Thursday, February 26, 2009

Tiada Tajuk.

Saya sekarang sedang belajar. Tapi, tidak boleh belajar. Waktu sekarang adalah jam 10.16 pm (waktu Medan). Pada waktu ini, biasanya saya sudahpun habis belajar dan mungkin sudah tidur. Tapi, saya tidak boleh. Housemate saya sedang menari-nari di dalam bilik saya. Saya tersiksa dengan keadaan ini. Tersiksa, kemudian menulis. Only God knows what are my feeling right now. Waa :(

Mereka tahu posisi saya sekarang sedang duduk di atas meja sambil membuka buku. Tapi, mereka mungkin tidak menghiraukan. Saya kemudiannya tampak seperti malas untuk belajar, kemudian membuka laptop. Mereka masih menari diiringi dengan muzik yang tidak dapat ditenggelami oleh zikir yang saya dengar menggunakan
headphone. Biarpun mendengar pelbagai macam lagu dengan volume yang kuat, namun masih tidak dapat mengatasi kebisingan mereka. Sampai hati mereka melakukan begini kepada saya ;(

Adakah kamu ingat dengan mengatakan "Tolong diam. Saya sedang belajar." ataupun "Tolong diam. Saya mahu tidur." adalah suatu perkara yang mudah untuk diluahkan kepada
housemate sendiri? T_T

Untuk mengelakkan dari berfikir yang bukan-bukan dan hanya menambah dosa saja, mari main
game ini. Kamu challenge saya. Best juga ya layan game ni. Saya culik dari blog siapa entah :D

61 perkataan

Speedtest


Mula-mula main, saya hanya dapat menaip 45 perkataan dalam 1 minit. Kemudian, setelah cuba beberapa kali akhirnya saya dapat menaip 61 dalam 60 saat. Hehe. Kamu cubalah. Kemudian, share dengan saya. Kot-kot kamu menaip lebih cepat dari saya. Ayuh challenge! ;)

Nota 1 : Inilah jadinya kalau waktu belajar diganggu. Aduhai.. Game ni dah jadi kegemaran saya kalau tiada kerja. Semakin layan, semakin ketagih pula T_T

Nota 2 : Maaf. Entry kali ni tidak berfaedah. Kamu boleh abaikan saja. Terima kasih.

Tuesday, February 24, 2009

Ketenangan

Tidak ada apa-apa
Aku cuma sukakan ketenangan
Karna ia bisa menghantarkanku dekat dengan Tuhan

Aku suka dengarkan ayat-ayat zikir
Kerna ia bisa menimbulkan keinsafan dalam lubuk hatiku

Aku suka bersendirian
Kerna ia cepat mendatangkan aku merasa serba salah
Mungkin aku telah melakukan dosa tanpa ku sedari

Walau macam mana bosannya mereka melihat ketenanganku
Dengan berkata; "Kenapa kau tenang sangat?"
Aku cuma diam, senyum.
Hatiku berkata; "Ini duniaku."

Lemas ditenggelami dalam keramaian yang tidak menentu
Dengan bersendirian tiada teman
Aku akan memilih sendiri
Biarpun keseorangan.

Riuh, berbicara, berketawa, keseronokan tanpa tujuan
Dengan diam tanpa sesiapa di sisi
Aku akan memilih diam
Biarpun tanpa teman.

Tenang.
Sepi.
Damai.
Tenteram.

Ya, aku sukakan perkataan-perkataan ini
Kerna aku ingin ditenggelami oleh suasana itu
Dengan keadaan yang kelam, sepi.
Sesepi daun sakura yang terbang bersendirian

Izinkan aku menikmati kedinginan malam
Dengan penuh tawaduk di sisi Tuhan
Kadang-kala aku perlu merasa kosong
Biarkan.

Tinggalkan aku
dengan Tuhan.

Srikandi,
24 Feb 09,
Medan, Indonesia.

Nota 1 : Kian merasa bosan dengan pelbagai ragam dunia. Kusut. Aku tidak lepas dari merasa menyampah untuk menjadi seorang perantau di negara orang. Dan sekarang, aku mula menyampah dengan hidup getir sebagai seorang perantau. Huhu

Nota 2 : Maaf kalau sejak akhir-akhir ini aku kerap menulis puisi. Mungkin ini cara ku berbicara dengan penuh kabur, supaya kamu kurang memahami.

Nota 3 : Aku sebenarnya terlalu merindui ibuku yang jauh di sana ;(

Saturday, February 21, 2009

Bagaimana Cara Untuk Lari Dari Tuhan?

Umat Islam sekarang ternyata semakin ingin menjauhkan diri dengan Tuhan. Semakin takut dengan agama. Malah, semakin mencuba untuk lari dari Tuhan. Juga, kadang-kadang sewaktu diterangkan akan hukum berdasarkan ayat-ayat Allah, jiwanya sangat merasa bosan dan menginginkan ketenangan selain Al-Quran, sedangkan Al-Quran itu sangat menenangkan kalau kamu betul-betul memahami ertinya.

Aku kembali teringat seorang sahabatku, yang mana ayat-ayatnya membuatkan aku teringatkan padanya;

"Mulanya aku membaca Al-Quran, perasaanku hanya biasa. Tetapi bila aku membaca maknanya, aku menangis. Aku tak sangka maknanya membuatkan aku menangis bila membacanya. Betapa jahilnya aku kerana selama ini tidak pernah menyentuh Al-Quran."

Tersentuh aku membaca ayat-ayatnya, biarpun berupa tulisan untuk dibaca tanpa mengungkapkan dengan kata-kata, kemudian dia menyambung; "Bacalah Al-Quran dan maknanya. Kamu pasti akan menangis!"

Masya Allah. Aku masih ingat, dia sebenarnya seorang ikhwah yang telah ku anggap sebagai adikku sendiri. Dia selalu bertanya padaku tentang Islam. Kadang-kadang dia tanpa segan akan bertanyakan padaku apa sahaja berkaitan Islam, kerana katanya dia sangat teringin belajar tentang Islam. Mungkin hidupnya selama itu tidak pernah terdedah dengan Islam walaupun sejak lahir lagi dia menganuti agama Islam, mungkin juga disebabkan dia berasal dari keluarga yang memang masih tidak mengenali Islam secara lengkap.

Kesungguhannya untuk mempelajari Islam sangatlah membuatkan ku kagum. Segala puji bagi Allah, semakin hari semakin aku melihat perubahannya, aku selalu melihat dia ke surau. Hatiku terusik melihat orang yang ingin berubah mengikut panduan Islam yang syumul. Aku yakin, betapa indahnya hidup mereka sewaktu cahaya hidayah itu diberikan kepada mereka untuk mempelajari Islam. Aku katakan begini, kerana aku juga pernah merasainya dahulu :)

Dengan itu, ingin ku selitkan sedikit di sini, kalau kamu mahu berubah, teruskan niat tulusmu itu. Walau mungkin agak aneh di pandangan orang lain, namun percayalah ia sangatlah dicintai Allah. Insya Allah.

Namun, kadang-kadang bila melihat ada yang ingin lari dari agama dan Tuhan, ia sangatlah mendukacitakan. Sifat orang yang masih 'tercari-cari' dan ingin menolak ternyata sangat berbeza di pandanganku. Orang yang masih 'tercari-cari' biasanya selalu melonjak dan excited untuk mempelajari sesuatu yang baru, manakala orang yang ingin menolak ialah orang yang tidak boleh ditegur, dan wajahnya menunjukkan rasa bosan yang mencengkam.

Aku hanya risau, kalaulah nikmat Islam kita itu ditarik, bagaimanakah kita? Adakah cara lain untuk lari dari Tuhan? Mungkin kita boleh saja melarikan diri dari Islam, tetapi kita tidak boleh lari dari Tuhan Semesta Alam.


MAKHLUK YANG TAAT.

Memikirkan makhluk di sekeliling, atau dalam hal yang sama sepertimana yang telah ku ceritakan dalam posting ku tentang Semut. Sehingga aku tidak tahu dan sering tidak memahami, bagaimana mungkin terdapat makhluk seperti manusia yang dikurniakan akal, tetapi akhlak dan sifat itu tidak dapat menandingi makhluk-makhluk ganjil yang tidak punya akal ini. Barangkali, ego itu yang mengatasi akal, seperti sama halnya dengan para Syaitan yang sanggup ingkar pada Tuhan disebabkan hanya kerana egonya yang menebal.

Kalau begitu, ku kira tidak lah ada bezanya manusia dengan syaitan yang dilaknat itu kerana sifat ego mereka yang telah diwarisi oleh kita yang bernama manusia. Aku selalu kagum dengan ayat-ayat Allah yang sepatutnya memang layak dikagumi;

"Dan guruh pun bertasbih memuji-Nya, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki, sementara mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia Maha Keras siksaan-Nya." (Ar-Ra`d:13)

Kamu lihat, guruh yang berkuasa untuk memancarkan kilatnya itu pun turut bertasbih. Tapi, kita tidak. Jarang sekali berzikir. Padahal zikir itu sangatlah tinggi kedudukannya, yang mana jika ditimbang beratnya langit dan bumi serta seisi alam dengan zikir, ternyata zikir itu lebih berat timbangannya.
[1] Kita seringkali saja lupa dan lalai. Iya, manusia memang dijadikan dengan sifat pelupa dan lalai.

"Dan Dialah yang menidurkan kamu pada malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari. Kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umurmu yang telah ditetapkan. Kemudia kepada-Nya tempat kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." (Al-An'am:60)

Kemudian, Dia juga yang menidurkan pada malam hari dan membangunkan kita pada siang hari. Kalau dalam apa yang ku pelajari dalam Control System seperti apa yang aku telah postkan sebelum ini, ianya juga punya kaitan dengan hormon yang dihasilkan dalam tubuh badan kita di mana hormon yang dihasilkan pada malam hari itu bernama melatonin, manakala hormon yang dihasilkan pada siang hari dalam tubuh badan kita ialah serotonin. Aku yakin, kedua-dua hormon ini juga pasti menerima arahan Tuhan, supaya terus berfungsi di dalam badan kita dengan sangat sempurna.

Kalaulah benar begitu, maka hinanya diriku kerana kalah dalam meraih ketaatan pada Tuhan jika dibandingkan dengan diriku dengan hormon itu.

Bulan itu tidak menyinarkan cahayanya kalau bukan atas perintah Tuhan!

Burung itu tidak akan terbang kalau bukan atas perintah Tuhan!

Nyamuk itu tidak akan mati kalau bukan atas perintah Tuhan!

Manusia itu pasti mati atas perintah Tuhan!

Lalu, bagaimanakah cara ku untuk lari dari Tuhan?


NIKMAT YANG TIADA KETERBATASAN.

Saidina Umar, seorang kesatria Islam yang terkenal gagah beraninya itu, namun pabila solat malam, dia seringkali tidak lepas untuk memperhambakan dirinya lalu berdoa sepertimana doa Nabi Yusuf,

"Hanya aku mengadu kesusahanku dan kedukacitaanku kepada Allah.." (Yusuf:86)

Lalu dengan tidak tertahan, air matanya tetap merembes dan sujud pada Yang Maha Satu. Betapa hinanya kita ini, tidak pernah memohon sambil menangis seperti Umar Al-Khattab untuk berdoa pada Allah.

Rasulullah SAW selalu mengerjakan solat nafil semalam-malaman, sambil menangis dengan penuh rendah diri, sedangkan dirinya sudah pasti adalah ahli syurga, malah Allah telah katakan padanya bahawa dosa-dosanya telahpun diampunkan oleh Allah. Namun, demi cinta dan kasihnya pada Tuhan, atas ucapan terima kasihnya pada Tuhan, beliau sanggup bangun di sepertiga malam untuk mengerjakan solat sehingga bengkak kakinya. Isteri kesayangannya berasa kasihan dan bertanyakan pada beliau,

"Ya Rasulullah, tuan tidak berdosa kerana Allah telah mengampuni tiap-tiap dosa tuan, mahupun yang telah lalu ataupun yang akan datang. Mengapakah tuan bersembahyang secara bermati-matian?"

Dan jawapan beliau itu sangat mengharukan;

"Apakah tidak patut aku berterima kasih pada Tuhanku?"
[2]

Begitu agungnya seorang manusia yang punya akal, lalu keistimewaan ini diperlakukan sebaiknya.

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Setiap hari yang kita lalui, ia merupakan nikmat dari Allah. Sedarkah kamu, makanan kita walau sesuap merupakan nikmat terbesar dari Allah? Namun, sedikit sekali yang kita syukuri. Walhal, apa yang diceritakan dalam buku-buku hadis yang menceritakan tentang para sahabat Nabi, mereka selalu saja menderita kelaparan. Dan bila dipertemukan dengan makanan, membuatkan mereka tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Tuhan yang Maha Memberikan Nikmat.

Kita sekarang sangatlah senang dan mewah. Makanan di sana sini pasti dijumpa. Kadang-kadang, nasi yang dikaut di dalam pinggan membukit banyaknya. Itu sahaja, belum tentu kita dapat habiskannya. Tanpa berasa bersalah, kita sanggup membazir. Dalam tak sedar, syaitan berbangga dan bergelak ketawa kerana kita telah mengikuti perangainya. Lalu dalam masa yang sama, kita telah ingkar pada nikmat Tuhan yang besar itu.

"Akan Aku palingkan dari tanda-tanda (kekuasaan-Ku) orang-orang yang menyombongkan diri di bumi tanpa alasan yang benar." (Al-A'raf:146)

Lalu, bagaimanakah caranya lagi untuk ku lari dari Tuhan?


SEMUANYA MILIK ALLAH.

Makan, minum, tidur, bangun, berjalan, berlari, belajar, dan segalanya - itulah nikmat yang kita pinjam dari Allah setiap hari. Maka dengan itu, tidak perlulah kita menyombongkan diri di muka bumi ini kerana kita sebenarnya tidak ada apa-apa. Kita sebenarnya adalah kosong. Manakala nikmat Allah bukan sejuta, bukan berbilion, tetapi infiniti. Allah yang mengilhamkan pada segala makhluk dalam setiap hari.

Bijaknya kita dalam segala ilmu, hanya dari Allah lah segalanya. Kita tidak ada daya dan kemampuan, malah kita lemah. Seperti robot yang tidak bernyawa. Namun bilamana Allah mengatakan "Jadilah!", maka jadilah ia. Berfungsilah kita sebagai manusia sepertimana robot yang mana baterinya di 'charge'. Berfungsilah segala macam sistem dalam tubuh badan kita yang menerima tugas-tugas sang Pencipta nya. Itulah kita - robot yang hina.

"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.."(AnNajm : 43)

Bukan sahaja pergerakan dan nikmat yang diberikan oleh Tuhan kepada kita, namun sifat dan perasaan kita untuk tertawa dan menangis itu juga diilhamkan oleh Allah. Subhanallah.

Seorang murid bertanya kepada gurunya, "Tuan guru, apakah boleh aku lakukan maksiat?"

Tuan guru menjawab; "Boleh. Kau boleh melakukan maksiat dengan 5 syarat;

1. Jangan makan rezeki Allah.

2. Jangan duduk di bumi Allah.

3. Lakukanlah maksiat itu di tempat di mana Allah tidak boleh nampak.

4. Jika datang malaikat maut untuk mencabut nyawamu, katakanlah padanya; "Lewatkanlah ajalku untuk aku beramal dan bertaubat."

5. Dan yang terakhir, di akhirat nanti, apabila malaikat Zabaniyah mengheretmu untuk dicampak ke dalam api neraka, katakan kepada malaikat Zabaniyah: "Tempatku di syurga. Bukan di neraka."

Setelah mendengar kelima-lima syarat itu, anak murid itu menangis. Ia pun berkata;

"Tidak mungkin aku melakukan dosa. Tidak mungkin aku ingkar, melakukan maksiat kepada Allah, yang telah mencipta, yang telah mengurniakan segala nikmat, segala kemudahan untuk tinggal di muka bumi, yang menentukan ajalku, dan nasibku di syurga atau di neraka."
[3]

Lalu, bagaimanakah caranya lagi untuk ku melarikan diri dari Tuhan?

Ternyata, aku tidak mampu dan tak berupaya untuk melarikan dari Tuhan kerana nyawa dan jasad ini berada dalam genggamanNya.

Ya Allah, aku milikmu sepenuhnya. Tapi, belum tentu aku dapat memilikiMu. Redhailah aku dan ku pohon cinta dan maghfirahMu. Ampuni dosaku Allah..

Srikandi,
21 Feb 09, 18:28 pm,
Medan, Indonesia.

Nota:
[1], [2] dan [3] dirujuk dari Kitab Ta'lim di tulis oleh Mohammad Zakariya Kandhlavi Mazaher-ul-Ulum, Saharanpur di dalam Fadhilat Zikir, Fadhilat Solat, dan Kisah-kisah Sahabat.


Saturday, February 14, 2009

Aku, Kau dan Cinta


Birai embun dihembus
Daun terbang menari
Ke sana ke mari mencari cinta
Kopeng dedahan ditabrak
Hati itu milik siapa?

Kau senyum, aku bahagia
Kau menangis, aku hampa
Kau sepi, aku datang
Hati itu milik kita

Gagasan itu inspirasi aku
Fikiranmu kontang tanpa cinta
Aku menagih laksana sandiwara
Lalu tidak lah daku mengerti
Hati itu milik cintakah?

Kau, aku dan dia berkata
Hati itu mengundang cinta
Ia putik tanpa dipinta
Meraih tembus di kelopak tinta
Lalu meraba di tempik malam
Semua itu mengasyikkan

Semakin teruja dikala enak
Cinta, kasih dan sayang
Tiada kerisauan pada masa
Yang indah tetap indah
Namun ia adalah mati
Yang bermain dalam khayalan

Seperti itu aku, kau dan dia
Laksana laut yang sedang bergelora
Pantang disambar dalam asyik
Karna laut itu molek
Gerimis senja menanti di sana

Sewaktu awan merintih hausnya cinta
Aku bilang sama hujan
Mentari akan ku bawa
Laksana tenangnya cahaya bulan
Dalam kepul-kepul malam

Watdatul Shaukah,
14 Feb 09, Medan.

Mungkin ini puisi kutujukan buat mereka yang menyambut Valentine Day, yang sepatutnya tidak harus kamu sambut. Kasih sayang sesama manusia itu bukanlah di klasifikasi untuk sehari, kasih sayang dan pautan ukhwah harus dibina setiap hari, tanpa merujuk pada hari dan tanggal yang terkhusus. Kalaupun tidak punya sejarah tentang haramnya hari ini, namun tidak layak untuk disambut karna kasih sayang itu harus dipupuk setiap hari dan untuk selama-lamanya. Laksana kasih Tuhan pada kita, hambaNya.

Kata Hasan Al-Banna, tanggungjawab kita itu lebih banyak dari masa. Alangkah rugi kalau menambah tanggungjawab yang tidak perlu hanya dengan bermain cinta!

Wednesday, February 11, 2009

Control System


Tahukah kamu, pergerakan tubuh badan kita biarpun hanya dengan menggerakkan kaki sahaja, sistem saraf dalam tubuh kita akan bergerak dengan sangat pantas seperti elektrik? Dalam tubuh kita ini, secara automatisnya telah punya sesuatu untuk meng'control' pergerakan dalam tubuh kita. Begitu tubuh kita di kontrol, sama ada dalam sedar atau tidak. Namun, kita tetap punya sistem untuk menjalankan aktiviti kita itu.

Sistem yang hanya melibatkan biar cuma sentuhan, ia umpama elektrik lalu mengejutkan otak, otak seterusnya menerima jenis bentuk elektrik itu kemudian memprosesnya sebelum kita melakukan respon yakni tindak balas. Siapa sangka, proses yang dikendalikan oleh otak kita sangat cepat sehingga dalam sekelip mata sahaja, kita mampu memberikan respon seperti berasa sakit, terperanjat dan sebagainya.

Walhal, proses penerimaan dan penyampaian elektrik itu sangatlah komplex sehinggakan kita langsung tidak expect proses seumpama itu diciptakan dan tersedia di dalam tubuh kita dengan sangat cepat. Itulah kita, umpama robot yang diaturkan sistemnya, yang mana jika kerosakan salah satu otot ataupun yang mana otot itu tidak mengecut setelah menerima sebarang sentuhan, tiadalah apa elektrik yang boleh disampaikan ke otak, lalu otak juga tidak menerima sebarang informasi dan kemudiannya bagian yang tadi itu tidak mampu bergerak dan akan menyebabkan kelumpuhan atau dalam istilah medicine nya iaitu Paralysis.

Subjek yang sedang cuba dihadam sekarang ini akan membuatkan kamu kagum dengan kebesaran Tuhan. Kita mungkin akan lupa, setiap apa yang dijadikan itu punya fungsi dan sebab, juga dikatakan sebagai hikmah untuk kita supaya minda kita itu lebih aktif bergerak untuk berfikir. Kemudian, fikirkan kebesaran Tuhan. Lalu, tanpa disengaja, lidah kita pasti akan mengeluarkan pujian buat empunya Pencipta yang sangat hebat tiada taranya.

Semoga terhibur dengan sedikit ilmu medicine yang masih belum semua dirungkai ini.

Nota: Baru sahaja mendapat sms dari Kak Naila yang berbunyi, "When Allah drops needles and pins along our path of life, don't step away! Yet, collect and pick them up..! They were designed to teach us to be strong and wise ;)" Mungkin ini kata-kata semangat yang cuba Kak Naila sampaikan untuk memujuk saya kerana saya meluah 'sesuatu' pada Kak Naila petang tadi. Terima kasih, kak.. Dan seperti biasa, saya masih sempat untuk mengepost entry biarpun dalam keadaan yang sibuk T_T

Srikandi,
Medan, Indonesia.

Saturday, February 7, 2009

Semut


Setelah mengetahui Kerajaan Nabi Sulaiman bersama tentera-tenteranya berarak akan kunjung tiba, tentera-tentera semut semakin tidak tentu arah dan seekor ketua bagi semut mengarahkan pada semut-semut yang lain untuk masuk ke dalam sangkar mereka kerana takut mereka akan dipijak dan tempat tinggal mereka pula pasti akan hancur jika dipijak oleh Kerajaan Nabi Sulaiman (Surah an-Naml:18). Sedangkan mereka tidak punya akal, bukan?

Bercakap soal semut, saya sebenarnya sayang kepada semut. Tentu kamu pelik bukan? Masa saya di matrikulasi dulu, meja tulis saya selalu didatangi semut sehingga saya sudah malas dan penat nak halau mereka, yelah kita tahu yang mereka tidak punya akal. Manalah mereka faham pun kalau saya halau mereka, kan?

Satu hari, sedang saya belajar, saya rasa betul-betul terganggu dengan rombongan-rombongan semut yang semakin bermaharajalela berkerumun di atas meja saya. Saya berasa rimas, dan tak mampu tumpukan perhatian untuk belajar. Tak kisah lah nak buat
party kah, bersuka ria kah, saya tak kisah. Tapi, janganlah sampai menganggu konsentrasi saya. Saya tak suka. Saya kira, semut-semut itu semakin berani nak tunjukkan belang mereka kepada saya. Mentang-mentanglah saya tak halau mereka, apatah lagi bunuh mereka. Saya sekali-kali memang tak sampai hati untuk membunuh semut-semut itu biarpun mereka sangatlah kecil.

Dengan ke'geram'an saya terhadap mereka itu tadi, saya mula menghalau mereka. Saya sapu meja saya menggunakan kertas. Banyak juga yang jatuh kat bawah meja. Saya kemudiannya memindahkan buku
Campbell Biology saya yang tebal itu di suatu sudut, agak dihujung tepi meja juga. Tanpa saya sedari, tekanan darah saya meningkat. Denyutan nadi saya meningkat juga. Sah, sympathetic nerve saya semakin aktif. Kalau kamu faham, tahniah. Haha.

Saya angkat kembali buku itu. Oh tidak! Saya membunuh mereka. Banyak semut di sudut itu. Saya tidak perasan mereka berkerumun di sana. Saya sangat sedih. Saya telah membunuh haiwan yang tidak berdosa. Saya dengan hati yang berat membersihkan meja saya. Saya sambung belajar dengan serba salah. Serius ni.

Fikiran dan konsentrasi saya beralih pula pada beberapa ekor semut. Di mana, 3 ekor semut sedang berjalan. Kemudian mereka terserempak dengan seekor 'mayat' semut di pertengahan jalan. Mereka berhenti. Dalam beberapa saat, mereka mengangkat 'mayat' itu dan meneruskan perjalanan mereka untuk tempat yang ingin dituju. Saya terpaku. Terkesima. Hati saya berdetik, bagaimana boleh mereka berkelakuan seperti itu sedangkan mereka tidak punya akal? Subhanallah..

Saya terbayangkan dengan kelakuan manusia sekarang. Walaupun kita diciptakan dengan fizikal dan akal yang sempurna, namun bagi saya kita tidak setanding dengan kasih sayang dan kerajinan semut. Walhal, mereka tidak punya akal. Saya sangat mengagumi semut. Sifat mereka yang saling bekerjasama tanpa kenal erti penat dan jemu. Saya selalu perhatikan mereka. Sehingga membuat hati saya terusik. Semakin memerhatikan mereka, hati saya semakin terusik dan seolah-olah mereka juga punya hati dan perasaan!

Saya menjadi semakin rindu pada telatah semut. Rumah saya sekarang tidak ada semut, kamu percaya atau tidak? Saya banyak belajar dari semut. Yalah, saya mengaku mungkin saya juga banyak terminum air yang bercampur dengan semut. Ish. Tapi, serius. Semut memang patut dijadikan contoh. Kadang kala, kita tidak boleh memandang rendah kepada yang lebih kecil dari kita, kerana barangkali mereka lebih mulia dari kita.

Dulu, waktu belajar ada juga hiburan bersama semut. Sekarang tidak ada. Sungguh, saya rindu mereka yang bernama semut!

Nota: Ada apa dengan dinner? Jawapan: Tidak ada apa-apa. Buang duit sahaja.

Srikandi,
Medan, Indonesia.

Monday, February 2, 2009

Kalaulah Al-Quran Boleh Berbicara..

Alif Lam Mim..

Kitab (Al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya;

Petunjuk bagi mereka yang bertaqwa..

(Al-Baqarah;1-2)


Baru-baru ini, saya membuat 1 poll iaitu “Berapa kali anda membaca Al-Quran?”. Saya membuat poll tersebut adalah untuk dimuatkan di dalam entry saya pada kali ini. Namun, ini hanya peringatan sebagai hambaNya dalam memperingatkan antara satu dengan yang lain. Semestinya ditujukan terutamanya kepada penulis ini sendiri, adakah kita telah meletakkan Al-Quran itu di segenap setiap sudut dalam ruang yang bernama hati kita ataupun hanya menjadikan Al-Quran itu seperti orang tua yang nyanyuk, tidak diendahkan malah hanya diabaikan begitu sahaja, tetapi untuk membuang mereka sangatlah kasihan.


Jawapan yang saya dapati dari poll-poll tersebut majoritinya menjawab, mereka membaca Al-Quran 1 kali dalam sehari. Alhamdulillah, saya kira pembaca-pembaca blog saya kebanyakannya adalah Islamic, dan insya Allah meletakkan Al-Quran itu bukan sahaja sebagai kitab untuk dibaca, tetapi melekatkan setiap bait dari kalam Allah itu di hati mereka. Semoga Allah meredhai dan memberkati kita semua.


Dan jika kamu tanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan main-main sahaja.” Katakanlah, “Mengapa kepada Allah, dan ayat-ayatNya serta Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?” (At-Taubah; 65)


Bagaimana pula dengan pembaca setia ayat-ayat dalam kalamNya?


Adakah benar kamu memahami setiap apa yang kamu baca? Saya suka mengingatkan para sahabat, kalau kamu sudah berbuat baik, tambah lagi kebaikan kamu. Kemudian, tambah lagi sampai kamu menjumpai matlamat kamu di sebalik kebaikan yang kamu lakukan. Suka juga saya mengingatkan dengan sepotong hadis yang telah dinukilkan;


Abu Musa Ash’ari RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Berhati-hatilah dengan Al-Quran. Aku bersumpah dengan nama Allah yang memegang nyawaku, Al-Quran mudah sekali terjauh daripada hati lebih daripada mudahnya unta-unta terlepas daripada ikatan mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Bagaimana dengan kamu, wahai pembaca-pembaca ayat-ayat dalam kalamNya? Adakah betul kamu memahaminya?

Ada satu petikan daripada Kitab Taurat di dalam Ihya yang mana Allah berfirman;


HambaKu, apakah kamu tidak segan dan malu akan sikapmu terhadap Aku? Jikalau kamu menerima sepucuk surat dari kawanmu semasa kamu berjalan di atas jalan raya, kamu akan berhenti dan duduk di suatu tempat yang sesuai untuk membacanya dengan segala perhatianmu dan akan cuba memahami setiap perkataan yang terkandung didalamnya.Tetapi dalam hal mengenai KitabKu, didalamnya Aku telah menerangkan segala sesuatu dan berkali-kali telah menegaskan perkara-perkara yang penting supaya kamu memikirkan tentangnya dan memahami semuanya itu, tetapi kamu memperlihatkan sikap acuh tak acuh sahaja. Apakah kamu sanggup menganggap Aku ini lebih rendah daripada kawanmu?


Wahai hambaKu, setengah daripada rakan-rakanmu duduk bersamamu dan bercakap-cakap kepadamu, dan kamu memberikan segala perhatian kepada mereka. Kamu akan mendengar dan cuba memahami mereka. Jikalau ada sesiapa yang mencelah, kamu akan menahannya dengan isyarat tanganmu. Aku berkata-kata denganmu melalui KitabKu tetapi engkau tidak mempedulikan Daku. Apakah kamu menganggap Aku ini lebih rendah daripada rakan-rakanmu?[1]


AL-QURAN DAN CINTA.

Benarkah kamu percaya dan beriman kepada Allah? Sudah tentu ramai yang menjawab ya, dan tak teragak-agak untuk mengatakan bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang lagi Maha Pencinta pada hamba-hambaNya. Namun, bagaimanakah bentuk balasan cinta kita kepada Tuhan yang memberikan cintaNya kepada kita?

Jika kamu mencintai seseorang, sudah pasti lah kamu ingin cintamu berbalas bukan? Adakah cukup dengan kita mengatakan kita mencintai Tuhan tapi tidak pernah mendalami kata-kata cintaNya? Begitukah yang dinamakan dengan CINTA?


Ya benar, kita beriman kepada Allah. Kita sangat yakin bahawa tidak ada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah. Kita tidak teragak-agak untuk melafazkan kalimah syahadah itu. Tapi cintakah kita padaNya pula? Mungkin kamu hanya percaya pada Allah semata, namun tidak merasa cinta dengan Nya. Kalau kamu cinta kepada Nya, sudah tentu wujud cinta pada perkataan Allah di dalam hati kamu.


Seorang penyair Parsi bermadah:


Hanya dengan memandang tidak mendatangkan cinta;

Selalunya harta yang ini dicapai melalui perkataan-perkataan yang mengasyikkan. [2]


Sebegitu kamu mencintai pada seseorang dan pada sesuatu benda, maka perlakukanlah perkara yang sama sebegitu juga cintamu pada Tuhan yang seharusnya dicintai lebih dari segala makhluk dan kata-kataNya.

DARI TAKUT TIMBUL CINTA.

Sepertimana yang dinukilkan dalam ayat-ayat kalamNya yang indah;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.." (Al-Anfal:2)


Bila telah muncul perasaan takut dalam hati kita, maka percayalah cinta itu semakin lama semakin berputik. Itulah perbezaannya cinta kepada Tuhan dan cinta sesama manusia. Cinta kepada seseorang yang bernama manusia itu, dimulai dengan pandangan pertama, jatuh ke hati kemudian timbullah rasa cinta. Tetapi, tidak kepada Tuhan Yang Esa. Kata-kata cinta dari Tuhan tidak sama dengan kata-kata cinta yang kita ungkapkan. Kerana itu Al-Quran dicipta.

Hanya saja, kalau Al-Quran itu bisa berbicara, maka sudah tentu kesemua makhluk akan tunduk dan mencintai kata-kata itu. Tetapi, itulah rahsia yang sengaja disembunyikan oleh Sang Pencipta. Kalau orang yang benar-benar punya perasaan tulus untuk mencinta, maka dia akan berusaha dengan payahnya untuk membelek, menyelak dan menghayati bait-bait pena diiringi dengan tangisan syahdu kepada Sang Dicintai. Maka, tidak mahukah kamu merebut untuk menjadi seorang pencinta kepada Tuhan Yang Maha Agung?

Dengan itu, marilah menabur benih-benih cinta kepada Tuhan, kerana hanya Dia yang layak dicintai. Cinta padaNya tak sekali-kali akan bertepuk sebelah tangan. Cinta yang sebenar-benar cinta. Cinta yang kekal. Cinta yang dicari. Itulah namanya CINTA!


"Ya Allah, ku mohon cintaMu, cinta kepada orang-orang yang mencintai diriMu, cinta kepada orang yang berguna di sisiMu, jadikanlah cintaku kepadaMu lebih kucintai dari diriku sendiri, ahli keluargaku dan air sejuk."

Sumber rujukan:
[1] dan [2] Dirujuk dari Kitab Ta’lim tulisan Mohammad Zakariya Kandhlavi, Mazaher-ul-Ulum, Saharanpur di dalam Fadhilat Al-Quran.


Srikandi,
Medan, Indonesia.