Sunday, September 29, 2013

Sunday, August 4, 2013

Nota Kecil Iktikaf

Bismillah.



1. Iktikaf yang bermaksud menetap atau berdiam pada suatu tempat, berniat hanya untuk mendekatkan diri dengan Allah semata, bukan kerana ikut teman, ikut keluarga atau ikut orang. Tapi niat bersih dari segala kotoran - hanya untuk dekatkan diri pada-Nya.

2. Membayangkan seolah-olah kita berada di mahkamah Allah, ada soal-jawab antara kita dan Allah. Allah yang bertanya, Allah juga yang menjadi hakim. Bayangkan apa sahaja yang akan disoal oleh Allah terhadap kita. Tentang dosa-dosa yang sengaja dan tak tersengajakan. Bersedialah ditanya oleh-Nya.

3. Soal jawab dengan Allah ini akan membuahkan tazkiyah (penyucian) dalam diri kita. Lantas adanya respon ruhiyah dalam diri - mengenangi dosa-dosa silam yang terlalu sukar untuk dibasuh, dan di sinilah kita ingin membersihkannya, mensucikannya, di sinilah tempat bertaubat yang sesungguhnya.

4. Iktikaf adalah untuk melakukan proses ketaatan yang sesungguhnya. Di sini murabbi kita hanyalah Allah. Di sini kita berhadapan dengan Allah, membayangkan hanya kita berdua dengan Allah, membuka hati seluasnya untuk ditegur Allah, fokus hanya kepada Allah, mencari Allah dan berkomunikasi dengan-Nya.

5. Di iktikaf ini kita upayakan untuk tidak berbicara tentang dunia, apa lagi ghibah. Tidak berbicara tentang benda yang tiada kaitan dengan Allah. Komunikasi dengan yang lainnya juga adalah 'komunikasi syurga' - yang baik-baik sahaja. Cuba membayangkan di iktikaf ini kita seperti berada di syurga.

6. Amal iktikaf adalah amal dzatiyah (bersendiri) - iktikaf ini memutuskan kita sama sekali dengan dunia - kita yang memutuskannya - putus dari jiwa, hati dan segala-galanya dari dunia. Di sinilah tempat kita 'berehat' hanya berdua-dua dengan Dia.

7. Di sinilah kita mendidik diri untuk menjadi berdikari, bergantung harap hanya kepada Allah sahaja - merasakan bahawa Allah tak pernah meninggalkan kita - baik dalam keadaan berdosa ataupun tidak - baik dalam keadaan melupakan Dia ataupun lalai - dalam apa-apa dan bila-bila keadaan sekalipun. Dia - sentiasa ada. 

8. Kerana kita memutuskan hubungan dengan dunia - ia menghilangkan kecintaan kita terhadap dunia. Di iktikaf ini kita belajar untuk menjadikan dunia itu hanya pekara remeh dan tidak menjadikan ia suatu yang paling penting.

9. Di sinilah kita mendidik diri untuk menghilangkan sifat nifaq (munafiq) kerana berada di dalam masjid sentiasa akan menjadikan kita solat awal waktu secara berjemaah; para sahabat yang tertinggal takbiratul ihram untuk solat jemaah sahaja membuatkan mereka bersedih keterlaluan sehingga menggelar diri mereka sebagai munafiq.

10. Cukup bawa jiwa, hati, diri dan mushaf quran sahaja ke iktikaf. Jika ingin memutuskan diri dengan dunia, tak perlu online melalui wifi, laptop dan sebagainya. Fokus hanya kepada Allah sahaja. 

11. Iktikaf ini adalah muhasabah seluruhnya akan perbuatan dan kezaliman diri sendiri yang telah banyak dilakukan selama hidup di dunia ini. Maka, yang diperlukan adalah penghayatan sehingga kita benar-benar merasai kehadiran Allah, merasai betapa banyaknya dosa terhadap Allah, sehingga menumpahkan air mata.

12. Dosa yang sering kita lakukan - dosa yang paling sering dibuang (hanya kita sahaja yang tahu), kita ingin membuangnya tetapi ia menjadikan nikmat dan sukar untuk dibuang, maka di iktikaf ini, ujarkanlah pertanyaan kepada Allah akan dosa itu, lalu bertaubatlah, mohon pertolongan kepada Allah untuk mentazkiyah hati agar meninggalkan dosa itu.

13. Segala hajat dan permintaanmu, curahkanlah pada iktikaf ini kepada Allah bersungguh-sungguh. Jika Allah melihat kesungguhan hamba-Nya, mustahil Allah tak beri.

-inspired by Ust. Latif.

Moga bermanfaat. 

Moga bertemu dengan lailatul qadr dan selamat beriktikaf sahabat-sahabat perjuangan.

Sahabatmu,
-wardatulshaukah-
(iktikaf terakhir tahun ini di medan, yang penuh kenangan)


Monday, July 29, 2013

Fahamilah mengapa kita berada di jalan ini..

Sahabat yang kucinta atas nama syahadah,

Dakwah ini tak akan pernah hilang, meskipun engkau menghilangkan diri darinya.
Dakwah ini tak akan pernah berhenti, meskipun engkau berhenti bersamanya.
Dakwah ini tak akan pernah mati, meskipun engkau mati darinya.
Dakwah ini tetap tumbuh segar, hidup dan subur, meskipun tanpa dirimu.

Fahamilah mengapa kau berada di jalan dakwah ini.

Sudah berapa banyak peluhmu kerana kepenatan dalam bekerja di jalan ini? Pernahkah kau merasa menaiki motosikal di bawah panas terik hanya ingin bertemu dengan mad'u mu yang perjalanannya mengambil masa 1-2 jam? Pernahkah kau merasa untuk mengorbankan waktu rehatmu hanya ingin bertemu dengan mad'u mu sedangkan jadual rutinmu sibuk? Pernahkah kau hampir kemalangan di jalan raya kerana ingin bertemu dengan mad'u mu? Pernahkah kau mengeluarkan harta tanpa berkira semata-mata ingin menggembirakan mad'u mu?

Itu hanya pertanyaan-pertanyaan berkaitan dengan tenaga, waktu dan harta yang kau korbankan.

Belum kutanyakan, pernah tidak merasa dakwahmu ditolak? Bukan sahaja ditolak, tapi diherdik, dicaci, dimaki bahkan difitnah. Difitnah dengan pelbagai kata. Difitnah sebagai pembawa ajaran sesat, difitnah sebagai pembawa jemaah underground, difitnah sebagai seorang naqib/naqibah yang membawa kepada kesesatan?

Jika pernah, ini masih kecil.

Ingatkah kamu apa bentuk fitnah yang dilontarkan kepada Rasulullah (saw) saat melakukan kerja ini?

Baginda dikata gila, penyair, tidak siuman. Baginda bahkan dipukul, digertak, dibaling dengan najis, diletakkan duri pada jalan yang biasa dilewatinya, dan sebagainya.

Allah.

Pantaskah kita mengeluh? Pantaskah kita berputus asa di jalan ini? Hanya kerana segala kerja kita ditolak mentah-mentah sebegitu rupa?

Perlunya kefahaman berada di jalan dakwah ini. Kerana kefahaman itu yang akan membimbingmu. Kefahaman itu bukanlah semangat yang kau dapat usai usrah, usai daurah, usai mukhayyam dan usai menyertai program tarbiyah yang menjadikan semangatmu berkobar-kobar ingin bekerja dalam dakwah ini. Kerana semangat yang dapat kau kutip dari program tarbiyah ini, satu masa nanti, semangat ini akan hilang. Lalu, kau juga hilang sekelip mata. Hilang dari jalan ini. Batang hidung sudah tak nampak lagi, akibat futur yang merajai nafsumu. Dirimu ditenggelamkan dengan kefuturan yang terlalu lama, akibat ketidakfahaman kamu berada di jalan dakwah ini.

Yang menentukan kau tetap tinggal walau semangatmu hilang, adalah kefahaman.

Lalu, diam-diam, jahiliyah yang biasa kau lakukan sewaktu zaman jahiliyahmu dulu, menjadi suatu yang kau rindu. Lalu, kau buka perlahan-lahan kotak jahiliyahmu itu. Akibat kefuturan terlalu lama, dan kau kembali kepada jahiliyahmu. Di mana janjimu suatu ketika dulu? Janjimu pada-Nya bahawa kau akan berubah, kau akan menjadi pembawa islam, janjimu ingin menyelamatkan ummah?

Memang, jalan ini tidak mudah. Memenatkan. Menyusahkan.

Maka, di sini perlu kau faham kenapa kau berada di jalan dakwah ini. Mengapa kau perlu menyusahkan diri sendiri, mengapa kau perlu mengorbankan harta, waktu dan tenagamu di jalan ini.

Perlunya kau benar-benar memahami, dengan segala pengorbananmu di jalan ini, bukan penghargaan yang diintai, bukan penerimaan yang dimahukan, bukan kenikmatan yang ingin dicapai, dan bukan pangkat yang digiurkan.

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan SYURGA untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam taurat, injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."
 (At-Taubah:111)

Jika aku salah, betulkanlah.
kerana aku ingin kita thabat bersama di jalan ini;
jalan yang mustahil dicapai untuk mereka yang tidak sabar.
kerana aku ingin kita berpimpin tangan bersama di jalan ini;
untuk tembus ke syurga yang jauh lebih menggiurkan,
dari segala apa yang dimahukan oleh -
orang-orang yang dihatinya cuma ada dunia.

-Wardatul Shaukah-

nota 1: moga Allah selamatkan egypt. mohon doakan.
nota 2: selamat memburu malam laylatul qadr dan selamat beri'tikaf sahabat perjuangan.
nota 3: ramai yang minta judul lagu dalam blog ni. alhamdulillah, saya dah tulis semua judul lagu tu kesemuanya :)

Friday, July 12, 2013

Ramadan dan pemergian orang yang aku cinta

Bismillah.

Syukur ya Allah, atas nikmat-Nya, aku masih sempat untuk bertemu dengan ramadan. Allahu Allah. Indahnya Ramadan.

Saat sahur sebelum subuh 2 Ramadan semalam, aku menerima sms dari sang ayah, mengatakan nenek ku sebelah mak telah meninggal dunia. Aku terkedu. Terkedu. Kerana beliau pergi dalam bulan yang mulia ini. Ianya peristiwa yang terlalu persis dengan pemergian nenekku sebelah bapa pada 1 ramadan tahun lalu, juga pemergian datukku pada 1 ramadan, 2 tahun yang lalu. Mereka telah pergi pada awal bulan ramadan, selama 3 tahun berturut-turut.

Sudah lama nenekku berada dalam kesakitan, apa lagi beliau menghidapi paru-paru berair. Rasanya sebulan sebelum puasa lagi beliau sudah dirawat ke dalam wad hospital. Keadaannya juga semakin teruk kerana nafasnya semakin sesak. Pernafasannya harus dibantu menggunakan oksigen.

Nenek aku seorang yang sangat mulia. Aku jamin, sekali kau bertemu dengannya, kau pasti akan senang. Pasti akan terkekeh melihat gelagatnya yang selalu melatah, selalu salah pronounce, dan cakap yang sangat direct to the point itu. Kau pasti akan merasa geram dengan telatahnya yang sangat comel itu. :')

Beliau seorang yang rapat dengan semua anak-anaknya yang berjumlah 11 orang itu. Datuk aku (suami beliau) sudah lama meninggal dunia, sejak aku kira-kira berumur 1 tahun. Sejak dari itu hidupnya bersendiri, ditemani semua anak-anak dan cucu-cucu yang menggembirakan beliau.

Beliau sangat rajin bersedekah. Hampir boleh dikatakan berapa saja duit yang beliau ada, beliau akan berikan kepada cucu-cucunya, atau kepada orang yang meminta-minta. Padahal duitnya pun tak ada. Tapi sentiasa dimurahkan rezeki, ramai orang memberi padanya. Dan yang ada padanya diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan. 

Solatnya sentiasa di awal waktu, tak pernah melambatkan solat. Solat sunnahnya banyak sekali, meskipun kulihat beliau agak sedikit berat untuk berdiri kerana faktor ketuaannya. Kalau waktu bulan ramadan, setiap hari ke masjid sebelum maghrib lagi, sedangkan kami pergi ke masjid pada waktu isyak. Tarawihnya sentiasa penuh, 23 rakaat. Ramai makcik-makcik yang berusia lebih kurang 30-40an di masjid itu yang menegur beliau untuk jangan terlalu paksa jika beliau tak mampu. Tapi, itulah, kerana semangatnya yang sangat kuat, istiqamahnya yang mengerikan semua orang, beliau tetap melakukannya sehabis daya. Jika tak mampu berdiri, beliau akan selang seli duduk dalam solat. Itu katanya.

Aku masih ingat, saat aku belajar di matrikulasi dulu, tiap kali balik, nenek aku minta ajar padaku untuk mengaji al-Quran. Dan aku tak semena-mena menjadi guru mengajinya untuk beberapa waktu. Memang, nenek aku tidak pandai mengaji. Dari kecil, katanya hidup masih jahil. Tiada guru untuk berguru dalam mengaji al-Quran. Dan saat beliau tua, barulah beliau merasa sangat rugi sebab tidak belajar mengaji. Semangatnya itu terlalu mencabar jiwa mudaku saat itu. 

Sewaktu beliau sudah mula diserang dengan penyakit kira-kira setahun belakang ini, aku selalu update bagaimana kondisinya melalui adikku. Apa lagi, sejak beliau di masukkan ke hospital kerana sesak nafas tempoh hari. Aku bertanyakan juga kabarnya pada mak. Mak aku sempat bercerita, waktu ditahan di hospital, ramai orang-orang kampung yang mengunjungi beliau. Dalam keadaan beliau yang sangat sesak nafas itu, beliau tetap gagah juga mahu bercakap, walaupun semput. Beliau malah menolak apa-apa pertolongan dari keluarga, jururawat bahkan dari doktor sekalipun, kerana katanya beliau hanya menyusahkan ramai orang sejak beliau sakit. Apa lagi saat beliau melihat doktor mahupun jururawat yang sering kali datang di tengah malam berkali-kali untuk follow up keadaan beliau saat ditahan di hospital, beliau berkata kepada emakku, bahawa beliau sangat mengasihani mereka para jururawat dan doktor yang sampai tak tidur kerana follow up beliau, kasihan kerana menyusahkan mereka.

Saat aku mendengar cerita itu, spontan air mata aku bergenang di kelopak mata. Luluh. Sebak. Namun aku tetap menahan agar tak terdengar oleh mak suaraku yang sedang menangis. Dalam hati aku berkata "nenda... betapa mulianya hati engkau..... ya Allah"

Jika aku ceritakan pada teman-temanku pelajar perubatan yang lain, mereka berkata:

"baiknya nenek kau tini. kalau semua patient kita macam tu, mesti oncall kita indah. dapat tidur malam-malam."

Ya, memang keadaan pesakit yang sesak nafas memang membuatkan doktor dan jururawat tak senang duduk, aku pernah ada pengalaman ini. Kadang tak tidur kerana follow up keadaan pesakit tersebut, sampailah jalan terakhir adalah beliau akan meninggal dunia. 

Saat itu, aku mula membayangkan pesakit-pesakit yang pernah aku jumpa dalam keadaan emergency, mindaku langsung membayangkan nenek aku berada dalam situasi itu. Tak sanggup rasanya membayangkan. Sebab sesak nafas itu memang sangat sakit. Sakitnya adalah kesukaran bila bernafas. Memang, saat itu hati akan terdetik, betapa kita harus bersyukur dengan oksigen yang jumlahnya memang telah ditetapkan oleh Allah untuk melancarkan proses pernafasan kita. Dan kerana aku terlalu derita melihat pesakit-pesakit yang menderita sesak nafas di mana-mana pun di dalam hospital itu. Maka, aku tak mahu membayangkan nenek aku yang akan berada dalam situasi itu.

Aku terlalu rindu padanya, terakhir aku melihat wajahnya, dalam 5 bulan yang lalu. Kulihat beliau sudah semakin kurus, kerana waktu itu beliau sudah sering sakit-sakit kerana faktor ketuaannya. Aku ingin menatap wajahnya yang sangat tenang itu. 

Ketiga-tiga nenda-nendaku yang telah pergi selama 3 tahun ini, tak pernah sekalipun aku pulang untuk bertemu mereka. Tak dapat untuk pulang. Hanya mampu berdoa sebagai perantau di negara jiran. Nasib perantau yang jauh. 

Saat mendapat sms dari sang ayah ketika sahur semalam, spontan dari mulutku mengucapkan penuh sendu;

"tempatmu di syurga nenda.... tempatmu di syurga......."

3 Ramadan,
dhuha.



Sunday, June 30, 2013

Pegang pada janjimu

Masih ingatkah, suatu masa dulu, kau pernah berjanji pada-Nya;

"kali ni, ya, kali ni, kalau apa yang aku minta pada tuhan benar-benar terjadi, aku akan percaya pada Tuhan!"

"kali ni, ya, kali ni, kalau Allah kabulkan permintaan aku, aku akan tutup aurat. Wallahi!"

"kali ni, ya, kali ni, kalau Allah bagi apa yang aku doa pada-Nya, aku akan berubah, aku akan jadi baik!"

"kali ni, kalau Allah betul-betul kabulkan, aku akan bersungguh-sungguh dalam dakwah"

Masih ingatkah janji-janji yang pernah kau lontarkan suatu ketika dulu? Di mana janji-janjimu itu? Ke mana semua semangatmu yang hangus terbakar? Ke mana semuanya?

Saat Allah memberimu nikmat, sekaligus kau lupakan Dia. Sekelip mata, seolah-olah kau tak pernah mengenali-Nya lagi. Seolah-olah kau lupa suatu masa dahulu, kau pernah berjanji pada-Nya.

Jangan kau kira Allah itu lupa. Jangan kau kira Allah itu seperti manusia, lalai terhadap janji.

Allah tak pernah melupakan janji-janjimu itu.

Allah tak kan pernah mati.

Sahabat, masih ada waktu untuk kau tebus segala janji-janjimu kepada-Nya. Yakinlah, bahawa kau mampu lakukannya.


Sahabatmu yang sangat ambil berat dalam diam,
-kartinikassim-