Friday, July 10, 2009

Gelisah: Muhasabah Cinta Kita

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Segala puji bagi Allah yang masih mengizinkan daku untuk bernafas di setiap corong yang memudahkan daku untuk menghembus dan menghirup oksigen Tuhan yang hanya meminjamkan padaku di alam buana-Nya yang fana ini. Selawat dan salam buat Muhammad beserta keluarga dan para sahabat baginda yang tanpa mereka, mungkin Islam takkan tertegak seperti sekarang ini.

Lama tidak menulis. Bukan tak ada idea, terlalu banyak. Tetapi, sibuk dengan membaca. Sekarang, masih banyak yang perlu dibaca lagi. Banyak buku sedang menanti untuk dimulakan pembacaan. Tapi, rasa tak senang pula jika jari-jari ini tidak menyentuh keyboard untuk menulis. Saya cukup senang comment box saya dipenuhi dengan cadangan bagi melontarkan idea dalam penulisan saya. Terima kasih kepada semua sahabat. Mudah-mudahan apa yang saya tuliskan di sini dapat dikongsikan bersama lalu dikutip apa sahaja ilmu yang dianggap bermanfaat. Dan, post ini sebenarnya lebih kepada motivasi, atas permintaan Ukhti Nabilah Othman untuk dikongsi bersama.

Pernah, sewaktu di Medan, selesai sahaja waktu kuliah pada hari itu, saya merasakan diri saya kosong. Malah, seharian itu hati saya tidak tenang. Saya tidak tahu apa yang telah terjadi pada diri saya. Saya balik ke rumah berseorang, yang sememangnya setiap kali ulang-alik ke kampus dengan menaiki beca. Saya merenung di satu arah tuju tanpa satu perasaan. Renungan yang tiada makna. Saya tidak tahu apa yang sesuai pada diri saya saat itu selain: KOSONG.

Bukan tidak pernah merasai kosong. Saya pun tidak tahu menggambarkan saya merasa kosong dari segi apa. Tetapi, waktu itu saya rasa seolah-olah tiada tujuan hidup. Saya akui. Saya merasakan ianya adalah satu penderitaan buat saya. Kadang saya berfikir, apakah tujuanku hidup? Adakah hanya menanti siang sewaktu malam? Atau menanti malam sewaktu siang? Saya benar-benar merana.

Menangis. Saya sudah tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya benar-benar tidak tenang. Saya merasakan saya adalah makhluk yang tidak berguna. Dan saya, menangis tanpa tujuan. Saya tidak tahu mengapa saya menangis dan apa tujuan saya menangis. Cuma, menangis saja yang mampu saya lakukan saat itu.

Sungguh, hanya Allah yang Maha Menyelami perasaan saya waktu itu. Saya bukan tidak ada teman. Tapi, saya tidak mahu ungkapkan. Hanya Allah yang tahu apa yang tersembunyi dalam hati saya tanpa perlu saya ungkapkan. Apa yang saya mahukan. Dan saat itu tiada siapa yang dapat mententeramkan saya. Saya tidak punya apa. Hanya Dia.

Ketenangan. Mungkin itu yang saya inginkan. Tetapi tak dapat saya gapai. Saya rasa terlalu jauh. Semakin jauh. Seperti daun, yang semakin gugur dari dahan tempatnya bergantungan. Ya, itu yang saya rasakan terhadap diri saya.

Astaghfirullahal azim. Saya sudah tidak tahan. Mengapa perasaan saya sebegitu? Saya tidak mengerti. Malah saya tidak memahami apa sebenarnya berlaku dalam diri saya. Mengapa saya tidak tenang. Mengapa saya rasa sebak dan tiada arah tujuan. Bukankah selama itu saya banyak isi aktviti harian saya dengan membaca Al-Quran setiap maghrib? Bukankah saya selalu mengikuti usrah? Bukankah saya selalu memotivasi diri saya sendiri?

Sahabat yang kucinta kerana Allah,

Insya Allah. Mungkin ini sebagai suntikan semangat di saat kamu merasa lemah, tak berdaya dan merasa tiada tujuan hidup. Lakukanlah ini. Insya Allah semoga Allah membantu dan menguatkan kita dalam kasih sayang-Nya.


Basahi bibir dengan zikrullah dan selawat ke atas nabi

Semakin menyibukkan diri dengan berzikir, maka tiada apa lagi yang kita fikirkan selain Allah. Allah Maha Hidup. Dia sentiasa menyaksikan kita. Dia begitu dengar dengan setiap ucap pujian dari bibir kita untuk-Nya.

"Maka ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu.."
(Al-Baqarah: 152)

"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram"
(Ar-Ra'd: 28)


Ingatlah Mati

Ingatlah bahwa dunia ini terlalu fana untuk difikir selayaknya. Fikirkanlah tujuan dan misi utama hidup. Hanya untuk beribadah. Taat sepenuhnya pada Allah. Kita lakukan sesungguhnya kerana Allah semata. Tiada yang lain. Dan dunia ini adalah pentas lakonan yang begitu hipokrit.

"Dan tiadalah kehidupan di dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang bertaqwa."
(Al-An'am: 32)

Mati. Ya, ingat itu. Nescaya kamu akan takut dan bergetar. Bayangkanlah saat ajal kamu ditarik nanti. Saat roh dicabut dari jasad. Bagaimanakah wajah kita pada waktu itu? Apakah kita selamat? Apakah kita sempat untuk mengucapkan syahadah? Bayangkanlah. Apakah kematian kita nanti akan dimudahkan? Sungguh begitu tragedis setiap saat mengingatkan mati. Insya Allah, akan menjadikan jiwa kita tenteram. Malah, takut untuk melakukan dosa. Takut untuk melihat maksiat. Mendengar maksiat malah menjejakkan kaki ke tempat maksiat.

Kalau seandainya kita sudah membayangkan mati pada saat itu, maka sudah tentu kita takut pada ancaman Tuhan. Lalu, beristighfarlah berkali-kali.


Membaca Al-Quran dan Maknanya

Apa lagikah yang menjadikan jiwa tenteram selain dari membaca kalimat-kalimat cinta dalam Al-Quran? Bacalah bersungguh-sungguh. Fahamilah sebenar-benarnya akan ayat-ayat dari-Nya. Sungguh, kita begitu mempercayai Allah, maka taatlah sepenuhnya akan perintah-Nya.

Tersenyumlah saat membaca khabar gembira di dalamnya. Dan menangislah saat membaca khabar sedih di dalamnya. Bacalah Al-Quran itu seolah-olah kamu membaca surat cinta dari kekasih hati. Bacalah Al-Quran itu seolah-olah kamu membaca surat cinta dari keluarga sewaktu berjauhan dengan mereka.

Bacalah! Baca tanpa meragui satu ayatpun di dalamnya. Jadikan ayat-ayat cinta dari-Nya sebagai makanan untuk menghidupkan ruh, menyucikan jasad dan menguatkan iman. Maka, kita tak pernah mengenali suatu ayatpun yang indah di dunia ini selain dari ayat-ayat-Nya.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.."
(Al-Anfal:2)

Semoga dengan membaca Al-Quran, hati kita, iman kita, amal kita, akan menjadi kuat. Moga semakin tenang. Tidak gentar akan masalah-masalah dunia yang sentiasa mengecam kita.


Menangislah di Waktu Malam

Andai kamu terjaga di akhir-akhir malam, maka bangunlah. Kerjakanlah solat sunat. Ambillah peluang itu untuk bersemuka pada Tuhan. Ambillah peluang saat itu hanya berdialog dengan Tuhan.

Menangislah bersungguh-sungguh. Allah dengar semuanya. Allah saksikan air mata kamu. Allah sentiasa melihat wajah kamu yang memohon pertolongan dengan penuh sendu. Sungguh, Allah Maha Mengasihani. Mana mungkin Dia tidak dengar.

Suatu hari, Ahmad bin Abi al-Hiwari bercerita;

"Aku menemui Abu Sulaiman ad-Darani. Kulihat ia sedang menangis. Aku bertanya; 'Apakah yang membuatmu menangis?' Ia menjawab; 'Wahai Ahmad, kala malam para pencinta menapak, sementara air mata mereka membasahi pipi dalam ruku dan sujud. Ketika melihat mereka, Allah SWT berkata;

"Wahai Jibril, demi kedua mata hamba yang menikmati kalam-Ku, Aku memandang dan mendengar mereka serta menyaksikan ratap dan tangis mereka. Sapalah mereka wahai Jibril, dan katakan; "Mengapa kalian begitu resah? Apakah ada yang memberitahu kalian bahwa Tuhan menyiksa para kekasih-Nya? Atau, layaknya Aku membangunkan para kekasih-Ku di malam hari lalu Kukirim mereka ke neraka?! Manusia hina sekalipun tidak mungkin melakukan itu, apalagi Raja Yang Maha Pemurah." Demi kemuliaan-Ku, Aku bersumpah akan menyingkap wajah-Ku sebagai hadiah untuk merela, sehingga Aku dan mereka saling melihat."
(Ibnu al-Jawzi [w 597H])

"Air mata itu bukti kasih sayang yang ditanamkan oleh Allah di hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-hamba-Nya yang penyayang"
(Bukhari dan Muslim)

Ketahuilah, Allah begitu mencintai air mata hamba-hamba-Nya yang sentiasa menangis untuk menagih cinta-Nya. Menangis di akhir malam. Hanya ada kamu dan Dia. Sungguh, tiada apa lagi yang terasa indah dan nikmat selain dari mengadu di akhir malam kepada Allah sambil meratap dan menyesali akan dosa-dosa yang telah kita lakukan.


Banyakkan membaca

Banyakkan membaca buku-buku agama, buku-buku sejarah Islam, buku-buku motivasi dan apa sahaja yang dibolehkan bahan pembacaan. Tak salah juga membaca artikel-artikel yang terdapat di internet. Agar keresahan beransur sembuh.

Ini juga salah satu pengisian yang berkesan dalam diri saya sekiranya ingin mencari ketenteraman. Kutiplah ilmu sebanyak-banyaknya. Insya Allah hati tak pernah kosong. Malah, makin terisi dengan ilmu yang bermanfaat.


Banyakkan mengikuti program-program agama

Banyakkan mendengar ceramah. Mengikuti usrah. Bergegas dan berlumbalah dalam melakukan kebaikan kerana di situ terletaknya ilmu. Ilmu mendekatkan diri kita pada Allah.

"Mereka itu bergegas segera dalam meraih kebaikan. Dan merekalah orang-orang yang terdahulu memperolehnya."
(Al-Mu'minum: 61)


Jadilah Pemaaf

Allah suka orang yang sentiasa memberi maaf pada saudaranya yang lain. Biar apapun orang perlakukan kita, mahupun menyakitkan hati kita, buangkanlah dendam. Jangan berburuk sangka pada sesiapapun. Sebelum melangkah ke mana-mana, maafkanlah semua orang. Sebelum tidur, maafkanlah semua orang. Insya Allah, mudah-mudahan semakin tenteram.


Optimislah pada Tuhan

Sahabat yang kukasihi,

Silakan andai merasa gelisah. Tidak tenteram. Kerana ianya adalah sifat manusiawi. Namun, jangan sekali-kali berburuk sangka pada Tuhan. Bersangkalah yang baik-baik saja. Jangan sampai akibat gelisah menjadikan kita putus asa. Jangan sampai hanya kerna ingin melarikan diri dari masalah, menjadikan kita lari dari spiritual agama.

Bersyukurlah dengan merasa gelisah, kerana sesungguhnya, sekiranya tiada terlintas perasaan gelisah dalam hati kita, tak mungkin kita akan memikirkan segala dosa kita, tak mungkin kita akan mengingatkan Tuhan Yang Esa. Sekurang-kurangnya, gelisah menjadikan kita tidak tenteram dengan apa yang telah kita lakukan, ia menjadikan kita tidak merasa cukup dan puas untuk beramal.

Berterima kasihlah pada Tuhan.

"Apabila hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang hal Ku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku perkenankan do'a orang yang meminta, bila ia meminta kepada-Ku, tetapi hendaklah ia mengikut perintah-Ku serta beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk."
(Al-Baqarah 186)

Allah begitu dekat. Percayalah!

Semoga terhibur sahabat :)

Wardatul Shaukah
9:23 pm, Sabah
10 Jul 2009

9 Responses:

Nabilah Othman said...

Ya ukhti~
Ana terharu enti sudi mendengar keluhan ana. Penulisannya sangat terkesan hingga meyakinkan Ana untuk terus kembali kepada AL-KHALIQ. Syukur Alhamdulillah...ana dipertemukan dgn enti yang bisa membuatkan mata hati ini sedar! Ana mohon utk copy entry ini sebagai simpanan peribadi ana. Dan mungkin boleh disampaikan pada sahabat yang senasib dgn ana. Mohon ya. Ana tak nak sahabat-sahabat ana turut dilalaikan dengan jiwa yang kosong seperti yang ana alami saat ini. Syukran ya ukhti. Redha Allah sentiasa mengiringi perjalanan dakwahmu. Lihubillah~

Wardatul Shaukah said...

Nabila Othman:
Dipersilakan dengan segala hormatnya untuk copy entry ni kerana memang ianya untuk semua. Islam untuk semua. 'ala kulli hal mutasyakkir.. semoga bertambah kekuatan untuk beribadah. moga enti juga sentiasa berada dalam redha dan kasih sayang-Nya. jaga diri, iman dan amal ya ukhti :)

khairaummah said...

syukran atas perkongsiannya. sungguhlah kadang-kadang rasa sebegitu menyinggah jua dan menyapa. barangkali rahmat dari pencipta, supaya segera kembali kepadaNya.

di sabah sudah? waaaa...^_^

Syahidah said...

salam

huhu betul sangatlah tu, kalau bersedih pi layan lagu-lagi sedih, tak ke manalah jawabnya..buku La Tahzan sangat sesuai untuk dibaca tatkala bersedih (tapi nampaknya tak semua juga yang faham dengan membaca dapat membuang perasaan sedih dan tak tentu ni).

kalau tak baca quran bacalah buku-buku yang menjana pemikiran dan minda kita ya tak

nice post!

Wardatul Shaukah said...

khairaummah:
ya, insya Allah rahmat dan kasih sayang-Nya supaya timbul rasa bersalah dalam diri. ukhti, lama dah kat sabah ni. hampir sebulan lebih dah. hehe

Syahidah:
salam. hehe betul. kalau sedih pi dengar lagu sedih bertambah sedih macam orang tak siuman. buku La Tahzan memang sangat sedap di baca lebih2 lagi waktu sedih kan? jazakillah ya ukhti ;)

pencinta bahasa said...

salam kak..
lagi satu entry dari kak tini yang membasahi hati zati.. amat terkesan sekali.. Membuatkan zati tidak sabar2 ingin membaca apa pula yang akan disampaikan oleh kak tini.. semoga kak tini tergolong dalam golongan orang yang mencapai mardhatillah..

perokoksoleh said...

salam...

waahh,lama xjenguk sini,hohoho...
da ada face book erkk?
fuyooOO..

ewhh...entry laki dan wanita tue memang sesuai la...hahaa

tp memang style la email tue..

owhh..
entry nie panjang r,
ada masa luang aku akan bc dan comment,hohoho...

pe2xpun..
sis in islam as like liberalisme..
liberal2x doranpun..ramai lg orang yg sokong mereka..hoohoh

jd,masalah nie akan selesai kalau oran betul2x paham islam...hohoho

salam ceria...papai

Wardatul Shaukah said...

zati:
alhamdulillah. moga zati juga tergolong di kalangan orang yang mencapai redha Allah. amin. syukran dik..

perokoksoleh:
salam sahabat. wah lama kamu tak datang menjenguk ya. facebook? emangnya kenapa ya pak? owh tentang SIS.. yeah betul kot apa yang kamu cakap tu. setelah lama menyendiri tanpa any post, kamu sudah merokok kembali? huhu... mungkin kamu belum berusaha sepenuhnya untuk berubah. tak apalah, semoga kamu akan segera stop utk smoking satu hari nanti. for the sake of yourself too. barakallahu fik ;)

Farid Rashidi said...

Salam kepada mereka yang bermuhasabah cinta...

Ya, hidup kita perlukan muhasabah.. terkadang kita merasa kosong, maka corakkan kekosongan itu dengan kandil jiwa berharga agar tenang dan damai...

Gusar hati yang rawan itu lumrah bagi insan yang mencari redha Tuhan...Semoga Allah mengampunkan dosa kita.