Monday, February 2, 2009

Kalaulah Al-Quran Boleh Berbicara..

Alif Lam Mim..

Kitab (Al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya;

Petunjuk bagi mereka yang bertaqwa..

(Al-Baqarah;1-2)


Baru-baru ini, saya membuat 1 poll iaitu “Berapa kali anda membaca Al-Quran?”. Saya membuat poll tersebut adalah untuk dimuatkan di dalam entry saya pada kali ini. Namun, ini hanya peringatan sebagai hambaNya dalam memperingatkan antara satu dengan yang lain. Semestinya ditujukan terutamanya kepada penulis ini sendiri, adakah kita telah meletakkan Al-Quran itu di segenap setiap sudut dalam ruang yang bernama hati kita ataupun hanya menjadikan Al-Quran itu seperti orang tua yang nyanyuk, tidak diendahkan malah hanya diabaikan begitu sahaja, tetapi untuk membuang mereka sangatlah kasihan.


Jawapan yang saya dapati dari poll-poll tersebut majoritinya menjawab, mereka membaca Al-Quran 1 kali dalam sehari. Alhamdulillah, saya kira pembaca-pembaca blog saya kebanyakannya adalah Islamic, dan insya Allah meletakkan Al-Quran itu bukan sahaja sebagai kitab untuk dibaca, tetapi melekatkan setiap bait dari kalam Allah itu di hati mereka. Semoga Allah meredhai dan memberkati kita semua.


Dan jika kamu tanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan main-main sahaja.” Katakanlah, “Mengapa kepada Allah, dan ayat-ayatNya serta Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?” (At-Taubah; 65)


Bagaimana pula dengan pembaca setia ayat-ayat dalam kalamNya?


Adakah benar kamu memahami setiap apa yang kamu baca? Saya suka mengingatkan para sahabat, kalau kamu sudah berbuat baik, tambah lagi kebaikan kamu. Kemudian, tambah lagi sampai kamu menjumpai matlamat kamu di sebalik kebaikan yang kamu lakukan. Suka juga saya mengingatkan dengan sepotong hadis yang telah dinukilkan;


Abu Musa Ash’ari RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Berhati-hatilah dengan Al-Quran. Aku bersumpah dengan nama Allah yang memegang nyawaku, Al-Quran mudah sekali terjauh daripada hati lebih daripada mudahnya unta-unta terlepas daripada ikatan mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Bagaimana dengan kamu, wahai pembaca-pembaca ayat-ayat dalam kalamNya? Adakah betul kamu memahaminya?

Ada satu petikan daripada Kitab Taurat di dalam Ihya yang mana Allah berfirman;


HambaKu, apakah kamu tidak segan dan malu akan sikapmu terhadap Aku? Jikalau kamu menerima sepucuk surat dari kawanmu semasa kamu berjalan di atas jalan raya, kamu akan berhenti dan duduk di suatu tempat yang sesuai untuk membacanya dengan segala perhatianmu dan akan cuba memahami setiap perkataan yang terkandung didalamnya.Tetapi dalam hal mengenai KitabKu, didalamnya Aku telah menerangkan segala sesuatu dan berkali-kali telah menegaskan perkara-perkara yang penting supaya kamu memikirkan tentangnya dan memahami semuanya itu, tetapi kamu memperlihatkan sikap acuh tak acuh sahaja. Apakah kamu sanggup menganggap Aku ini lebih rendah daripada kawanmu?


Wahai hambaKu, setengah daripada rakan-rakanmu duduk bersamamu dan bercakap-cakap kepadamu, dan kamu memberikan segala perhatian kepada mereka. Kamu akan mendengar dan cuba memahami mereka. Jikalau ada sesiapa yang mencelah, kamu akan menahannya dengan isyarat tanganmu. Aku berkata-kata denganmu melalui KitabKu tetapi engkau tidak mempedulikan Daku. Apakah kamu menganggap Aku ini lebih rendah daripada rakan-rakanmu?[1]


AL-QURAN DAN CINTA.

Benarkah kamu percaya dan beriman kepada Allah? Sudah tentu ramai yang menjawab ya, dan tak teragak-agak untuk mengatakan bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang lagi Maha Pencinta pada hamba-hambaNya. Namun, bagaimanakah bentuk balasan cinta kita kepada Tuhan yang memberikan cintaNya kepada kita?

Jika kamu mencintai seseorang, sudah pasti lah kamu ingin cintamu berbalas bukan? Adakah cukup dengan kita mengatakan kita mencintai Tuhan tapi tidak pernah mendalami kata-kata cintaNya? Begitukah yang dinamakan dengan CINTA?


Ya benar, kita beriman kepada Allah. Kita sangat yakin bahawa tidak ada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah. Kita tidak teragak-agak untuk melafazkan kalimah syahadah itu. Tapi cintakah kita padaNya pula? Mungkin kamu hanya percaya pada Allah semata, namun tidak merasa cinta dengan Nya. Kalau kamu cinta kepada Nya, sudah tentu wujud cinta pada perkataan Allah di dalam hati kamu.


Seorang penyair Parsi bermadah:


Hanya dengan memandang tidak mendatangkan cinta;

Selalunya harta yang ini dicapai melalui perkataan-perkataan yang mengasyikkan. [2]


Sebegitu kamu mencintai pada seseorang dan pada sesuatu benda, maka perlakukanlah perkara yang sama sebegitu juga cintamu pada Tuhan yang seharusnya dicintai lebih dari segala makhluk dan kata-kataNya.

DARI TAKUT TIMBUL CINTA.

Sepertimana yang dinukilkan dalam ayat-ayat kalamNya yang indah;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.." (Al-Anfal:2)


Bila telah muncul perasaan takut dalam hati kita, maka percayalah cinta itu semakin lama semakin berputik. Itulah perbezaannya cinta kepada Tuhan dan cinta sesama manusia. Cinta kepada seseorang yang bernama manusia itu, dimulai dengan pandangan pertama, jatuh ke hati kemudian timbullah rasa cinta. Tetapi, tidak kepada Tuhan Yang Esa. Kata-kata cinta dari Tuhan tidak sama dengan kata-kata cinta yang kita ungkapkan. Kerana itu Al-Quran dicipta.

Hanya saja, kalau Al-Quran itu bisa berbicara, maka sudah tentu kesemua makhluk akan tunduk dan mencintai kata-kata itu. Tetapi, itulah rahsia yang sengaja disembunyikan oleh Sang Pencipta. Kalau orang yang benar-benar punya perasaan tulus untuk mencinta, maka dia akan berusaha dengan payahnya untuk membelek, menyelak dan menghayati bait-bait pena diiringi dengan tangisan syahdu kepada Sang Dicintai. Maka, tidak mahukah kamu merebut untuk menjadi seorang pencinta kepada Tuhan Yang Maha Agung?

Dengan itu, marilah menabur benih-benih cinta kepada Tuhan, kerana hanya Dia yang layak dicintai. Cinta padaNya tak sekali-kali akan bertepuk sebelah tangan. Cinta yang sebenar-benar cinta. Cinta yang kekal. Cinta yang dicari. Itulah namanya CINTA!


"Ya Allah, ku mohon cintaMu, cinta kepada orang-orang yang mencintai diriMu, cinta kepada orang yang berguna di sisiMu, jadikanlah cintaku kepadaMu lebih kucintai dari diriku sendiri, ahli keluargaku dan air sejuk."

Sumber rujukan:
[1] dan [2] Dirujuk dari Kitab Ta’lim tulisan Mohammad Zakariya Kandhlavi, Mazaher-ul-Ulum, Saharanpur di dalam Fadhilat Al-Quran.


Srikandi,
Medan, Indonesia.

7 comments:

qatrunnada said...

assalamualaikum....
ya ukhti,
ana tertarik utk meninggalkan sesuatu di dlm blog enti...
raihan selalu menyebut, "cintailah Ilahi..." dlm nasyidnye...
ana sgt bersetuju dgn pendapat enti...
Al-Quran sbg hadiah dr Pencipta yg sgt berharga yg dikurniakan utk kita sblm kita lahir lg...
mukjizat agung yg menjadi peneman dn shbt yg mampu mengubati hati kala suka dan lara...
bilamana jiwa lara, kita bukalah ia... lantas membacanya... keluarlah ayat2 pujukan dr Tuhan yg Esa... membujuk hati penawar luka...
bilamana kita gembira, kita buka ia... lantas membacanya... keluarlah ayat2 kegembiraan yg lebih ulung (syurga) yg bole kita bole dpt dgn berjuang pertahankan agamaNYA...
ana teringat kisah, rabi'atul adawiyah...
seorg srikandi Islam...
yg ingin membakar syurga, dn memadam api neraka...
dpt kita lihat betapa cintanya rabi'atul adawiyah kpd penciptanya... sehinggakan cintanya bukanlah dgn mengharap balasan...
cinta itu hnya krn mnghrp mardhotillah...
beliau tdk suke manusia beramal krn harapkan syurga...dn takutkan neraka... tetapi spttnye beramal krn mardhotillah...

ape pendapat enti dgn org yg mengatakan... "cinta x bole diungkap... dn tak bole terpamer dek tingkahlaku.."
mksdnye, dia hnya beramal prkra wajib... kurg prkra sunat... dia kata, xsemestinya dia x cinta jika dia x bykkn amalan sunat...
ape la agaknye pndngn enti?

wallahu'alam...

myikhwanfiideen said...

Allah melalui lisan utusannya(muhammad) mengingatkan kepada seluruh makhluknya yang melata akan fungsi Quran.. Firman Allah;

"Dan kami turunkan kepadamu wahai Muhammad akan Kitab (quran)dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.."-Al-Maidah

Tapi malangnya bukan semua makhluk mentaati serta mengambil iktibar dari peringatanNya..
Lalu Allah mencabar makhluknya yang yang masih durhaka secara terbuka.. Firman tuhan;

"Katakanlah (wahai muhammad) :Sesungguhnya jika sekalian Manusia dan Jin berkumpul dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan (sebuah kitab) yang sebanding dengan Quran ini; maka mereka tidak akan dapat melakukannya walaupun mereka bantu membantu sesama sendiri." al-Isra:88

Akhirnya cabaran itu telah dijawab sendiri oleh Allah dengan keluasan ilmuNya.. jawabannya-tidak ada sesiapapun yang mampu menandingi Quran hatta walaupun sekalian Jin dan manusia berkumpul bersama..

Tidakkah ini suatu tempelak buat mereka yang masih meragui akan kandungan dan kesyumulan quran?

Dan amat malang jika kita sebagai manusia yang dikurniakan akal utk berfikir dan peluang masa yang ada tapi kita seolah-olah tidak serius utk memahami dan mengaplikasikan apa yang terkandung dalam kitab yang maha hebat ini..

Shukran buat ukht Dr Srikandi atas perkongsian yang berguna.. Moga ia menjadi trigger point buat kita semua agar sama2 menambahkan lagi keprihatinan ke atas sang rujukan ummah yang ditinggalkan oleh baginda nabi kita iaitu haza al-Quran al-kareem..

Dinul Falah said...

assalamu'alaykum warahmatullahi wabarakaatuh.

salam ukhti...

sungguh indah nian jika kita dapat mencintai dan dicintai oleh Allah 'Azza Wa Jalla.
Kecintaan dan kerinduan yang mendalam akan perjumpaan denganNYA akan membakar sanubari kita untuk selalu tunduk dan taat kepada segala perintahNYA dan menjauhi setiap laranganNYA.
Al Qur'an yang dihadirkannya sebagai media komunikasi antara DIA dengan hambaNYA merupakan suatu kemuliaan bagi seorang hamba yang dapat mentaddaburi Al Qur'an, karena dia seperti berbicara dengan Allah 'Azza Wa Jalla.

Tulisan ukhti merupakan peringatan bagi saya yang masih tertatih-taih dalam meraih dan menjemput hidayahNYA. Semoga saya bisa kembali ke jalanNYA dan dapat mencintaiNYA dengan mencintai FirmanNYA.

Syukron jiddan

Jazakillah Khairan Katsiiraan

khairaummah said...

mudah-mudahan bertambah cinta kepadaNya...

ya Allah!

Srikandi said...

qatrunnada - enti, ana ingin menjawab soalan enti tu. bagi ana, istilah cinta itu sendiri adalah perasaan di mana jiwa kita sudahpun 'kemaruk' terhadap sesuatu atau seseorang. kalau lah di istilah kan sebagai kemaruk, sudah tentu kita akan lakukan apa saja utk mendapatkan cinta itu, atau dengan kata yang lebih tepat lagi, sudah tentu lah kita inginkan balasannya. tapi, kalau mcm hanya buatkan perkara wajib sahaja, sangat kurang amalan sunatnya, maknanya dia belum menjumpai dan mengenali lagi apa itu cinta. kerana kurang bersungguh2. memang dalam hidup pun macam tu kan ibaratnya? kalau hanya jiwa dan perasaan saja berkata cinta tapi perlakuannya tidak ada, itu bukanlah cinta. dan mungkin dia hanya bermain2 dengan cinta saja :D itu cuma pendapat ana. semoga ana, enti juga para sahabat yang lain mengejar dan berusahalah untuk mencintai Allah dan kata-kataNya (Al-Qur'an) kerana bagi ana, itulah sebenar-benar cinta.

Kalau kamu sudah merasai cinta itu, kamu akan tahu dan mengakui akan kata-kata ini;

"Takkan kau rasai indahnya cinta,
Andai tiada cinta buat yang Esa"


Selamat mencari CINTA ;)

Srikandi said...

myikhwanfiideen - syukran atas info tambahan. ya akhi. ana cukup setuju dengan komentar akhi. tapi, mungkin agak payah untuk menimbulkan rasa cinta itu kalau tidak menghayati maksudnya bukan? perasan atau tidak, point yang ana sampaikan dalam artikel ni adalah mengenai CINTA pada quran. barulah timbul cinta itu pula pada Tuhan. moga redha Allah sentiasa bersama akhi. moga sama2 istiqamah amin..

Dinul Falah - alhamdulillah semoga bermanfaat dan teruskan pejuangan enta. mari teruskan dan usaha sungguh2 dalam meraih cintaNya berpandukan Al-Quran! jazakallahu khair..

khairaummah - mudah-mudahan... amin...

perokoksoleh said...

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.." (Al-Anfal:2)

.....ayat ini selalu diulang emakku bila aku habes bc quran..
dan dasyat la entry nie..seram aku

ps;semoga aku,kamu dan dia paham apa itu quran...