Sunday, October 12, 2008

Salam Antara Bukan Mahram

Segala puji bagi Allah yang masih menyayangi diri ini dengan mengurniakan pelbagai bentuk nikmat yang tak terhitung banyaknya. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad serta para sahabat dan keluarganya.

Alhamdulillah, di bulan syawal yang penuh berkah ini, ana masih diberi kesempatan untuk meng'update' blog nie untuk menyampaikan sedikit pengalaman di tambah lagi sedikit perisian untuk mengisi jiwa dan rohani yang selama ini masih dahaga dalam menyelongkar ilmu yang tiada keterbatasan. Mudah-mudahan posting ana kali ini ada faedah dan manfaatnya untuk kita renungkan dan praktikkan sehingga akhir hayat kita nanti, insya Allah..

Hari lebaran telahpun berlalu. Rasa sedih dan sayu kerana diri ana yang 'kalah' dalam menyambut Hari Kemenangan Umat Islam itu semakin luntur, kerana hari semalam itu biarkanlah ia terus berkubur, hari esok menjadi kekuatan untuk meneruskan lagi perjuangan untuk meraih kejayaan setelah menemui kegagalan. Sungguh! Ana kalah! Ana kalah!! Ramadhan kali ini, amalan ana yang paling terburuk sekali ana rasa. Betapa lemahnya ana bila memikirkan kemerosotan iman dalam diri ana ini oh Tuhan -_-"

Hari Raya Pertama, ana bersama ramai lagi pelajar-pelajar Malaysia solat raya di Konsulat Malaysia, Medan. Terasa seperti berada di Malaysia. Alhamdulillah, di sini ada juga lemang, rendang, ketupat, kuih raya dan macam-macam lagi. Sambutan lebaran di Indonesia tak jauh bezanya dengan sambutan raya di Malaysia malah bagi ana sama sahaja. Namun, pengalaman ana pada 1 syawal beraya di konsulat memberikan seribu makna buat ana.

Al-kisah, sewaktu kami semuanya makan-makan dengan hidangan aidilfitri, kami sempat bergambar. Tak lama kemudian, seorang dato' (seems like he is the one who organized Persatuan Pelajar Malaysia in consulate) datang lalu di hadapan kami kemudian bersalam dengan pelajar-pelajar Malaysia tak kira lelaki ataupun perempuan. Boleh kata hampir semua kawan-kawan ana yang menyambut salam dato' tersebut even perempuan. Sampailah ke tempat ana, dia mengajukan tangan tanda ingin berjabat tangan dengan ana, kemudian ana menolak salam tersebut dengan menyatukan kedua-dua tapak tangan ana di hadapannya sambil menghadiahkan senyuman kepada beliau, "Selamat hari raya, dato'" ana menyapanya. Dia merenung ana, kemudian dia bertanya, "Awak ambil perubatan?". Ana mengangguk. "Kalau awak jadi doktor nanti, ada pesakit yang sakit tangan, takkan awak tak sentuh dia? Takkan awak hanya cucuk-cucuk tangan dia guna pensel macam tu?" Itu pertanyaan dato' terhadap ana.

"Kalau awak kat atas pentas, semua dato'-dato' ada di atas pentas, takkan awak tak salam dorang? Awak sepertinya ingin menjatuhkan maruah mereka, kan? Kalau pesakit-pesakit nak bersalam dengan awak, takkan awak kena ambil glove (sarung tangan) baru nak sambut salam mereka?", Itulah kata-kata dato' tersebut, seolah-olah ingin menyerang ana di hadapan orang ramai hanya semata-mata ana tak sambut salamnya, namun ana hanya menerimanya dengan senyuman tanpa mengganjakkan diri dari berada di hadapannya.

"Saya tahu dan saya faham orang macam awak kerana saya sering jumpa perkara seperti ini berlaku. Saya juga tahu Nabi tak pernah salam dengan perempuan, tapi itu hanya refer pada niat kita. Saya ni dato', saya salam awak dan kawan-kawan awak bukan ada menimbulkan ghairah. Itu tandanya awak menghormati saya. Saya salam awak bukan sebagai abang ataupun pakcik awak, tapi saya ni dah kira datuk awak. Kalau niat awak baik, tak salah awak menyambut salam saya. Kalau awak nak buat banyak kebajikan pun, tapi niat awak tak ikhlas, tak ada gunanya juga. Jadi awak fikirlah baik-baik. Macam mana awak nak berhadapan dengan bermacam-macam pesakit bila awak jadi doktor nanti.."

Itulah bentuk serangan dato' tersebut terhadap ana di 1 syawal yang lalu. Namun, senyuman di bibir tidak lekang, malah ana sempat menjawab, "Itu pesakit..." tanda ana ingin memprotes kata-kata dia jika doktor berhadapan dengan pesakit. Nak jawab banyak-banyak pun, bagi ana mungkin tak dapat menjernihkan suasana malah mungkin akan lebih mengeruhkan suasana tersebut, fikir ana. Jadi, lebih baik ana diam sambil senyum tanpa berkata apa-apa.

Kalaulah hendak disamakan dengan doktor dan pesakit, sudah tentulah berbeza keadaannya. Kerana situasi doktor dan pesakit itu adalah darurat maka haruslah doktor itu menyentuh pesakit. Tapi kalau dalam situasi yang saja-saja ini, adakah harus? Kalau harus, beritahulah ana! Apa sebab diharuskan? Adakah harus kerana ingin menjaga air muka beliau? Nonsense!

Ana sekali-kali tidak terasa dan tersinggung dengan kata-kata dato' tersebut biarpun beliau berkata di hadapan orang ramai. Tapi ana cukup kesal dengan ayat-ayatnya. Beliau orang Malaysia, beliau orang atasan, beliau orang terhormat. Tapi, masakan hukum Islam itu dia harus belakangkan semata-mata ingin menjaga air muka beliau? Beriya-iya beliau katakan yang beliau tahu Rasulullah tak pernah salam wanita yang bukan muhrim, tapi mengapa harus ada perkataan TAPI???

"...Saya juga tahu Nabi tak pernah salam dengan perempuan, tapi itu hanya refer pada niat kita..."

Adakah niat itu dapat menghalalkan cara? Adakah niat yang baik itu dapat menghalalkan perkara yang telah diputuskan HARAM di dalam Quran dan Sunnah? Mengapa kita terlalu meremehkan perkara yang diharamkan oleh Islam?

"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya". (Riwayat At Tabrani dan Baihaqi)

Ana cukup kesal dengan sifat pemimpin Islam serupa itu. Kalau semuanya pemimpin seperti itu, bagaimana Islam dinaikkan? Bagaimana kami, kaum muslimat yang ingin menjadi pemimpin ini ingin naik? Bagaimana kami ingin mempertahankan hukum Islam jika golongan atasan yang beragama Islam sendiri tidak support dengan perjuangan kami? Bagaimana mahasiswa-mahasiswi Islam yang lain ingin naik jika isu salam di antara bukan muhrim ini sahaja kami dikritik?

Justeru, ana menyeru anda. Siapapun anda, kaya manapun anda, pandai manapun anda, tapi semuanya itu bukanlah milik anda, malah ianya hanya dipinjamkan oleh Tuhan yang Maha Kuasa yang Memiliki kerajaan seluruh isi langit dan bumi. Niat sekali-kali tak dapat menghalalkan cara bagaimana niat kita suci murni bersih sekalipun! Bilamana hukum itu terang-terang lagi bersuluh adalah HARAM, maka mengapakah kita perlu berdalih?

“Amat menakjudkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Apabila seorang mukmin itu beroleh kebaikan, dia terus memuji dan bersyukur kepada Allah. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun memuji Allah dan bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya. Seseorang mukmin akan tetap diberi pahala atas setiap amalan yang dilakukannya sehingga diberikan pahala terhadap makanan yang disuapkan ke dalam mulut isterinya. (Riwayat Ahmad & Abu Daud)

Srikandi
12 Syawal 1429H
(12/10/2008)
Ahad, 12:10 PM
Medan, Sumatera Utara,
INDONESIA