Friday, August 21, 2009

Malu Pada Ibnu Sina

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Segala puji bagi Allah yang masih mengizinkan udara berkeliaran di lorong pernafasan, yang mengizinkan denyut-denyut nadi bersatu untuk berdetak pada liang saraf, yang mengizinkan otot-otot dan sendi-sendi ini bisa bergerak, seterusnya menggerakkan tulang-tulang pada daerah distal phalanges untuk bisa mengetik aksara di atas papan keyboard. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad, berserta para sahabat dan ahli keluarganya, yang tanpa perjuangan mereka, tidak mungkin Islam akan tertegak seperti sekarang.

Cuaca di Medan kurang berdisiplin. Matahari sakit. Sudah beberapa hari tidak menyinarkan cahayanya yang terik. Langit juga semakin muram. Kerap bersetuju untuk memuntahkan hujan di waktu petang dan malam. Jam 4 petang sudah seperti 6 petang. Suram. Aku sama seperti matahari. Sakit. Mujurlah, aku sudah beransur sembuh dari sakit yang kualami beberapa hari yang lalu.

Banyak perkara yang berlaku. Semalam, aku dikejutkan dengan berita seorang rakan sekolah rendahku dulu yang telahpun berkahwin. Sudah lama tidak berhubung. Terakhir hanyalah sewaktu Darjah 6. Kami satu bas sekolah. Ya, geng bas sekolah :) Juga satu kelas. Kelas 6 Cemerlang. Kelas pertama dalam setiap batch. Berulangkali perkataan "Masya Allah" melucur dari bibirku. Langsung sahaja dapat berita tentang perkahwinannya, aku tidak henti-henti senyum. Dan yang membuatkanku terpana, bahawa dia telah berkahwin dengan orang Indonesia. Semakin meleret senyumanku.

It's an unexpected thing! How could you believe your friend's of primary school already married with the foreigner? I still can't believe it now! Tapi, mengenangkan jodoh itu dalam tangan Tuhan, maka aku takkan pernah melihat ada sesuatu yang mustahil di dunia-Nya ini. Selamat buat temanku itu. Isterinya juga sedang hamil sekarang. Mohon doa semuanya. Amin.. :)



OBSTETRIC AND GYNECOLOGY

Sekarang aku berada di dalam dunia Obstetric and Gynecology. Sudah di semester 3 dalam dunia perubatan. Di sini, barulah imaginasi membawaku ke ladang profesion seorang doktor. Profesion yang sebenar telah menerawang di seluruh benakku. Berbeza ketika belajar di semester sebelum ini. Aku terkenang akan cabaran yang dikemukakan oleh ibuku. Selalu dia berpesan agar aku menjadi doktor semata kerana Allah dan ummah. Terutamanya membantu para wanita dalam proses melahirkan anak. Terus terang, aku takut menyahut cabaran itu. Fizikal saja seperti berani, tetapi mental agak pengecut.

Aku masih berfikir, sudah banyak manakah ilmu yang telah kugenggam? Semakin belajar, aku merasakan diriku semakin lemah dan tak berdaya. Kalau ikutkan sifat manusiawi dalam diri yang dhaif ini, sudah tentu aku tidak punya kekuatan. Kadang aku merasakan bahawa aku berada di wilayah tandus yang bertopengkan wajah dan bibir malaikat. Aku ingin mengajak sahabat sePerubatanku semua berfikir, mengapa kita berada di dalam dunia perubatan ini?

Ramai yang mengatakan bahawa kerana keuntungannya yang besar sesudah kerja nanti. Terus terang saja, gaji seorang doktor pada mulanya tidaklah sebesar seperti yang disangka. Mungkin sama sahaja dengan gaji seorang guru. Aku terkadang seolah-olah didesak dengan asakan fikiran mereka yang mengatakan bahawa tujuan menuntut ilmu ini disandarkan pada gaji sewaktu sudah bekerja. Aku lemas. Katalah saja aku hipokrit! Poyo dan apa saja. Tapi maaf, aku masih gagal untuk melihat tentang keuntungan besarnya atau tidak gaji di saat aku menjadi doktor nanti. Malah aku sering dihantui dengan soalan-soalan yang menyemakkan mindaku seperti ini; "Apakah aku mampu?" Itu yang membelenggu diriku.

Aku bertanya pada seorang pelajar Cina, mengapa kamu mahu jadi doktor? Dia menjawab, "Kerana wang." Mudahkan jawapan dia? Kalau saja aku dapat menjawab seperti dia, alangkah senang hidup yang bakal aku jalani. Benarkah? Ya, benar. Kerana jika kita mengejar dunia, maka Allah akan beri di dunia saja dengan mudah. Berbeza sekiranya andai kita mengejar dunia dan akhirat, maka Allah akan beri kedua-duanya. Kerana ingin mendapatkan kedua-dua itulah kita - sebagai seorang muslim harus merasa payah.

Begini saja. Cuma dengarkan ayat ini dengan baik-baik; "Wang bukan segala-galanya. Tetapi, segala-galanya perlukan wang." Di sini, aku tidak mengatakan wang tidak penting. Tapi, cukuplah berprinsip pada ayat ini: "Segala-galanya perlukan wang" dan bukan tekankan pada ayat ini: "Wang adalah segala-galanya". Cuma itu saja. Jangan pernah berhenti untuk berfikir. Dan, fikirkanlah ayat itu sedalam-dalamnya.


Lalu, mengapa berada dalam bidang perubatan? Kerana gelaran 'doktor' itukah? Andai pada saat aku mengatakan terhadap seorang pesakit, "Saya Dr. Kartini.." sambil menguntumkan senyum. Pesakitku itu kemudian berkata, "Doktor.. saya sakit. Tolong ubati saya.." Dan, sungguh. Apa jenis manusiakah aku ini, di saat pesakit datang memohon ihsan dariku, dan aku menjadi hamba pada gelaran doktor itu? Dan orang menyangka, dengan jadinya dia seorang doktor, maka kesemua pesakit harus akur dengan kata-katanya, kerana dialah kononnya menjamin keselamatan pesakit itu.

Ibnu Sina, menjadi doktor setelah memahami ilmu-ilmu etika seorang doktor. Masakan tidak, doktor adalah profesion pertama yang paling terbanyak etika yang harus dipatuhi. Namun, aku akui, aku masih juga gagal melihat doktor-doktor yang beretika pada waktu ini. Semua berwajah bengis. Semua berwajah bongkak. Semua merasa diri hebat. Hebat hanya di dalam dunia perubatannya sendiri, sedangkan tidak pernah menyelongkar kekuasaan ilmu perubatan-Nya yang Maha Agung.

Di luar sana, mungkin orang tidak menyangka bahawa pelajar-pelajar perubatan belajar tentang etika kedoktoran. Malah sebenarnya terlalu ditekankan. Mengapa aku berkata orang di luar sana tidak menyangka pelajar perubatan ditekankan tentang etika kedoktoran? Kerana dengan terpelajarnya pelajar perubatan dalam matapelajaran etika, pun masih gagal melahirkan doktor yang beretika, penyayang, lemah-lembut, pesakit begitu senang andai bertemu dengan doktor, dan sebut sahaja nama doktor, mana-mana doktor dijadikan contoh, juga sebagai idola buat semua kerana bukan sahaja terpelajarnya para doktor ini, tetapi merekalah yang paling beretika. Profesion yang paling beretika seharusnya adalah mereka - doktor perubatan.

Mudah saja, kerana doktor-doktor sekarang kurang beretika. Malah, sekarang ini, kalau disuruh anak-anak dihantar ke hospital untuk berjumpa doktor, anak-anak ini akan merasa benci. Bahkan berjumpa dengan ubat sahaja merasa takut. Gagal menunjukkan etika pada wajah-wajah si doktor.

Ini adalah pendapat dariku, kalaupun menjadi doktor hanya dengan berwajah megah dan berbangga bahawa kita begitu terpelajar, aku rasa kita harus malu pada Ibnu Sina. Kerana dia adalah doktor pertama di dunia ini. Dan dia adalah doktor pertama yang melahirkan ilmu etika yang diciptakan di dalam "Al-Qanun Fi Al-Tibb" nya (Undang-undang Kedoktoran). Dan andai keterlibatan kita menjadi penuntut ilmu dalam dunia perubatan ini hanya kerana mengejar harta, pangkat duniawi, maka aku rasa kita juga harus malu pada Al-Ghazali akan kata-katanya;

"Tidak boleh para pelajar bermatlamat menuntut ilmu untuk tujuan mencari pangkat, harta kekayaan dan kebesaran, menindas orang bodoh dan membanggakan diri di hadapan teman-temannya."
- Al-Ghazali


Dan persepsi yang harus kita ubah kepada orang-orang di luar sana ialah, doktor bukan hanya sekadar profesion untuk mengubati pesakit, tetapi profesion yang penuh dengan beretika dan seorang pendengar setia. Andai pesakit meluahkan masalah, dia mendengar. Andai dia berbicara, menyamankan. Agar setiap pesakit yang datang berjumpa dengan kita merasa nyaman dan kitalah orangnya yang memberikan nyaman kepada mereka.

"Kadang orang yang menceritakan masalahnya pada kita bukan untuk diselesaikan tetapi untuk didengarkan.."

*Aku berbicara bukan sebagai ilmuwan mahupun si bijak pandai, tetapi sebagai seorang penuntut ilmu yang masih belajar dan masih banyak tidak tahu. Masih membina kekuatan untuk menjadi seorang doktor seperti Ibnu Sina. Allahumma ameen..


Oh ya, ini kad Ramadhan dari sahabatku. Syukran sahabat..

Nota: Ahlan wasahlan ya Ramadhan. Saya mohon maaf atas segala kelemahan dalam tulisan-tulisan saya. Mohon maaf atas salah dan silap saya, tak kira kepada sesiapa yang membaca tulisan-tulisan saya di sini. Ilmu saya masih setitis air di lautan. Semoga Ramadhan kali ini lebih mendekatkan diri kita pada-Nya. Ramadhan al-Kareem...

5 comments:

Nurul Rya said...

Double thumbs up, teeny! <3

fidah chOmeLL said...

i pray that u'll b a good doctor in the futur...insya Allah..selamat berpuasa =)

Wardatul Shaukah said...

Rya:
:)

fidah chOmeLL:
Allahumma ameen. salam ramadhan buat ukhti fidah. semoga diberikan kekuatan untuk beribadah di bulan mulia ini. jazakillah khair...

ZAIEM AL- HILMEE said...

Salam.. satu muhasabah dan luahan hati yang ikhlas.. Rasanya, sapa yg baca artikel nie tentu byk yg terasa lantaran mereka menuntut ilmu kerana 'wang'.. Salam Ramadhan diucapkan kepada sahabatku, Teeny. Semoga sentiasa berada dalam kekhusyukan ibadah kepada ALlah terutama di dalam bulan Ramadhan ini.

Wardatul Shaukah said...

zaiem:
artikel ni sebenarnya untuk mengingatkan diri sendiri yang paling utama. mudah-mudahan menuntut ilmu adalah semata-mata kerana Allah. mau tak mau, memang niat kita selalu nda tentu arah. dan kadang kita mesti juga terlintas sebegitu. mudah-mudahan sentiasa beringat. salam ramadhan juga buatmu. semoga semakin kuat dan kuat untuk maximalkan ibadat di bulan yang dicintai ni.. hasbunALLAH wanikmal wakil... Allah yubarik fik