Sunday, March 28, 2010

Mengapa Perlu Marah Andai Islam Dihina?

Bismillah.

Saya seakan terpanggil apabila membaca sebuah entri sahabat saya di sini. Selama ini saya banyak diam. Pun tentang isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia, saya sebenarnya mahu bersuara. Tetapi saya hanya letakkan entri itu di dalam draft. Kerana lebih baik diam. Diam bukanlah bererti saya tidak peduli.

Mudah. Saya bersuara bukan kerana ingin menunjukkan rasa kekejian atau kemarahan saya kepada pihak yang terbabit. Saya hanya bersuara sebagai reflek terhadap orang-orang Muslim.


Lihatlah gambar ini.

Secara jujur, hati Muslim mana yang tidak marah apabila melihat gambar ini? Nurani Muslim mana yang tidak terasa panas setelah membaca pengakuan Lars Vilks seperti ini? Beliau inilah yang melukis karikatur Nabi Muhammad.

Kata Vilks; "Saya sebenarnya tidak berminat untuk menghina. Tujuan karikatur itu dibuat adalah untuk menunjukkan ia boleh dilakukan. Tidak wujud sebarang perkara yang sangat mulia sehingga tidak boleh diejek."

Terasa panas kan dengan membacanya? Terasa marah kan?

Apa tujuan kita marah? Kerana agama kita dihina? Ya, kemarahan memang ada dalam setiap hati kita. Tapi saya terlalu meluat kalau orang-orang marah sehingga memaki tak tentu pasal. Memaki seboleh-bolehnya sehingga mengeluarkan semua kata-kata kesat bahkan semua yang ada dalam kain juga disebut.

Apakah tujuannya? Mengapa perlu marah seperti orang tak sedar diri? Mengapa perlu marah seperti orang hilang akal?

Lihatlah dunia kita sekarang. Seperti kata-kata sahabat saya dalam entrinya itu,

"MEREKA bekerja untuk hapuskan kita, KITA bermain dengan PERMAINAN MEREKA, nahh.. pantas la.."

Kita sebenarnya adalah pengikut mereka. Ah lihat saja dengan dunia sekarang. Di sekeliling kita hak mereka. Apakah anda sudah menonton video The Arrival? Tontonlah kesemua itu di Youtube. Mungkin anda akan sedar betapa kita sekarang ini sedang dipermain-mainkan. Di sekeliling kita sekarang ini hampir kesemuanya mempunyai maksud yang telah dirancang oleh orang-orang kafir demi menghancurkan Islam serta umat-umatnya.

Lihat sajalah diri kita. Tidak perlu memaki-hamun. Tidak perlu marah. Tidak perlu memberontak. Lihatlah kita. Mana semua rukun Islam dan rukun Iman yang kita pegang? Mana zikir kita kepada Allah? Mana akidah kita? Manakah dia orang-orang Islam yang sebenar-benarnya? Kamukah itu yang sedang memaki-maki? Kamukah itu Muslim sejati?

Apakah ada di dalam Al-Quran menyebut seorang Muslim itu pantas memaki atau mengkafirkan orang lain, atau bahkan mengkafirkan orang kafir itu sendiri?

Iman kita sebenarnya di mana? Mengapa perlu marah sedang hati kita masih kotor? Mengapa perlu marah, andai kita sebenarnya pengikut-pengikut orang kafir? Mengapa tidak? Masihkah ada lagi negara Islam sekarang ini? Bukankah kita sekarang terperangkap dengan sistem sekularisme yang sedang dipuja-puja?

Dengan sistem ini juga, maka kita semua berjaya menyokong hedonisme Barat yang berlaku rata-rata di pelusuk hidup kita. Ah lihatlah ke mana saja di sudut-sudut negara kita. Apa kita sedar kita sebenarnya termakan racun oleh sistem-sistem mereka?

Lihat saja tentang rokok. Kilang terbesar yang menghasilkan rokok di mana? Israel. Tapi, apakah orang-orang Yahudi merokok? Tidak. Lalu, siapakah orangnya dengan penuh bangga menghisap rokok? Ya, orang-orang selain Yahudi terutamanya orang Islam. Lalu, tujuan mereka membina kilang rokok terbesar sedang mereka tidak merokok mengapa?

Lihat saja dengan makanan segera seperti KFC, McD, Pizza Hut dan sebagainya. Dari manakah semua itu? Di Amerika dan Israel, mereka menjadikan makanan-makanan itu sebagai makanan segera mereka, yang kalau sudah tidak ada makanan berkhasiat, barulah makanan itu mereka hadam. Itu pun jarang. Tapi, kita? Menjadikan makanan itu sebagai sarapan, lunch, dinner, atau bahkan untuk menyambut birthday party etc. Bangga pula ya setiap hari menghadamnya. Kononnya standard. Lidah hanya sesuai dengan makanan seperti itu berbanding nasi dan lauk-pauk kampung. Makanan mahal lah katakan.

Ah. Banyak lagi yang telah kita lakukan dengan senang hati. Banyak lagi yang kita amalkan dan menjadikan budaya mereka itu sebagai budaya kita.

Lalu, bukankah kita ini bodoh?

Dan saat mereka menghina kita atas kebodohan kita, lalu kita marah?

Mengapa perlu marah? Mengapa?

Reflek pada diri sendiri. Cermin diri kita. Kita ini muslim. Tetapi apakah kita muslim sejati? Atau hanya pada nama?

Saidina Ali ketika dalam satu peperangan menjatuhkan orang kafir yang hampir saja menusuk pedangnya ke tubuh lawan itu. Tetapi, orang kafir tersebut meludah ke muka beliau. Bayangkan kemarahan seorang manusia yang pada saat sudah mempunyai peluang besar untuk membunuh musuhnya, kemudian diludah pula. Sudah tentu api kemarahan semakin melonjak bukan?

Tetapi tidak pada Saidina Ali. Beliau membatalkan niatnya untuk membunuh musuh pada saat itu. Maka orang kafir tadi hairan dan berkata "Mengapa kau tidak membunuhku?". Lalu, Saidina Ali menjawab; "Aku takut membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana kau meludahku."

Lalu, mengapa kita tidak belajar dari kesatria hebat seperti Saidina Ali - seorang Muslim sejati? Beliau bahkan diludah. Peluangnya untuk membalas dendam sudah tentu ada di depan mata. Tetapi beliau batalkan hanya kerana ingin melawan nafsu kemarahannya.

Sedang kita? Dicuit sikit saja sudah marah sampai menyebut kata-kata kesat atau bahkan sampai semua yang ada di dalam kain disebut. Belum pun diludah di hadapan mata. Apa agaknya reaksi kita. Sedarlah, dengan sikap kita sebegitu langsung tidak mencerminkan identiti Islam kita. Bertambah memalukan sebenarnya.

Bukanlah kita tidak boleh marah, sedang agama kita dihina. Tetapi marahlah kerana Allah dan agama. Bukan kerana nafsu.

Wallahu 'alam.

Nota 1: Back to the basic of Islam.

Nota 2: Entri ini tiada lain ditujukan melainkan untuk diri saya sendiri.

Saturday, March 27, 2010

Kekuatan

Bismillah.

Kadang sering juga timbul rasa bersalah dalam diri tika selesai berbicara untuk menyelesaikan suatu perkara yang ditimbulkan oleh mutarabbiku. Kadang timbul juga pertanyaan "Siapa aku?!" dalam diri ini tika selesai menyelesaikan suatu masalah itu. Sungguh, saat sedang berbicara, begitu banyak idea sehingga kadang tak sedar apa yang dibicarakan itu apakah benar apakah tidak.

Menjadi seorang naqibah memerlukan kekuatan. Konsisten (Istiqamah). Sedang aku bukanlah di kalangan ahlinya. Pernah suatu ketika dulu, sewaktu aku tidak mengenali makna sebuah usrah atau yang kerap juga dipanggil liqa' dan halaqah. Usrah itu adalah perkataan dari bahasa Arab yang bermaksud 'keluarga'. Usrah - yang aku anggapnya dahulu hanyalah suatu program agama yang mencukupkan takwim sesebuah jemaah mahupun persatuan.

Namun setelah berada di dalamnya, ianya bukan hanya program agama yang menjadi ketakutan orang yang tidak pernah merasai berada di dalamnya. Tetapi, aku mula merasakan bahawa usrah itu adalah keperluan hidup. Ya, benar-benar suatu keperluan hidup. Yang pada mulanya, aku hanyalah salah seorang mad'u, maka sekarang ini, aku menjadi murabbi kepada mad'uku.

Maka, usrah itu bukanlah hanya pemberian segala materi atau bahan kepada anak usrah secara mutlak. Yang kadang, kesilapan para naqib/naqibah sewaktu mengendalikan usrah adalah menyampaikan bulat-bulat bahan yang telah tersedia dalam silibus usrah dan akan menimbulkan rasa bosan.

Janganlah marah atau melenting jika hanya pada saat permulaan sahaja kita melihat semangat yang ditonjolkan oleh anak didik usrah kita. Dan janganlah terkejut kalau ada juga di antara anak didik usrah kita yang kerap tidak hadir untuk pertemuan usrah. Kerana ianya tergantung dari si naqib/naqibah itu sendiri. Mungkin ianya disebabkan bahan-bahan usrah itu suatu yang sememangnya kita telah pelajari dari sekolah dulu. Atau mungkin juga bahan-bahan usrah itu terlalu berat untuk mereka menerimanya. Dan ditambah pula dengan cara penyampaian yang tidak mengesankan, tanpa keceriaan dan ketidakserasian.

Aku ingin sekali mengatakan pada kalian yang bernama naqib/naqibah, usrah itu adalah satu-satunya tempat untuk kita berhimpun dan mengharapkan cinta Allah, satu-satunya tempat untuk kita meluahkan kerinduan kepada Allah, satu-satunya tempat untuk kita mentadabbur ayat-ayat cinta Allah, untuk kita mengenangkan perjuangan Rasulullah, dan untuk mengisi ruh kita yang sedang kelaparan.

Maka, jadilah seorang pemberi yang mengetahui apa yang ingin kamu berikan. Berikanlah kepada mereka makanan yang mampu diserap oleh ruh, bukan hanya jasad. Berikanlah mereka ilmu yang betul-betul kamu sebagai pemberi memahaminya terlebih dahulu, dan bukannya bergantung pada bahan yang diberikan.

Paling penting, fahami hati dan perasaan mereka. Ketahuilah, anak-anak didik usrah kita sebenarnya sedang kelaparan dan kehausan. Mereka sebenarnya menginginkan kita sebagai perantara untuk memberikan mereka kekuatan. Mereka sebenarnya perlukan kekuatan dari kita.

Sering aku katakan pada mutarabbiku, bahawa meskipun aku adalah naqibah mereka, tidak bermakna aku adalah sempurna. Tidak bermakna aku lebih banyak ilmunya berbanding mereka. Tidak bermakna aku konsisten dalam keimanan dan ketaqwaanku pada Allah, melainkan aku juga mencari kekuatan dalam menyampaikan. Yang dalam saat aku menyampaikan kepada mereka sebenarnya aku tujukan buat diriku sendiri.

Selamilah hati mereka, kerana di situlah letaknya kekuatan usrah, kerana itu dinamakan usrah, iaitu keluarga. Hanya saja keluarga yang tidak ada pertalian darah daging dan pertemuan keluarga ini adalah pertemuan bertujuan berhimpun untuk mengemis cinta Allah. Inilah tempatnya.

Maka satu hal yang sering aku katakan pada mutarabbiku adalah;

Ya, kita boleh saja bersendirian dengan Tuhan. Berdoa bersendiri. Tetapi kadang kita tak punya kekuatan untuk melakukannya bersendiri. Dengan ditambah lagi bisikan syaitan yang sentiasa menyeru kita melakukan kejahatan sehingga kita benar-benar lalai. Kadang kita merasa terlalu rindu pada Allah, tetapi mengapa sering merasa berat berjumpa dengan-Nya meski dengan bersendiri? Maka, usrah ini yang mempertemukan kita pada Allah. Usrah ini yang mengubati rindu kita pada Allah. Kerana kita berada dalam satu majlis peringatan yang ada orang mengingatkan. Dan usrah ini yang menguatkan kita.

Betapa tidak, adalah aku orangnya yang paling bahagia saat seorang anak didikku berkata;

"Kak, first usrah akak saya ikut, waktu tu saya mengaku saya sangat down. Saya datang usrah dalam keadaan tertekan, tetapi waktu akak terangkan pasal ayat Al-Baqarah ayat 214 tu secara detail, saya terus ok. Kali kedua saya mengalami masalah yang sama, saya terlalu tertekan sampai saya menangis. Saya balik rumah. Saya berfikir, kalau saya tak join usrah hari tu, saya telah tinggalkan perkara yang baik. Maka, saya datang dalam usrah akak. Dan waktu akak terangkan tentang ujian para Nabi yang lebih berat berbanding saya, saya tahu masalah saya masih sangat sedikit dibandingkan ujian yang ditimpakan para Nabi. Saya terus ok. Seolah-olah masalah semua hilang."

Maka, Tuhan..

Aku mohon kekuatan dalam aku menyampaikan. Maafkanlah hamba andai terlalu banyak dosa dalam menyampaikan seruan-Mu kepada mereka. Mohon Kau ampuni aku. Kerana satu-satunya harapanku dalam usrah ini, adalah semoga kecintaan dan kerinduan kami kepada-Mu semakin bertambah.

Janganlah pada saat berada di Padang Mahsyar nanti, saat matahari hanya tinggal sehasta dari kepala, saat seluruh tubuh bermandikan keringat, dan datang segala tinta dan suara yang lebih banyak berbicara di muka bumi ini, lalu mengatakan; "Tuanku hanya berkata tapi tidak mengamalkannya.."

Nauzubillah.


Nota 1: Tidak sedar aku rupanya bergelut dalam kesibukan. Dalam kesibukan ini, aku benar-benar rindu pada-Mu ya Allah...

Nota 2: Saya rindu mak, bapa dan adik-beradik saya.

Thursday, March 11, 2010

Tentang Takdir

Bismillah.
(Buka dengan umul kitab Al-Fatihah)



عن أبي عبدالرحمن عبدالله بن مسعود رضي الله عنه قال حدثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو الصادق المصدوق
" إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ثم علقه مثل ذلك ثم يكون مضغة مثل ذلك , ثم يرسل إليه الملك فينفخ فيه الروح , ويؤمر بأربع كلمات : بكتب رزقه , وأجله , وعمله , وشقي أم سعيد . فوالله الذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار , وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل
النار حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل الجنة

Dari Abu 'Abdirrahman Abdullah bin Mas'ud radhiallahu 'anh, dia berkata : bahwa Rasulullah telah bersabda, "Sesungguhnya tiap-tiap kalian dikumpulkan penciptaannya dalam rahim ibunya selama 40 hari berupa nutfah, kemudian menjadi 'Alaqoh (segumpal darah) selama itu juga lalu menjadi Mudhghoh (segumpal daging) selama itu juga, kemudian diutuslah Malaikat untuk meniupkan ruh kepadanya lalu diperintahkan untuk menuliskan 4 kata : Rezeki, Ajal, Amal dan Sengsara/bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainnya, ada seseorang di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli surga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan surga kecuali sehasta saja. Kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli neraka dan ia masuk neraka. Ada di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli neraka sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta saja. kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli surga dan ia masuk surga."


[Bukhari no. 3208, Muslim no. 2643]



Demikianlah pencerahan yang terlakar pada Hadis Arba'in An-Nawawi No 4. Saat kita sudah menjadi segumpal daging di dalam perut seorang ibu, telah tercatat empat takdir yang ditentukan untuk kita;

Rezeki.
Ajal.
Amal.
Sengsara dan kebahagiaan.


Semua yang berlaku sewaktu kita hidup sehingga sekarang ini, semua yang telah berlaku itu telah ditentukan Allah. Barangkali, setiap apa yang berlaku itu sebenarnya tidak pernah timbul pertanyaan 'Mengapa?'. Kerana ianya terjadi atas ketetapan Allah.

Sekarang ini, janganlah persoalkan nasib dan takdir yang telah ditentukan untuk kita. Kerana semua itu sudah pun tertulis di Lauh Mahfuz. Dalam jangka waktu yang setiap perkara akan datang berada di luar pengetahuan kita, maka paling penting sekali adalah; berusaha, doa dan berserah. Apa pun yang bakal diberikan kepada kita.

Hadis Arba'in An-Nawawi yang keempat ini sebenarnya bukanlah suatu perintah ataupun penerangan untuk menjadikan kita berputus asa akan takdir yang selama ini tidak bertetapatan dengan rencana kita. Tetapi, mengajar kita untuk sentiasa belajar dan berusaha dalam setiap kesempatan yang ada.

Semua yang tertulis itu sesungguhnya adalah rahsia Allah. Hanya Dia saja yang mengetahui. Maka, kita hanya mampu berusaha, berdoa dan berserah agar takdir kita yang telah tertulis itu adalah yang terbaik dan agar kita adalah hamba-hamba pilihan-Nya.

Ada seseorang di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli surga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan surga kecuali sehasta saja. Kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli neraka dan ia masuk neraka.

Ada di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli neraka sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta saja. kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli surga dan ia masuk surga.

Nah, inilah yang seharusnya dikhuatirkan oleh orang-orang yang beriman. Orang mukmin yang sejati adalah mereka yang sentiasa merasa dirinya berdosa, mereka yang sentiasa menghisab diri dan amalnya, mereka yang tidak pernah merasakan dirinya dalam golongan yang paling benar, mereka yang tawaduk lagi merendah diri, dan mereka yang sentiasa bersikap optimis dalam setiap hal mahupun setiap ketentuan yang Allah tetapkan kepadanya.

Sebaliknya, orang-orang mukmin yang selalu merasa dirinya bersih, mereka yang sentiasa yakin dalam golongan yang paling benar, mereka yang sentiasa merasa cukup akan amalnya, dan menganggap keji orang-orang yang tidak sefikrah dengannya adalah orang-orang mukmin yang lemah.

Ada pun, saya yang sedang berbicara di pentas maya ini sebenarnya seorang yang masih banyak tidak tahu dan terlalu banyak dosanya. Barangkali saya yang mengaku berada di dalam pentas dakwah ini belum tentu untuk kekal istiqamah berada di jalan-Nya. Dan kalian yang sedang membaca ini, barangkali mendapat nasib yang tidak terjangkau dek pengetahuan kita.

Maka, orang yang bertudung labuh, berkopiah dan berimejkan Islam, janganlah dipandang keji walau sikapnya itu tidak bertepatan dengan imejnya. Begitu juga dengan orang yang raja segala hedonisme, yang sering bergaul bebas, tidak menutup aurat, dan sebagainya. Janganlah dipandang keji kerana sikapnya. Kerana ianya adalah tugas Allah untuk menilai dan menghakimnya. Bahkan, nasibnya itu adalah di luar pengetahuan manusiawi kita.

Janganlah mengambil alih tugas Tuhan. Jadilah manusia yang sinonim dengan kesilapan, kekhilafan diiringi dengan usaha. Kita semua sama. Yang membedakan kita di sisi Allah cuma TAQWA.

Semoga bertambah serius menjadi abdi-Nya.

(Tutup dengan tasbih kifarah dan surah Al-Asr)

6.14 pm,
teratak mawar.

Nota: Tahniah buat adik-adik yang telah mendapat keputusan SPM. Tidak kiralah yang mendapat keputusan cemerlang, sederhana mahupun yang kurang bernasib baik. Semuanya telah tertulis. Bersyukurlah. Jangan dikesali akan takdir. Sebaliknya, terus berusaha. SPM bukanlah paling penting untuk mencorak kehidupan, hanyalah penentuan untuk meneruskan langkah. Kadang rezeki Allah itu diberikan kepada kita tanpa disangka-sangka. Percayalah dengan rezeki Allah.