Friday, August 21, 2009

Malu Pada Ibnu Sina

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Segala puji bagi Allah yang masih mengizinkan udara berkeliaran di lorong pernafasan, yang mengizinkan denyut-denyut nadi bersatu untuk berdetak pada liang saraf, yang mengizinkan otot-otot dan sendi-sendi ini bisa bergerak, seterusnya menggerakkan tulang-tulang pada daerah distal phalanges untuk bisa mengetik aksara di atas papan keyboard. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad, berserta para sahabat dan ahli keluarganya, yang tanpa perjuangan mereka, tidak mungkin Islam akan tertegak seperti sekarang.

Cuaca di Medan kurang berdisiplin. Matahari sakit. Sudah beberapa hari tidak menyinarkan cahayanya yang terik. Langit juga semakin muram. Kerap bersetuju untuk memuntahkan hujan di waktu petang dan malam. Jam 4 petang sudah seperti 6 petang. Suram. Aku sama seperti matahari. Sakit. Mujurlah, aku sudah beransur sembuh dari sakit yang kualami beberapa hari yang lalu.

Banyak perkara yang berlaku. Semalam, aku dikejutkan dengan berita seorang rakan sekolah rendahku dulu yang telahpun berkahwin. Sudah lama tidak berhubung. Terakhir hanyalah sewaktu Darjah 6. Kami satu bas sekolah. Ya, geng bas sekolah :) Juga satu kelas. Kelas 6 Cemerlang. Kelas pertama dalam setiap batch. Berulangkali perkataan "Masya Allah" melucur dari bibirku. Langsung sahaja dapat berita tentang perkahwinannya, aku tidak henti-henti senyum. Dan yang membuatkanku terpana, bahawa dia telah berkahwin dengan orang Indonesia. Semakin meleret senyumanku.

It's an unexpected thing! How could you believe your friend's of primary school already married with the foreigner? I still can't believe it now! Tapi, mengenangkan jodoh itu dalam tangan Tuhan, maka aku takkan pernah melihat ada sesuatu yang mustahil di dunia-Nya ini. Selamat buat temanku itu. Isterinya juga sedang hamil sekarang. Mohon doa semuanya. Amin.. :)



OBSTETRIC AND GYNECOLOGY

Sekarang aku berada di dalam dunia Obstetric and Gynecology. Sudah di semester 3 dalam dunia perubatan. Di sini, barulah imaginasi membawaku ke ladang profesion seorang doktor. Profesion yang sebenar telah menerawang di seluruh benakku. Berbeza ketika belajar di semester sebelum ini. Aku terkenang akan cabaran yang dikemukakan oleh ibuku. Selalu dia berpesan agar aku menjadi doktor semata kerana Allah dan ummah. Terutamanya membantu para wanita dalam proses melahirkan anak. Terus terang, aku takut menyahut cabaran itu. Fizikal saja seperti berani, tetapi mental agak pengecut.

Aku masih berfikir, sudah banyak manakah ilmu yang telah kugenggam? Semakin belajar, aku merasakan diriku semakin lemah dan tak berdaya. Kalau ikutkan sifat manusiawi dalam diri yang dhaif ini, sudah tentu aku tidak punya kekuatan. Kadang aku merasakan bahawa aku berada di wilayah tandus yang bertopengkan wajah dan bibir malaikat. Aku ingin mengajak sahabat sePerubatanku semua berfikir, mengapa kita berada di dalam dunia perubatan ini?

Ramai yang mengatakan bahawa kerana keuntungannya yang besar sesudah kerja nanti. Terus terang saja, gaji seorang doktor pada mulanya tidaklah sebesar seperti yang disangka. Mungkin sama sahaja dengan gaji seorang guru. Aku terkadang seolah-olah didesak dengan asakan fikiran mereka yang mengatakan bahawa tujuan menuntut ilmu ini disandarkan pada gaji sewaktu sudah bekerja. Aku lemas. Katalah saja aku hipokrit! Poyo dan apa saja. Tapi maaf, aku masih gagal untuk melihat tentang keuntungan besarnya atau tidak gaji di saat aku menjadi doktor nanti. Malah aku sering dihantui dengan soalan-soalan yang menyemakkan mindaku seperti ini; "Apakah aku mampu?" Itu yang membelenggu diriku.

Aku bertanya pada seorang pelajar Cina, mengapa kamu mahu jadi doktor? Dia menjawab, "Kerana wang." Mudahkan jawapan dia? Kalau saja aku dapat menjawab seperti dia, alangkah senang hidup yang bakal aku jalani. Benarkah? Ya, benar. Kerana jika kita mengejar dunia, maka Allah akan beri di dunia saja dengan mudah. Berbeza sekiranya andai kita mengejar dunia dan akhirat, maka Allah akan beri kedua-duanya. Kerana ingin mendapatkan kedua-dua itulah kita - sebagai seorang muslim harus merasa payah.

Begini saja. Cuma dengarkan ayat ini dengan baik-baik; "Wang bukan segala-galanya. Tetapi, segala-galanya perlukan wang." Di sini, aku tidak mengatakan wang tidak penting. Tapi, cukuplah berprinsip pada ayat ini: "Segala-galanya perlukan wang" dan bukan tekankan pada ayat ini: "Wang adalah segala-galanya". Cuma itu saja. Jangan pernah berhenti untuk berfikir. Dan, fikirkanlah ayat itu sedalam-dalamnya.


Lalu, mengapa berada dalam bidang perubatan? Kerana gelaran 'doktor' itukah? Andai pada saat aku mengatakan terhadap seorang pesakit, "Saya Dr. Kartini.." sambil menguntumkan senyum. Pesakitku itu kemudian berkata, "Doktor.. saya sakit. Tolong ubati saya.." Dan, sungguh. Apa jenis manusiakah aku ini, di saat pesakit datang memohon ihsan dariku, dan aku menjadi hamba pada gelaran doktor itu? Dan orang menyangka, dengan jadinya dia seorang doktor, maka kesemua pesakit harus akur dengan kata-katanya, kerana dialah kononnya menjamin keselamatan pesakit itu.

Ibnu Sina, menjadi doktor setelah memahami ilmu-ilmu etika seorang doktor. Masakan tidak, doktor adalah profesion pertama yang paling terbanyak etika yang harus dipatuhi. Namun, aku akui, aku masih juga gagal melihat doktor-doktor yang beretika pada waktu ini. Semua berwajah bengis. Semua berwajah bongkak. Semua merasa diri hebat. Hebat hanya di dalam dunia perubatannya sendiri, sedangkan tidak pernah menyelongkar kekuasaan ilmu perubatan-Nya yang Maha Agung.

Di luar sana, mungkin orang tidak menyangka bahawa pelajar-pelajar perubatan belajar tentang etika kedoktoran. Malah sebenarnya terlalu ditekankan. Mengapa aku berkata orang di luar sana tidak menyangka pelajar perubatan ditekankan tentang etika kedoktoran? Kerana dengan terpelajarnya pelajar perubatan dalam matapelajaran etika, pun masih gagal melahirkan doktor yang beretika, penyayang, lemah-lembut, pesakit begitu senang andai bertemu dengan doktor, dan sebut sahaja nama doktor, mana-mana doktor dijadikan contoh, juga sebagai idola buat semua kerana bukan sahaja terpelajarnya para doktor ini, tetapi merekalah yang paling beretika. Profesion yang paling beretika seharusnya adalah mereka - doktor perubatan.

Mudah saja, kerana doktor-doktor sekarang kurang beretika. Malah, sekarang ini, kalau disuruh anak-anak dihantar ke hospital untuk berjumpa doktor, anak-anak ini akan merasa benci. Bahkan berjumpa dengan ubat sahaja merasa takut. Gagal menunjukkan etika pada wajah-wajah si doktor.

Ini adalah pendapat dariku, kalaupun menjadi doktor hanya dengan berwajah megah dan berbangga bahawa kita begitu terpelajar, aku rasa kita harus malu pada Ibnu Sina. Kerana dia adalah doktor pertama di dunia ini. Dan dia adalah doktor pertama yang melahirkan ilmu etika yang diciptakan di dalam "Al-Qanun Fi Al-Tibb" nya (Undang-undang Kedoktoran). Dan andai keterlibatan kita menjadi penuntut ilmu dalam dunia perubatan ini hanya kerana mengejar harta, pangkat duniawi, maka aku rasa kita juga harus malu pada Al-Ghazali akan kata-katanya;

"Tidak boleh para pelajar bermatlamat menuntut ilmu untuk tujuan mencari pangkat, harta kekayaan dan kebesaran, menindas orang bodoh dan membanggakan diri di hadapan teman-temannya."
- Al-Ghazali


Dan persepsi yang harus kita ubah kepada orang-orang di luar sana ialah, doktor bukan hanya sekadar profesion untuk mengubati pesakit, tetapi profesion yang penuh dengan beretika dan seorang pendengar setia. Andai pesakit meluahkan masalah, dia mendengar. Andai dia berbicara, menyamankan. Agar setiap pesakit yang datang berjumpa dengan kita merasa nyaman dan kitalah orangnya yang memberikan nyaman kepada mereka.

"Kadang orang yang menceritakan masalahnya pada kita bukan untuk diselesaikan tetapi untuk didengarkan.."

*Aku berbicara bukan sebagai ilmuwan mahupun si bijak pandai, tetapi sebagai seorang penuntut ilmu yang masih belajar dan masih banyak tidak tahu. Masih membina kekuatan untuk menjadi seorang doktor seperti Ibnu Sina. Allahumma ameen..


Oh ya, ini kad Ramadhan dari sahabatku. Syukran sahabat..

Nota: Ahlan wasahlan ya Ramadhan. Saya mohon maaf atas segala kelemahan dalam tulisan-tulisan saya. Mohon maaf atas salah dan silap saya, tak kira kepada sesiapa yang membaca tulisan-tulisan saya di sini. Ilmu saya masih setitis air di lautan. Semoga Ramadhan kali ini lebih mendekatkan diri kita pada-Nya. Ramadhan al-Kareem...

Saturday, August 8, 2009

Kalaulah Al-Quran Boleh Berbicara (2)

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Sudah diceritakan serba sedikit akan lembaran yang tersingkap satu persatu atas nama cinta untuk bisa ayat-ayat pada kalam itu menyentuh nurani kita agar bisa kita bercinta dalam bentuk spiritual. Mengertilah bahawa setiap apapun yang tercipta punya suara nurani untuk disuarakan biarpun dalam keadaan yang berbeza.

Satu-satunya cara yang disampaikan oleh Pemilik Cinta adalah melalui ayat-ayat cinta yang tertulis dalam kalam-Nya:
Al-Quran. Juga sudah disentuh akan kewujudan cinta dalam mentadabbur kalam ini pada lembar yang lepas (rujuk Al-Quran dan Cinta). Sedar atau tidak, kita masih tidak punya hati untuk mencari, dan tidak punya akal untuk berfikir. Andai hati dan akal digunakan sekerasnya untuk mencari dan berfikir, pasti ditemui apa itu cinta sejati.

Sepertimana kita ingin mencari cinta manusia, kadang dengan pena bisa membuatkan cinta berputik. Pena yang berbentuk bagaimanakah? Sudah tentu ayat-ayat yang penuh dengan ghairahnya cinta, yang ditulis di atas kertas. Lalu, kita membacanya berkali-kali. Semakin membaca, semakin kuat cinta itu. Kadang, dengan membaca, langsung sahaja semangat datang berkobar-kobar. Sampai terbayang-bayang. Makan, tidur, berjalan, asyik terbayang dan punya suatu perasaan luar biasa andai mengingatkan bait-bait yang ditulis di atas kertas itu. Bak kata seorang sahabat saya; Hebatnya kuasa cinta!


MENCARI CINTA DENGAN MATA HATI

Maka, ambillah kitab itu. Bukalah dengan hati nurani yang bersih lagi kosong. Tiada apa selain ingin membaca dan menghayati. Betapa setiap ayat yang dibaca, seolah-olah Tuhan itu sedang berbicara dengan kita. Lantas, hati ini akan tersentuh. Yang dirasakan adalah berbeza. Bukan cinta yang ghairah seperti tadi. Baca berulang kali. Air mata bertakung di kelopak mata. Tersedu-sedan. Tidak pernah dirasakan seperti ini. Tangis yang terlalu menyentuh mata hati. Semakin dibaca, semakin kekuatan itu bertambah kuat. Lebih kuat berbanding tadi. Segala yang dibaca penuh dengan ayat-ayat yang begitu penyayang, bersama janji-janji yang pasti. Berbeza dengan yang tadi. Ayat-ayat yang mengundang nafsu, bersama janji-janji yang tidak pasti.

Sepertimana andai kita mencintai seseorang dengan setulusnya, sudah tentu kita hanya ingin memandang segala yang baik saja padanya. Kita sanggup butakan mata atau buat-buat tidak nampak dengan keburukannya. Ya, walau keburukan itu sudah bersinar dengan terang-benderang, kita tak pernah peduli. Sudah namanya cinta, sehingga kita dengan pantas mencantas cacian atau teguran orang lain terhadap perbuatan buruknya itu. Kalau boleh saja, kita menghalang kesemuanya daripada keburukan orang yang kita cintai itu diperlihatkan.

CINTA TIDAK KENAL KECACATAN

Maka, lihatlah Allah dengan mata hati. Kita ingin meraih cinta-Nya dengan penuh tulus, maka pandanglah segala kebaikan, keagungan, kecantikan, segala-galanya yang hebat dan agung pada-Nya. Butakanlah mata hati kita dalam memandang dan mencipta keburukan-Nya. Betapa Tuhan tidak pernah punya keburukan. Betapa Tuhan itu Maha Indah dan Maha Sempurna. Tidak akan ada satu kecacatan. Kalau adapun, itu adalah ciptaan manusia, hamba-Nya yang keji lagi hina.

Lantas, layakkah kau mengatakan kau cintakan Tuhan andai terlalu banyak dalih dan keluhanmu saat meneroka ayat-Nya? Apakah kau merasakan itu adalah untuk mencari cinta sebenar sedang terlalu banyak dusta yang kau cipta setelah kononnya kau sudah menghayati lembaran Al-Furqan itu?

Jujur saja, perlakuan sebegitu bukan kerana cinta atau ingin mencari kebenaran atas nama cinta, tetapi perlakuan sebegitu adalah kerana ingin memusuhi Tuhan. Sepertimana kita menerima surat dari orang yang kita benci. Hati dan nurani sudah tersedia merasa benci, 'mindset' yang penuh dengan benci. Pesimis. Lalu, dibuka sahaja lipatan surat itu dan dibaca dengan penuh benci. Keji. Setiap patah perkataan kita merasakan dusta dan tak berguna. Kerana sudah dianggap itu adalah musuh kita. Maka, banyak yang kita persoalkan.

Maka, apa sahaja yang diperselisihkan adalah petanda protes. Sedang kita ini hamba. Tak layak memprotes ayat-ayat Tuhan. Sama juga sekiranya kita adalah kuli. Apakah layak kita terlalu banyak mempersoal kepada tuan kita? Silap haribulan, kita akan dipukul, ditampar, ditendang, disepak lalu terjerembablah wajah kita di atas lantai, tiada beza seperti anjing yang hina.

Tetapi, Tuhan begitukah? Tidak. Dia memberikan kita peluang. Waktu yang lama. Al-Quran itu tersedia. Lagi pula, pada zaman kita sekarang, ayat-ayat-Nya sudah begitu sempurna dibukukan. Tinggal sahaja kita hanya membuka dan membaca. Menghayati. Belajar untuk mencintai ayat-ayat cinta yang sememangnya diperlukan mata hati untuk mencari dan akal untuk berfikir. Berfikir sedalam-dalamnya untuk menerbitkan rasa cinta. Ya, benar. Rasa cinta!

Sepertimana andai kita mencintai seseorang, kita ingin dekat saja dengannya. Berpisah walau 1 minit dikatakan sebulan. 1 jam ibarat 1 tahun. Hati merayu rindu. Cinta sudah semakin bergelora. Mendengar suaranya saja sudah bergetar. Merenung matanya saja sudah berdegup. Apa lagi saat bersama? Nafsu itulah yang mulai bergelora.

Andai membuka kitab Furqan itu, 1 juzuk agar ingin disingkatkan menjadi 1 lembar saja. Agar bisa cepat menghabisi pembacaan. Untuk solat, agar cepat diselesaikan. Kadang hanya 2 minit saja diperuntukkan untuk solat. Itupun cuma fardhu. Pun 2 minit itu dirasakan begitu lama. Sungguh, andai kelakuan kita sebegitu, kita sudah tersalah anggapan bahawa ibadah spiritual itu hanya ibadah semata tanpa harus diterbitkan suatu perasaan suka malah cinta. Kerana itulah kita tak pernah jumpa cinta yang ingin dicari.

Betapa tidak, ramai yang pada mulanya tidak beriman dan akhirnya setelah mendengar ayat Al-Quran terbit hidayah ke dalam hatinya lalu menjumpai cinta itu. Lihat saja sejarah Umar Al-Khattab sewaktu belum beriman, bukan dengan mendengar ayat-ayat Tuhankah baru dia beriman?

"NAK CARI CINTA HATI KENA USAHALAH BRO!"

Semua orang pandai berkata usaha. Kalau sebut tentang cinta, jodoh, khawin, semua orang tiba-tiba menjadi pandai untuk berbicara tentang usaha. Laju saja berkata "Macam mana nak dapat kalau tak ada usaha?" Ibarat menunggu bulan jatuh ke riba, katanya.

Sepertimana andai kita teramat mencintai seseorang, pelbagai bentuk usaha yang ingin dilakukan semata-mata untuk berada dekat pada si dia. Dan sudah tentu, kita ingin terus memilikinya. Maka, buka mata hati kita untuk belajar mencintai Tuhan. Kerjakan solat bukan hanya cukup-cukup 5 waktu solat fardhu. Tambahkanlah pula solat sunat yang sememangnya dicintai oleh Tuhan. Andai sudah menjadi kebiasaan, biar tinggal dalam sehari, kita akan merasa bersalah dan merasakan 'ada sesuatu yang tak lengkap' dalam hari itu. Semua ini adalah kerana cinta sebagaimana cintanya kita pada kekasih hati, dan untuk terus memilikinya. Terasa ingin berada dekat saja setiap masa.

Silakan aplikasi ayat-ayat itu dalam kesemua perkara termasuklah dalam ibadah spiritual. Apakah untuk solat dan mentadabbur Al-Quran itu tidak harus merasa cinta? Bercinta setiap kali dahi menyentuh sejadah saat sujud, maka hati bertambah cinta. Bercinta setiap kali membaca ayat Tuhan dan membayangkan bahawa Tuhan sedang berbicara dengan kita, maka hati bertambah cinta. Alangkah indahnya cinta itu andai semua manusia mengetahui.

Andai kalian masih belum menjumpai cinta, maka lekas-lekaslah membuka kitab itu dengan penuh ketulusan. Persiapkan mata hati untuk melihat. Bagaimana? Seperti yang kalian bicarakan, iaitu dengan usaha. Bukankah kita ingin mendapatkan cinta yang abadi? Semua yang kita cintai di dunia ini pasti akan mati. Kecuali cinta yang tak pernah padam:
Al-Quran. Maka carilah cinta itu.

Seperti kata-kata kegemaran saya yang sering menghantui saya sampai sekarang ialah;
Cinta yang dituntut di dunia ini adalah 'kerja cinta' bukan 'perasaan cinta' kerana cinta itu adalah kata kerja..

Selamat berfikir.

Nota: homesick.