Wednesday, March 25, 2009

Demi Masa

Demi masa,
Sungguh, manusia berada dalam kerugian,

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan,

serta saling menasihati untuk kebenaran,
dan saling menasihati untuk kesabaran.

(Al-`Asr:1-3)



Begitulah pesanan yang diperintahkan oleh Sang Pencipta buat hamba-hamba-Nya. Begitu menyedarkan diri saya yang semakin lalai dalam membahagikan masa. Tidak kira masa itu seharusnya dibahagikan mengikuti prosedur yang diaturkan sesuai dengan kreativiti individu.

Nampaknya, saya sekarang sering sahaja bergaduh dengan masa yang selalu sahaja mencemburui kehidupan saya, dan semakin merobek-robek sedikit demi sedikit ruang waktu saya yang dipergunakan dalam kehidupan harian. Sungguh! Masa itu terlalu kejam.

Benarlah kata mereka, masa itu tidak pantas sama sekali mengejar kita. Tetapi kitalah yang harus mengejar masa. Mengingatkan diri yang semakin dikuasai dengan masa yang terlalu nazak ini, saya sebenarnya terlalu merasa disisihkan. Kerana saya merasakan ada sahaja waktu yang terabai untuk melakukan tugas, saya tidak tunaikan.

Bukan tidak pantas untuk mengabaikan sama sekali, namun ya! Masa itu sangat mencemburui diri saya. Sudah tentu waktu tidak sempat yang membuatkan saya terus-menerus dibuai kelalaian dalam bertugas.

RINDUKAN KEHIDUPAN DI MATRIKULASI.

Surau Al-Irfaan yang indah.

Saya rindukan surau Al-Irfaan, tempat saya bertapak dalam proses mengenal Islam, menjalinkan ukhwah bersama sahabat-sahabat, tempat mendengarnya ceramah dan usrah, juga tempat belajar dan berdiskusi sesama teman-teman. Nasib sahaja bukan tempat tidur, kerana muslimat tidak dibenarkan tidur di dalam surau itu. Kalau sahaja waktu itu boleh, mungkin sudah lama saya angkut baju, segala baldi ke surau. Tidur, makan semua di surau. Haha.

Saya rindu kerjasama di antara kaum muslimin dan muslimat dalam melakukan aktiviti-aktiviti Islam. Begitu bersatu-padu, dan saya dapat rasakan ukhwah yang terbina itu tulus, kerana dijalinkan atas nama dakwah dan Islam. Saya rindukan sahabat-sahabat Al-Irfaan. Waktu bulan ramadhan, berbuka puasa bersama-sama, solat terawih bersama, tadarus bersama, qiyam bersama. Saya sangat rindu.

Sungguh! Saya betul-betul dapat rasakan perbezaan kehidupan di matrikulasi dengan kehidupan di universiti yang sebenar. Saya kembali teringatkan kata-kata seorang senior kepada saya;

"Akademik itu adalah dakwah. Dakwah itu adalah akademik. Tiada yang nombor 1, tiada yang nombor 2. Dakwah dan pelajaran itu tidak boleh dipisahkan."

Benar sekali kata-kata keramat itu. Tetapi, sungguh saya terkilan kerana kehidupan di universiti ini sungguh lebih mencabar berbanding di kehidupan di matrikulasi. Di matrikulasi saja, saya bergiat aktif dalam dakwah dan pelajaran. Malah, saya sememangnya sangat aktif. Namun, adakalanya saya merasakan sewaktu di matrikulasi saya lebih bijak mengatur masa berbanding di sini, Medan.

Teringat juga senior UMS yang berkata sewaktu diadakan usrah;

"Di universiti nanti, jaga diri. Ikutlah jemaah Islam. Bersahabatlah dengan orang-orang yang terbaik di kalangan terbaik. Kehidupan di universiti sangat jauh bezanya dengan matrikulasi. Matrikulasi ni sepertinya tidak ada cabaran di bandingkan dengan universiti. Berhati-hatilah memilih sahabat. Perkara biasa yang berlaku, waktu di matrikulasi, bertudung labuh, aktif dalam kegiatan Islam, namun setelah menginjak ke universiti, tudung sudah terbang entah ke mana. Tup, tup sudah nampak berdating dengan lelaki. Tidakkah kamu merasa sedih?"

Ya, begitu lembut tapi tajam kata-kata yang disampaikan oleh kakak-kakak senior di UMS. Begitu mencengkam jauh ke lubuk hati saya. Saya akui, untuk membawa Islam itu tidak susah. Tetapi, untuk mengajak orang bersama Islam, itu yang payahnya. Dan disitulah tercetusnya pelbagai dugaan dan mehnah yang harus dilalui oleh para da'ie.

Mengingatkan betapa begitulah kehidupan manusia yang memang diciptakan penuh dengan kepayahan, maka saya sering kali memujuk hati saya dengan ayat-ayat cinta yang begitu indah;

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan bayaran syurga untuk mereka."

"Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar."


Kedua-dua ayat ini diceritakan dalam Surah At-Taubah, ayat 111.

Ya, walau merasa beban dan adakalanya seolah-olah saya merasakan saya tidak mampu, namun ia bisa juga sedikit-sebanyak memujuk saya yang sentiasa dihantui dengan andaian kelemahan, yang begitu benar-benar membuatkan saya lemah. Maka, tiada siapa lagi yang saya harapkan untuk memujuk hati saya melainkan kata-kata Tuhan yang begitu penyayang.

SAHABAT INDONESIAKU YANG SOLEHAH.

Sudah agak lama saya tidak bercerita tentang keadaan tempat saya di sini kan? Secara jujurnya, orang-orang Indonesia sangat baik-baik. Kalau terjumpa yang baik, baik sangat! Kalau terjumpa yang kejam, aduh. Tapi, alhamdulillah, di bumi Medan yang begitu saya rasa sangat tandus dengan Islamnya, ada juga insan-insan yang bekerja untuk Islam. (Kamu akan tahu jika pernah membaca post entry saya yang lama, sewaktu pandangan pertama saya tentang bumi Medan ini).

Sahabat Indonesia yang satu batch dengan saya, memang kebanyakannya lebih muda. Mereka selepas saja selesai persekolahan, mereka terus menginjak ke universiti. Tidak seperti sistem pelajaran di Malaysia, yang harus masuk ke matrikulasi, atau ke asasi, atau ke diploma, atau pre-degree untuk melayakkan mengambil ijazah (Sarjana Muda) di universiti.

Mereka di sini, nampak sahaja muda, tetapi matang-matang. Kalau sudah berbicara, pergh! Tiada hentinya, tidak seperti pelajar Malaysia, jika disuruh berbicara di hadapan orang ramai, mesti akan tergagap-gagap, sambil memikir apa yang ingin dikatakan. Tetapi, mereka di sini, bila dipanggil saja nama, terus-menerus menjawab dengan begitu lancarnya. Seolah-olah mereka sedang membaca teks, malahan tidak.

Itu belum di dalam tutorial. Kadang-kadang, cara mereka berdiskusi itu, seperti orang yang betul-betul profesional. Sangat bijak. Dan mereka bukan sahaja mampu membaca dan memahami setiap pelajaran yang dipelajari, tetapi juga sangat mampu untuk berbicara tentang apa yang dipelajari. Dahsyat nggak? Saya rasa mereka memang dahsyat.

Dan saya, begitu cemburu. Sakit hati juga ada. Siapa tidak sakit hati melihat orang yang pandai? Aish. Sahabat Indonesia saya di sini baik-baik sahaja. Mereka rajin buat solat dhuha jika ada gap di antara jadual waktu pagi itu. Kalau pada dahulunya, saya kurang mengerjakan solat sunat pagi (Syuruk dan Dhuha), sekarang mereka membawa saya untuk menyertainya seolah-olah solat dhuha itu adalah solat yang wajib.

Kadang-kadang, kalau terjumpa di surau, mereka pasti bertanya, "Sudah solat?" Oh, saya sudah tahu. Iaitu solat dhuha. Namun, gaya persoalan yang mereka lontarkan itu seolah-olah bertanya tentang solat wajib, padahal mereka menanyakan tentang solat sunat sahaja, iaitu dhuha. Saya bersyukur juga kerana punya teman seperti mereka. Alhamdulillah.

MASA SEMAKIN CEMBURU.

Demikianlah setiap apa yang ingin dilakukan. Pasti kita ingin mengira masa. Pasti kita akan mengatur waktu yang akan dijangka supaya kita sentiasa beringat dan waktu yang tersisa itu tidak luput begitu sahaja, kerana masih banyak lagi tanggungjawab kita yang harus dilakukan.

Seperti itu juga saya yang sedang menulis, padahal banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan :D Dan sekarang, masa juga sangat cemburu dengan saya. Saya kembali mengenangkan firman Allah yang berbunyi;

"Katakanlah; "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah semesta alam" (Al-An'am:126)

Namun, saya kembali bertanya pada diri sendiri. Adakah 24 jam saya pada setiap hari yang telah saya lalui sehingga sekarang telah saya berikan dan korbankan untuk Allah?

Suka saya ingatkan akan kata-kata Hasan Al-Banna; "
Tanggungjawab lebih banyak dibandingkan dengan masa".

Wardatul Shaukah,
25 Mac 09, Medan.

Nota: Kita tidak sedar sebenarnya terlalu banyak kita telah membuang masa dengan perkara-perkara yang remeh.

Tuesday, March 17, 2009

Yang Paling Sukar Diungkapkan: Minta Maaf & Terima Kasih

Susahkah mengungkapkan ucapan ini? Dua perkataan yang sangatlah mudah, tetapi untuk mengungkapkan amat susah sama sekali. Walhal, andai dua perkataan keramat ini diucapkan oleh insan yang bergelar manusia, sangatlah telinga yang mendengar ini merasa bahagia. Hati yang dipukul dalam ombak api kemarahan, tentu saja berjaya disimbah dengan air salji sesudah mendengarkan kalimat ini.

Jangankan manusia, Tuhan juga menyukai ayat-ayat maaf dan terima kasih dari hamba-Nya. Kerana kedua-dua ayat ini merupakan simbol untuk menghargai seseorang, malah Tuhan. Bagaimana mungkin untuk membalas jasa orang yang banyak berjasa pada kita, kalau bukan kalimat pertama yang terpacul dari bibir kita, iaitu; Terima kasih. Bagaimana mungkin untuk menyatakan tentang sesuatu sebaik sahaja kita merasa serba salah kalau bukan kalimat pertama yang ingin diungkapkan ialah; Minta maaf.



Tapi, sedarkah kita yang bibir kita amat berat sekali untuk mengungkapkan ayat keramat ini, biarpun ia sangat mudah? Dengan ayat yang mudah ini juga, apabila ia selayaknya diungkapkan pada waktu yang sepatutnya, malah tidak diungkap, tentulah kita merasa kecewa dengan si pelaku yang seharusnya mengungkapkan perkataan ini. Percaya atau tidak?

Situasi 1:

Joyah: Pinjam pen.

*Joyah langsung tidak menunggu respon Salmah, malah terus saja menggunakan pen Salmah.

Salmah: Ok.

Selesai sahaja menggunakan pen tersebut, Joyah terus meletakkan kembali pen itu tanpa mengungkapkan terima kasih pada Salmah.

Situasi 2:

Along sedang berjalan sambil bercakap di dalam talian panggilan. Tiba-tiba dia terlanggar seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Along cuma mengangkat kening memberikan simbol meminta maaf tanpa mengungkapkan kata maaf.

(Penulis cuba gambarkan situasi yang mudah difahami. Nama-nama dalam situasi ini tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati. Harap maklum).

Daripada kedua-dua situasi di atas, kalau kita yang berada pada situasi 1, sudah tentu kita akan berkata, atau paling tidak pun, kata-kata yang kita gunakan dalam monolog dalaman ialah seperti ini, "Dah pinjam pen aku, bukan nak cakap terima kasih!".

Atau dalam situasi yang kedua tadi, kalau kitalah berada di tempat lelaki yang dilanggar itu, sudah tentu kita akan berbisik, "Dah lah main langgar, tak cakap minta maaf pun." Kata yang ini jauh lebih baik, andai ada orang yang tidak tahan kemarahannya lalu memarahi saja si Along tersebut gara-gara tidak minta maaf, kamu sedia maklum apa akan terjadi pada waktu itu.


HANYA KERANA SEKEPING EGOISTIK.

Benar, walaupun perkataan "MAAF" dan "TERIMA KASIH" itu mudah, tambahan pula tidak perlu membazirkan enzim
amilase untuk dihasilkan dalam air liur kita, tetapi payahnya ia diungkapkan. Mengapa? Kerana kita ego. Ego mengatasi segalanya. Lantas ucapan itu dirasakan tidak perlu. Apalagi kalau kita merasakan yang kita tidak bersalah. Sentiasa menuding jari pada orang lain. Si fulan yang bersalah! Tidak, si fulan yang bersalah! Siapa yang mengaku dirinya adalah salah? Semuanya mengaku diri adalah baik. Sampai bila mahu menang? Mengalahlah barang sekali dua, tidak rugi apa.

Seperti lagu yang dinyanyikan oleh (entah, saya lupa nama penyanyi Barat itu) ;

Sorry seems to be the hardest world.

Ya, barangkali mengungkapkan kata maaf itu sangat susah untuk dilakukan dalam dunia ini seperti yang dikatakan oleh penyanyi Barat itu. Susahkah dengan meminta maaf? Janganlah kita dikalahkan oleh perasaan yang dibimbing oleh syaitan;

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila digerogoti oleh syaitan (cepat) sedar dan mereka menjadi lebih waspada (melihat tipu daya syaitan)." (Al-A`raf:201)

Marilah menutupi laluan syaitan itu dengan membuang rasa ego dan tidak mahu mengalah dalam diri, tidak rugi apa bukan? Apa yang kita rugi hanya dengan meminta maaf dan berterima kasih? Tidak rugi, malah orang-orang inilah yang paling beruntung dan mendapat kemenangan.


ALLAH MENDAMBAKAN KATA-KATA MAAF DAN TERIMA KASIH DARI HAMBA-NYA.

Setiap kali kita ditimpa dengan pelbagai ujian yang sengaja Allah berikan pada kita, hakikatnya waktu itulah Allah mendambakan kata-kata maaf kerana barangkali kita telah melakukan begitu banyak kesalahan yang mungkin tidak kita sengaja melakukannya. Dalam pada waktu yang sama, waktu itu juga Allah mendambakan kata-kata terima kasih yang penuh keramat dari hamba-hamba-Nya yang bersyukur.



Sebagai yang ditempelkan dalam ayat prosa dari kitab itu;

"Allah tidak menghendaki untuk memberikan kamu sesuatu beban yang berat, tetapi Dia berkehendak untuk membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu supaya kamu berterima kasih." (Al-Maidah:6)

Begitulah cintanya Allah pada hamba-Nya yang selalu mengungkapkan terima kasih. Kerana terima kasih ini akan mewujudkan rasa kesyukuran dan sentiasa merasa cukup dengan apa yang Allah berikan pada kita.

Lihat juga pada sudut prosa dalam bait-bait Furqan;

"Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhan kalian dan berlumba-lumbalah mencari syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang bertaqwa." (Ali-`Imran:133)

Nah, jikalau begitu. Benarlah. Sedang kita yang hina ini menyukai kata-kata maaf dan terima kasih sesama manusia, apa lagi Tuhan yang berkuasa dan menciptakan kita, begitu dambakan kata-kata itu dari hamba abdi-Nya.

Berterima kasih dan mohon maaflah kepada Tuhan dan sesama manusia kerana ianya adalah simbol kemuliaan, simbol penghargaan kita kepada seseorang, juga sangat sedap untuk didengari. Siapa kata rugi mengatakan minta maaf dan terima kasih?


PENULIS INGIN MEMINTA MAAF DAN TERIMA KASIH.

Alang-alang post entry berkaitan minta maaf dan terima kasih, saya ingin mengambil kesempatan untuk
ucapkan terima kasih kepada pembaca-pembaca yang mengikuti blog saya sejak blog ini dibina, follower blog ini, pembaca senyap blog ini, yang menghantar lewat email kepada saya, yang memberikan komen dan tak jemu membaca tulisan saya di dalam blog ini, terima kasih. Saya menghargainya.

Saya juga ingin meminta maaf kepada pembaca dan follower yang saya tidak pernah tegur atau tidak membalas respon sewaktu kalian memberikan komen di blog ini, yang masih belum sempat saya membalas emailnya, saya akan melaksanakan kesemuanya dengan sedaya-upaya saya. Andai ada kelemahan dan tulisan saya yang membuatkan kalian terguris, saya mohon maaf. Saya hanya manusia biasa dan perlukan tunjuk ajar dari kalian semua.

Semoga Allah meredhai kita semua dan memberikan hidayah kepada kita. Amin..

Wardatul Shaukah,
17 Mac 09, Medan.

Nota 1: Tidak sabar rasanya balik ke Malaysia, mahu beli Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Haha. Saya sudah semakin jatuh cinta pada sastera. Tolong saya! Tolong!

Nota 2: Hey, kamu! Sahabat-sahabat, kakak dan adikku! Rindu sama kamu! Nantikan kepulanganku dalam bulan Mei atau Jun. Entah kapan kami libur (cuti). Lamanya lagi -_-"

Nota 3: Saya terjumpa satu blog yang bagus untuk dibaca oleh para remaja yang ingin berubah kepada kebaikan. Isi dan tulisannya bisa membuatkan orang membaca tidak kering gusi dengan lawaknya yang bersahaja. Tetapi, akan menimbulkan keinsafan. Impressive. Saya tidak tahu kamu bagaimana. Tapi, saya suka blog itu :)

Thursday, March 12, 2009

Rindu Seorang Umat



Rindu Seorang Umat

Sunnah melakar pesan
Kirim
Selaut rindu
Selawat dalam syahdu
Toreh
Sekeping melankolik
Hati dilingkar tulus
Secangkir akhlak
Tiada tandingan
Seisi alam
Rindu
Seorang umat.


Wardatul Shaukah
University of North Sumatera
Indonesia.
(15 Rabi'ul Awal 1430)


Sunday, March 8, 2009

Aduhai Bangsaku, Bahasaku..

Ini dia satu lagi senggatan yang berjaya menyengat bangsa kita. Lebih rela dikuasai bahasa-bahasa asing lebih dari bahasa ibunda sendiri. Peristiwa bersejarah pada 7 Mac 2009 sangat menyuntik semangat saya lagi untuk terus menulis dan meraihkan perjuangan dan semangat bangsa-banga saya yang memperjuangkan Bahasa Melayu, bahasa ibunda kita.

Sasterawan Negara, A. Samad Said

Walau sekarang bukan berada di tanahair, namun saya sangat kagum, terharu dan berbangga dengan mereka yang turut berhimpun pertahankan bahasa kita. Bukan 1,000 orang, bukan 10,000 orang tetapi 100,000 lebih orang!

Lebih membuatkan jiwa saya terharu yang amat, tokoh-tokoh sastera negarawan juga turut menghadirkan diri untuk membantah PPSMI. Namun, sangat mendukacitakan kerana tokoh-tokoh ini tidak lepas dari terkena semburan gas pemedih mata. Sangat kasihan..


Saya turut menyelak beberapa laman web, dan membaca komen-komen rakyat tentang gerakan pembantahan PPSMI ini. Tidak sangka ada juga segelintir bangsa saya ini yang mengatakan, yang menyokong bantahan PPSMI ini adalah orang yang Bahasa Inggeris nya teruk, kalau tidak pun tidak pandai berbahasa Inggeris!

Aduh. Saya rasa nak tergelak membaca komen-komen yang tidak matang dan seperti kebudak-budakan ini. Apa kamu rasa hebatkah berbahasa Inggeris? Apalah yang kamu dapat dengan membanggakan dan mengagung-agungkan bahasa asing? Aduhai.. Saya lebih respect orang yang lancar berbahasa Arab berbanding berbahasa Inggeris. Hiks.

Jujur saya kata, kesusasteraan Bahasa Melayu itu mahal harganya. Hebat dari segala kosa katanya andai dibandingkan dengan Bahasa Inggeris yang cuma sedikit dan terhad. Membaca dan bermain dengan bahasa puisi terutamanya akan menjadikan minda kamu berkitar, berdaya kombinasikan maya dan realiti, lantas menjadikan kita semakin menghargai bahasa.

Saya melihat di dalam kalam Al-Quran sendiri, terlalu banyak perumpamaan-perumpaan yang diumpamakan oleh Allah. Sangat indah.

Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam keadaan mata pedih berucap memberitahu Datuk Dr Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said telah berjaya menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara. Kata Ustaz Abdul Hadi lagi, 'Nak pandai belajar solat dan haji pun kita tak belajar dalam bahasa arab tetapi kita belajar dalam bahasa Melayu, bila sudah mendalam dan ke depan barulah kita belajar dengan medium bahasa Arab.' Kamu boleh melihat Peristiwa Bersejarah 7 Mac 2009 di blog Faisal Tehrani, atau mana-mana blog dan akhbar.

Bahasa itulah qalam,

Bahasa itulah budi,

Bahasa itulah amalan,

Bahasa itulah kelakuan,

Bahasa itulah yang menyelamatkan kau,

Bahasa itulah jua yang mencelakakan kau,

Bahasa, bahasa yang ada pada dirimu.

^_^

Teruskan pertahankan bahasa ibunda kita. Salam rindu saya buat tanahair Malaysia.

Nota: Sudah berapa bulan saya tidak membeli-belah untuk keperluan harian. Sekarang saya hanya ditemani dengan nescafe saja.

Tuesday, March 3, 2009

Penulis, Menulis dan Bahasa.

Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga. Ada apa dengan blog sebenarnya? Semakin ramai yang sudah punya blog sendiri. Budak sekolah pun ada blog. Dulu, saya tidak kenal apa itu blog. Tapi, saya mula membaca blog dari seorang yang saya anggap seperti abang saya sendiri. Waktu itulah saya mula tertarik untuk membaca blog. Mungkin waktu itu, dunia blog telah menjadi bahan bacaan saya. Saya kemudiannya mula menjadi seorang blogger selesai sahaja habis pengajian di matrikulasi.

Tanpa disedari, saya tidak menyangka yang sekarang ini, masih ramai yang suka untuk menulis. Saya sangka cuma zaman dahulu kala saja yang menjadikan bidang penulisan itu sebagian dari hidup mereka. Tetapi, saya melihat kebanyakan anak belia ramai yang pandai menulis. Bermulanya saya sebagai seorang blogger, saya mula meminati tulisan-tulisan yang dilahirkan di dunia blog. Saya rasakan yang saya lebih meminati membaca tulisan blogger daripada tulisan di surat khabar mahupun menonton televisyen.

Sungguh tidak disangka, rupanya saya mula mengenal tulisan melalui blog, saya mula membaca pelbagai jenis tulisan melalui blog. Saya banyak membaca tulisan para blogger, dan saya sepertinya mengetahui bagaimana sikap blogger itu berpandukan ayat dan cara hasil dari penulisan yang mereka olahkan.

Saya sebenarnya kagum dalam diam. Saya banyak membaca tulisan-tulisan kalian. Tidak kira yang menulis dari segi islamik, bertinta dalam menyampaikan bidang kepolitikan, yang membina blog atas dasar kerja atau bisnes, dan yang mencoret blog mereka atas dasar suka-suka, juga menjadikan blog mereka sebagai diari hidup. Very impressed. Dan saya banyak sekali menjelajah ke blog-blog kalian. Mungkin tanpa kalian sedari, tulisan kalian itu menjadikan inspirasi kepada saya. Dan saya sesungguhnya semakin menyukai untuk menulis kerana terlalu banyak membaca tulisan bervariasi daripada idea-idea yang bervariasi.

Walau tidak pernah melihat wajah kalian, tapi tulisan kalian mempamerkan diri kalian. Dengan itu, berhati-hatilah dalam menulis. Tanpa disedari, blog ini juga dapat memberikan sedikit manfaat kepada mereka yang sedang dahaga untuk membaca. Walau tidak mengenali diri kalian ataupun tidak pernah bertegur sapa, tulisan-tulisan kalian berada dekat di hati saya. Seolah-olah saya dapat rasakan yang kita sangat dekat. Layaklah Nabi berkata bahawa orang-orang Mu'min itu ibarat sebuah bangunan. Juga diibaratkan sebagai satu badan, yang di mana salah satu tempat disakiti, maka akan dirasai oleh kesemua anggota badan itu.

Maka, saya selitkan seperti apa yang telah dikatakan oleh Allah;

"Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat yang baik di syurga 'Adn. Dan keredhaan Allah lebih besar. Itulah kemenangan yang agung." (At-Taubah:72)

Marilah menulis semata-mata kerana Allah. Kita tidak ada daya melontarkan idea untuk menulis, setiap ketik yang diketik tidak punya kekuatan, melainkan dari Allah. Maka, dengan itu berilah pengajaran dan berbahasalah dengan indah. Kerana Allah sukakan keindahan. Semoga setiap tulisan kita mendapat tempat di sisi Allah dan mampu menghantarkan kita menembusi ke syurga Allah. Teruskan menulis saudaraku. For the sake of Islam.

Dan sekali lagi direnungi ayat-ayat Tuhan yang bermaksud;

"Tidak ada suatu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu hadir." (Qaf:17)

Di sini, saya selitkan sebuah puisi yang sangat indah. Kerana menyukai yang indah, maka izinkanlah saya untuk kongsikan yang indah untuk tatapan kalian. Terima kasih buat sahabat saya kerana sudi berkongsi.

BAHASA


Semua bahasa daripada Allah,

Jibrail qalammullah,

Muhammad Rasullulah,

Manusia semuanya hamba Allah.


Semua jadi satu,

Satu jadi semua,

Berbakti kepada Allah,

Beriman kepada Muhammad Rasullulah.


Manusia,

Asalmu logam,

Bahasamu seragam,

Jauhilah takbur dan ragam.


Asohilah bahasamu supaya subur,

Didiklah bahasamu supaya jangan takbur,

Ingatlah kau kan masuk kubur.


Bahasa itulah qalam,

Bahasa itulah budi,

Bahasa itulah amalan,

Bahasa itulah kelakuan,

Bahasa itulah yang menyelamatkan kau,

Bahasa itulah jua yang mencelakakan kau,

Bahasa, bahasa yang ada pada dirimu.


Kau memohon doa dengan bahasa,

Kau memberi perintah dengan bahasa,

Kau berchumu dengan bahasa,

Kelakuanmu itulah bahasa,

Bahasa itulah ibadatmu.


Bahasa itulah budi,

Jangan bahasamu jadi keji,

Jangan bahasamu rugi,

Padahnya neraka tempatmu tinggal,

Padahal syurga tujuan bahasamu yang asal.


Pilihlah mana satu,

Budi baik atau budi keji,

Bahasa untung atau bahasa rugi,

Manusia tanggung nasib sendiri,

Di akhirat jangan menyesal lagi.


Budi itulah hati,

Bahasa itulah hati,

Rupanya boleh dilihati,

Apabila berlaku budi dan bahasa itulah kenyataan seseorang,

Baik atau buruk hatinya,

Bersih atau kotor hatinya,

Setelah berbahasa dan berbudi.


Kata-kata manis yang berlawan dengan bahasa sofan

Kata-kata kotor yang berlawan dengan hati,

Itulah nilainya manusia,

Yang dipandang Tuhan kepadanya.


Sajak ini membuatkan saya ingin mengingatkan pada kalian tentang sebuah hadis Nabi yang berbunyi;

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata dengan perkataan yang baik dan berdiam diri." (Al-Bukhari dan Muslim).

Mungkin hadis ini juga yang selalu mengingatkan saya supaya sentiasa lebih berhati-hati dalam berkata-kata dan menulis. Dan hadis ini juga yang menjadikan saya menyukai berdiam diri andai tiada apa perkara penting yang perlu dibicarakan. Saya suka melihat orang yang banyak diamnya tetapi kalau berbicara penuh sarat dengan ilmu.

Semoga dengan menulis dapat menyatukan hati-hati kita, menimbulkan rasa kasih dan sayang untuk setiap antara kita, untuk semata-mata meraih keredhaan Allah. Jangan jadikan tulisan-tulisan kita di sini menimbulkan kemurkaan Allah lalu menghumbankan kita ke neraka-Nya. Semoga Allah limpahkan taufik dan hidayah pada kita semua.

"O Allah.. Make this world in our grasp, do not make the world grasping our heart.."

Srikandi,
3 Mac 09,
Medan, Indonesia.