun lebih luas

Dari belahan bumi seluruhnya..


(Hasan Al-Banna, Ilasy Syabab)



OPTIMISLAH DALAM BERDAKWAH

Ya. Optimis - watak utama dalam kehidupan kita. Dalam setiap apa jua, termasuklah berdakwah. Jangan terlalu bersangka-sangka. Apa lagi bersangka buruk pada perkara yang kita tak pernah ketahui. Kerana kurang bersikap optimis, maka saya melengahkan dakwah saya terhadap teman sebilik saya. Saya membiarkan diri ini gelisah, hati tidak tenang. Hanya kerana ingin mengajak kepada kebaikan, dan sekiranya dakwah saya ditolak.

Janganlah takut. Allah sentiasa ada, sekiranya kita berusaha bermati-matian untuk menjalani perintah Allah. Allah ada, bersama kita. Kalau pun ditolak, janganlah berputus asa. Barangkali, kita tidak pernah mengetahui seseorang itu bagaimana. Boleh saja dia menyukai ajakan kita, tetapi kerana sikap egoisnya, maka dia menolak. Mungkin juga dengan cara sebegitu, orang tersebut ingin kita tetap untuk terus mengajaknya, dan terus mengajak.

Siapakah yang tidak suka diajak ke arah kebaikan? Sekeras-keras manusia itu, hatinya tetap lembut. Sejahat-jahat manusia itu, dia tetap inginkan kebaikan. Dia tetap mahu menjadi orang yang baik. Dan sekiranya kamu hanya tahu berkata; "Orang macam ni, kita tegur ke, tak tegur ke, tak ada efek terhadap dia pun.."

Apakah kamu pernah belah dadanya? Apakah kamu tahu apa di dalam dadanya? Apakah kamu tahu apa nuraninya berkata?

Kerana itu, dakwah ini memerlukan sikap optimis. Bersangka baik. Sabar. Mereka yang menolak bukanlah bermakna Allah tidak memberikan hidayah kepada mereka. Mungkin mereka ini perlukan masa. Atau mungkin mereka sebenarnya tidak mengetahui apa itu dakwah. Maka, bersabarlah. Belajarlah menjiwai mereka.



DAKWAH ITU SENI

Nah, andai ingin menyampaikan, sampaikanlah dengan rendah hati. Pernah seorang da'ie menegur saya. Teguran itu benar. Tetapi caranya menegur itu kasar. Mujur saya mengerti misinya apa. Jalannya sama seperti saya. Tetapi cara menegur sehingga membuatkan orang bertambah panas, lebih baik jangan menegur.

Saya menggeleng kepala. Bagaimana agaknya dia menyampaikan sebegitu terhadap orang yang tidak memahami? Berkatalah benar biar pun sehingga menunjukkan segala bukti dari Al-Quran atau di mana-mana, kalau caranya itu kasar dan hanya tahu mengherdik, janganlah bermimpi orang akan mampu menerimanya.

Andalah pencorak dakwah ini. Sekiranya cara baik, pasti orang akan menerimanya sekali pun tanpa dalil.

"Mereka itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui apa yang ada di dalam hatinya. Karena itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang membekas pada jiwanya" (An-Nisa': 63)

Maka, dakwah itu seni. Kamulah yang harus belajar untuk lebih kreatif dalam menyampaikan. Menegurlah seperti seorang manusia menegur manusia. Bukannya menegur seperti malaikat menegur manusia.


TEGURAN ITU PERSAUDARAAN

Segala puji bagi Allah, bagi mereka yang kelaparan terhadap peringatan, kehausan terhadap teguran, keinginan kepada kebaikan. Tetapi yang menjadi masalah, adalah mereka yang degil dan sombong untuk menerima teguran.

Ditegur sedikit melenting. Beralasan. Pantang ditegur. Tetapi saya tidak hairan. Kerana manusia itu banyak ragam. Ketahuilah, orang yang sukar menerima teguran, maka dia sebenarnya tidak mengerti maksud persaudaraan.

Pernah saya menegur seseorang yang merokok, mengatakan kepadanya bahawa rokok itu lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Maka, kerana tidak suka ditegur, timbullah jawapan dengan pelbagai alasan dengan berkata;

"Alah.. kalau kata rokok tu membahayakan kesihatan, habis tu makanan yang bergula pun nanti boleh menyebabkan obesity, diabetes. kalau makanan yang bergaram boleh menyebabkan darah tinggi. Sama saja dengan rokok."

Dan apabila ditegur untuk menutup aurat, maka kerana tidak suka ditegur, timbullah jawapan;

"Tak semestinya orang yang pakai tudung semua baik. Tak semestinya orang tak bertudung semua jahat."

Sedarkah kamu bahawa dengan mengatakan sebegini sebenarnya kamu sendiri yang menutup pintu hidayah dalam hati kamu? Kamu sendiri yang menolaknya. Saya hairan. Berbuat salah tetapi tidak menerima teguran. Sudahnya degil, sombong pula. Lalu, adilkah dengan mengatakan hidayah belum diberikan, sedang setiap kali Allah mendekati kita, kita sering melarikan diri?

Maka, semuanya ialah persepsi dan mindset yang merosakkan malah membantutkan kita untuk menerima hidayah-Nya. Pantas saja mengatakan hidayah belum sampai. Tetapi, sering melarikan diri andai ditegur. Teguran itu sebenarnya hidayah dari Allah. Kamu orang yang terpilih. Kerana masih ada yang mahu menegur kamu.

Kalau pun masih belum bersedia, cubalah belajar menerima teguran. Sekurang-kurangnya, katakanlah 'terima kasih' kepada mereka yang menegur. Atau paling tidak, diam sahaja. Seseorang yang sedang menegur, dia sebenarnya sedang membina kekuatan untuk menegur kamu.

Janganlah melihat siapa yang menyampaikan, tetapi lihatlah apa yang disampaikan.

Kerana semakin kita terus-menerus melihat orang yang menyampaikan, jika orang itu adalah orang yang kita benci, sampai bila pun kita tak pernah ingin menerima apa yang disampaikannya meski pun kata-katanya benar.

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah S.A.W bersabda;

"Apabila umat-umatku mementingkan hanya dunia maka hati mereka luputlah dari mencintai Islam; dan apabila mereka berhenti daripada mendakwah kebenaran, maka luputlah mereka itu dari rahmat; dan apabila mereka caci mencaci satu sama lain, mereka tidak akan lagi dipandang Allah." (Hadis Riwayat Tirmizi)


Maka, sahabat.. sekiranya kau bertanya mengapa aku lakukan ini, mengapa aku mengajakmu ke arah kebaikan, mengapa aku melarangmu terhadap perkara-perkara yang tidak harus kau lakukan, ketahuilah bukan kerana aku telah melihat diriku dalam keadaan sempurna sedang aku juga tidak akan pernah lari dari kesilapan.

Aku lakukan semua ini kerana aku mencintaimu. Aku mencintaimu kerana kau adalah saudaraku. Aku mencintaimu kerana ingin agar kita berada di jalan yang lurus. Agar Allah meredhai kita, dan agar kebersamaan kita dalam melakukan kebaikan mampu menembusi syurga Allah, bukanlah kerana aku ingin menembusinya bersendiri, tetapi kerana aku ingin berserta dengan semua saudara-saudaraku....

bersambung...

Wednesday, May 12, 2010

Jika dakwah adalah kecintaan, maka ikhlaskan kami merasakannya. (1)

Bismillah.

Maha Pengasih Allah, yang mengizinkan jari-jemari menyentuh aksara di papan kekunci usang ini. Allah, semoga taipan demi taipan ini, mampu mengutip segala kebaikan yang Allah limpahkan. Allah al-musta'an.

Acap kali jika disebut perkataan 'dakwah', maka yang bermain di benak kita adalah sesuatu yang membebankan. Sesuatu yang menjadikan kita mudah untuk berundur. Terbayang segala jemaah tabligh yang datang mengetuk pintu rumah ke rumah, menyuruh, mengajak ke masjid untuk solat berjemaah. Terbayang orang-orang yang berkopiah, berserban, bertudung labuh. Atau yang dikatakan sebagai 'orang-orang alim'.

Maka, inilah dia segala persepsi dakwah yang didefinisikan bagi mereka yang masih tidak mengetahui akannya.

"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Ali-Imran:104)

Mudah. Dakwah itu adalah mengajak kebaikan, menegur kesalahan. Apa saja kebaikan, kalau kita mengajak orang lain, biarpun hanya seorang, sebenarnya kamu sedang berdakwah. Apa saja keburukan, sekiranya kamu menegur kerana Allah, sebenarnya kamu sedang berdakwah.


MENGAPA PERLU MENGAJAK? MENGAPA PERLU MENEGUR?

Kerana tanda kita mencintai Allah. Kita mencintai apa yang Allah perintahkan kepada kita.

"Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang Mukmin." (Az-Zariyat: 55)

Kita cintakan syurga. Dan kita ingin agar syurga itu ditempatkan kita bersama saudara-saudara kita yang lainnya. Andai teguran ini tiada, maka sebenarnya kita hanya mahu masuk syurga bersendiri.

Tanda kita mencintai saudara kita. Kerana itulah kita menegur. Kalau tak cinta, maka mengapa perlu tegur?

Itulah konsep dakwah yang paling mudah dan padat. Dan andai kita membiarkan sahabat kita tetap dengan kesalahannya, tidak mahu menegur kerana persepsi kita terhadap seseorang seperti "Alah, aku tegur ke, tak tegur ke, sama saja. Tak ada efek pun."

Dan kita terus-menerus menyalahkan mereka. Sedang usaha kita tidaklah sebesar mana. Pernah sewaktu di matrikulasi dulu, saya agak segan untuk mengajak teman sebilik saya untuk solat berjemaah, sedang kemahuan saya melonjak-lonjak. Sungguh, saya terlalu ingin melakukan solat berjemaah dengan teman sebilik saya. Namun, kekuatan menyuarakan itu tidak ada sama sekali. Saya tidak tahu mengapa saya takut. Barangkali kerana saya takut ajakan saya ditolak. Saya benar-benar takut.

Maka, saya pendam. Setiap kali ingin menyuarakan rasa hati ini kepadanya, mulut saya seakan terkunci. Hati saya berdebar. Sedang ianya suatu yang sangat mudah. Terlalu mudah. Hanya mengatakan perkataan yang simple, "Jom kita solat jemaah!". Namun mulut seakan terkunci. Mengapa ya, kalau menyuarakan kebaikan terlalu susah? Tetapi menyuarakan perkara sia-sia terlalu mudah?

Dan saya pendam lagi. Rasanya sampai berminggu-minggu. Hati saya terasa sakit. Hanya ingin menyuarakan "Jom kita solat jemaah!" terlalu susah? Ya Allah. Betapa saya ini manusia selemah-lemah iman. Hati saya tidak tenang. Sungguh. Maka, satu hari saya bertekad, ingin menyuarakan juga apa yang terpendam di hati saya ini - iaitu mengajak untuk solat berjemaah!

Pada saat bersembang dengan teman sebilik saya, saya rasa mood nya agak baik. Sembang punya sembang, akhirnya saya menyuarakan yang saya ingin solat berjemaah dengannya. Apakah dia setuju atau tak? Mahu tahu apakah jawapannya? Ini dia;

"Eh. Aku sangat tak kisah. Dan aku sangat suka. Aku pun teringin mahu solat berjemaah. Tapi rasanya tak siapa pernah ajak aku."

Waktu mendengar itu, saya rasa mahu sujud syukur. Ya Allah, kalaulah saya tahu jawapannya sebegini, sudah lama saya mengajaknya. Dan saya berkata, sudah lama mahu mengajak, tapi segan. Malu. Dan dia kata;

"Buat apa malu? Tak perlu malu untuk buat benda baik. Aku suka bila kau ajak aku solat jemaah."

Dan saya, terkedu. Malu terhadap diri sendiri.


BERKATALAH BENAR BIARPUN PAHIT

Apakah anda mengerti cerita saya? Apakah anda memahami maksud yang ingin saya sampaikan? Ini cerita benar. Cerita diri saya sendiri. Kelakar kan? Sebenarnya hanya ingin mengajak untuk solat berjemaah sahaja. Seolah-olah memikul beban seberat gunung. Sedangkan hanya 'mengajak'. Kalau mengajak pergi shopping, jalan-jalan ke mana-mana, cepat saja bersuara. Tetapi menyuarakan ke arah kebaikan, terlalu payah. Saya mengambil masa yang lama untuk menegur. Hanya kerana saya takut, kalau-kalau ajakan saya ditolak mentah-mentah. Barangkali ianya perit, bukan?

Tetapi saya lupa. Saya tidak pernah menyedari bahawa saya sebenarnya tidak pernah berusaha untuk mengajaknya. Saya tiada usaha langsung untuk berdakwah. Saya hanya berbicara dalam hati. Melayani karenah syaitan yang semakin mahu saya menjauhkan dari dakwah ini. Saya tidak pernah tahu bahawa sahabat saya itu sebenarnya ingin, dan sangat mahu sekiranya saya mengajaknya untuk berjemaah bersama.

Dan, ini adalah pelajaran saya. Kalau saya tidak pernah mencuba, bagaimana saya berjaya? Cukupkah hanya dengan berdoa supaya teman-teman kita diberikan hidayah sedangkan usaha kita tidak ada sama sekali?

bersambung...